
Gelombang pemindahan paksa di semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 bukanlah rentetan peristiwa yang berlaku secara spontan. Bagi penganalisis geopolitik, ia merupakan ulangan skrip lama, sebuah rekayasa terancang yang mengingatkan kita kepada tragedi Nakba 1948, di mana sasaran utamanya adalah memadamkan kewujudan entiti Palestin dari peta dunia. Niat asal yang memperlihatkan seruan terbuka menteri-menteri wilayah haram Israel untuk mengosongkan Gaza dan penduduknya dipindahkan ke Gurun Sinai, Mesir.
Namun, apabila pengusiran secara mendadak gagal disebabkan keteguhan rakyat Palestin yang enggan berganjak serta penolakan keras Kaherah, strategi rejim Zionis tidak berhenti. Sebaliknya, ia bertukar bentuk menjadi sesuatu yang lebih halus tetapi beracun — penciptaan krisis infrastruktur secara sistematik. Dalam istilah pakar ekonomi politik Harvard, Dr. Sara Roy (2016), inilah yang dipanggil de-development—proses melumpuhkan keupayaan sesebuah wilayah sehingga ia tidak lagi mampu menampung kehidupan manusia, sekali gus memaksa penghuninya keluar secara sukarela.
Inilah perkara yang berlaku sehingga ke hari ini.
Ilusi Tempat Perlindungan Selamat
Dapatan terkini daripada PALM Strategic Initiatives Centre mendedahkan perancangan rejim Zionis membentuk ‘zon selamat’ yang hakikat sebenarnya adalah kawasan tahanan berpagar. Di bawah pemerhatian tentera, pelarian Gaza bakal dikurung dalam enklaf tertutup yang dikawal.
Gula-gula berupa bantuan antarabangsa mula dicurah bagi melicinkan agenda ini. Projek fizikal seperti Rafah Baharu yang ditaja entiti Teluk, mahupun inisiatif Sunrise dari Eropah yang kemudiannya dicanang sebagai Gaza Baharu di Forum Ekonomi Dunia (WEF), yang seterusnya dijaja atas nama kemanusiaan dan pembangunan semula. Namun, dari sudut undang-undang antarabangsa, ia merupakan perangkap penjajahan moden. Pembinaan projek-projek ini di atas tanah rampasan hak persendirian membuka jalan kepada pemindahan penduduk secara kekal.
Penganalisis melihat risiko nyata di mana penempatan sementara ini bertukar menjadi kem kekal yang memenjarakan kebebasan, menghentikan usaha pembinaan semula tanah air dan mengunci pintu pulang bagi pelarian. Seperti mana yang ditegaskan oleh sejarawan Ilan Pappé (2006) dalam karyanya The Ethnic Cleansing of Palestine, rekayasa demografi sebegini bermatlamat untuk melenyapkan hak untuk pulang yang dijamin di bawah Resolusi 194 (III) Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Dengan penguasaan tentera rejim melebihi 75 peratus wilayah Gaza hari ini, ancaman ini bukan lagi andaian, tetapi realiti yang sedang mencengkam hak asasi manusia.
Generasi yang Dicuri dan Kemusnahan Kompas Sosial
Kesan kemusnahan ini tidak terhenti pada garis sempadan geografi semata-mata, namun ia meragut saraf sosial dan psikologi masyarakat. Hidup dalam ketakutan di bawah khemah, berselimutkan dentuman bunyi bom dan senjata lain. Bangunan sekolah dan universiti kini bertukar menjadi pusat perlindungan yang sesak dan kotor, sekali gus merampas hak pendidikan ratusan ribu anak muda Palestin.
Malah, krisis ini melahirkan fenomena baharu yang tragis — kemunculan tentera buruh kanak-kanak. Akibat ketiadaan ketua keluarga yang dibunuh, anak-anak kecil terpaksa melangkah ke alam dewasa secara tergesa-gesa, menjadi pencari nafkah tunggal untuk mengatasi kebuluran dan kelangsungan hidup. Ini bukan sekadar kerosakan sampingan peperangan (collateral damage). Ini adalah strategi melumpuhkan daya tahan generasi pelapis Palestin dari akar umbi.
Di sebalik tabir kemanusiaan Gaza, satu lagi percaturan kuasa sedang berjalan lancar di Asia Barat. Krisis ini menelanjangkan realpolitik yang pudar nilai moralnya apabila sebilangan negara Arab secara senyap mengukuhkan kