Naksah: Luka Sejarah yang Masih Berdarah

Dalam sejarah Palestin, Nakbah yang berlaku pada tahun 1948 sering dikenang sebagai titik bermulanya tragedi pengusiran besar-besaran rakyat Palestin dari tanah air mereka. Ratusan ribu manusia dipaksa meninggalkan kampung halaman, ratusan penempatan dipadam daripada peta dan sebuah bangsa terpaksa memasuki era diaspora yang panjang. Namun hampir dua dekad kemudian, bumi barakah ini melalui satu lagi peristiwa hitam yang mengubah lembaran sejarahnya ke titik yang lebih tragis dan mencengkam. Peristiwa tersebut dikenali sebagai Naksah atau juga dikenali sebagai Perang Enam Hari.
Pada tanggal 5 Jun 1967, tercetusnya peperangan yang berlangsung selama enam hari dan telah mengubah peta Asia Barat dalam tempoh yang amat singkat. Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur jatuh di bawah penguasaan Israel bersama beberapa wilayah Arab yang lain. Perubahan sempadan ini sememangnya signifikan dari sudut ketenteraan dan geopolitik. Namun kesan terbesar Naksah sebenarnya muncul dalam bentuk yang lebih halus dan sukar dilihat. Ia mengubah gaya hidup rakyat Palestin dan meninggalkan luka politik yang masih berdarah hingga ke hari ini.
Padahal sebelum Perang Enam Hari ini berlangsung, masih wujud sinar keyakinan bahawa pedihnya kehilangan tanah yang ditanggung ketika Nakbah hanyalah sebuah episod duka yang masih boleh dipulihkan. Walaupun sebahagian besar wilayah telah dirampas, masih terdapat kawasan Palestin yang berada di bawah pentadbiran negara-negara Arab. Ramai yang percaya bahawa perubahan politik serantau atau kekuatan ketenteraan mampu mengubah keadaan tersebut suatu hari nanti. Malangnya, perang ini memadamkan harapan itu. Dalam sekelip mata, hampir keseluruhan wilayah Palestin berada di bawah penguasaan rejim haram Israel.
Dari sinilah bermulanya detik Naksah menjadi tanda yang menggariskan sempadan baharu penjajahan. Rejim haram Israel semakin sombong mendabik dada di hadapan dunia Arab, seolah-olah mereka berjaya merebut kembali hak warisan nenek moyang mereka. Walhal, apa yang sedang berlaku ketika itu ialah pembentukan sebuah projek kolonial moden yang jauh lebih tersusun, sistematik dan berpanjangan.
Sehingga hari ini, pendudukan tersebut sering dibingkaikan dalam laporan media dan perbahasan diplomatik sebagai langkah keselamatan atau konflik geopolitik yang terkawal. Pengulangan istilah tersebut akhirnya menyebabkan maknanya menjadi semakin kabur. Lama-kelamaan, istilah pendudukan mula dilihat sekadar sebagai istilah teknikal dalam hubungan antarabangsa, sedangkan hakikatnya ia merujuk kepada kehidupan berjuta-juta manusia yang dibelenggu oleh kawalan politik, sekatan ekonomi, ancaman ketenteraan dan birokrasi yang menyesakkan setiap aspek kehidupan mereka.
Dalam banyak keadaan, pendudukan tidak hadir dalam bentuk kereta kebal yang bergerak di jalan raya atau sekumpulan askar yang mengacukan senjata. Ia boleh sahaja hadir dalam bentuk permit perjalanan, pusat pemeriksaan, kawalan sumber air, sekatan pembangunan dan pelbagai mekanisme lain yang menentukan bagaimana seseorang itu boleh bergerak, bekerja, belajar dan meneruskan kehidupan harian mereka. Sedikit demi sedikit, pendudukan bertukar daripada keadaan yang luar biasa kepada sebahagian daripada rutin yang terpaksa diterima.
Inilah wajah sebenar Naksah yang perlu kita faham dan hadam. Naksah sebagai sebahagian daripada projek kolonial yang dirangka oleh rejim Zionis. Dunia disuguh dan dibiasakan melihat pusat pemeriksaan, operasi ketenteraan dan penempatan haram sehingga semua itu kelihatan seperti sebahagian daripada landskap kehidupan rakyat Palestin. Sehingga semua dipaksa untuk percaya bahawa ini adalah norma baharu yang tidak dapat dielakkan
Di sinilah terletaknya paradoks terbesar Naksah. Dalam kebanyakan pengalaman sejarah, masa sering menjadi musuh kepada penjajahan. Semakin lama sesuatu wilayah diduduki, semakin besar tekanan untuk mencari penyelesaian. Palestin pula melalui pengalaman yang agak berbeza. Masa seolah-olah menjadi sekutu kepada projek penjajahan tersebut. Setiap tahun yang berlalu menyaksikan penempatan haram terus berkembang, perubahan demografi semakin mengukuh dan pendudukan semakin mengakar dalam realiti politik antarabangsa. Apa yang bermula sebagai kesan peperangan, akhirnya berkembang menjadi status quo yang diterima oleh sebahagian besar masyarakat dunia.
Hakikat ini dapat dilihat melalui satu persoalan yang jarang dibincangkan. Berapa lamakah sesuatu pendudukan boleh dianggap sementara? Ketika tentera rejim Israel memasuki Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur pada tahun 1967, ramai menjangkakan situasi tersebut hanya bersifat sementara sebagaimana yang lazim berlaku dalam konflik ketenteraan. Namun hampir enam dekad kemudian, generasi yang menyaksikan sendiri peristiwa tersebut sebahagiannya telah meninggal dunia, sedangkan sistem yang lahir daripada peperangan itu masih terus dilaksanakan.
Keadaan ini menjadikan Naksah sebagai salah satu peristiwa yang paling unik dalam sejarah politik kontemporari. Seorang kanak-kanak Palestin yang lahir pada tahun 1967 berkemungkinan menjadi datuk atau nenek hari ini, tanpa pernah menyaksikan berakhirnya realiti yang bermula pada tahun kelahirannya. Anak-anak dan cucu-cucu mereka pula mewarisi keadaan yang sama, seolah-olah masa terhenti pada Jun 1967 dan gagal bergerak ke arah penyelesaian yang tuntas.
Mungkin sebab itu Naksah tidak boleh difahami semata-mata melalui statistik peperangan atau jumlah wilayah yang berjaya ditawan. Yang lebih penting ialah memahami bagaimana enam hari tersebut telah membentuk hampir enam dekad sejarah selepasnya. Peluasan penempatan haram, kawalan ke atas sumber strategik, pertikaian status Baitul Maqdis dan siri konflik yang berulang di Gaza, kesemuanya mempunyai jejak sejarah yang kembali kepada titik yang sama.
Pun begitu, perang di Gaza selepas Oktober 2023 telah memecahkan ilusi bahawa status quo yang lahir daripada Naksah mampu dikekalkan selama-lamanya. Kemusnahan berskala besar, krisis kemanusiaan dan perhatian global yang memuncak telah memaksa masyarakat antarabangsa meneliti semula akar sebenar konflik Palestin. Perbahasan kembali tertumpu kepada isu yang selama ini berada di belakang tabir; pendudukan, penempatan haram, pemindahan paksa penduduk dan hak menentukan nasib sendiri.
Dalam konteks ini, memperingati Naksah bukan sekadar mengingati kekalahan tentera Arab dalam Perang Enam Hari. Peristiwa tersebut perlu difahami sebagai titik perubahan yang melahirkan sebuah orde politik baharu di Palestin, sebuah rejim yang ‘meghalalkan’ pendudukan dan berkembang daripada operasi ketenteraan kepada sistem yang mengawal tanah, sumber, pergerakan dan masa depan jutaan manusia.
Sebab itu, apabila berkata tentang Naksah, kita sebenarnya sedang berkata tentang sebuah peperangan yang tidak pernah benar-benar berakhir. Enam hari pada Jun 1967 mungkin sudah lama berlalu, namun kesannya masih terpahat pada peta, landskap politik Asia Barat dan pada kehidupan rakyat Palestin yang terus berdepan realiti yang lahir daripada peristiwa tersebut. Barangkali inilah warisan paling tragis yang ditinggalkan oleh Naksah; sebuah luka sejarah yang semakin tua usianya, tetapi masih belum menemui ruang untuk sembuh.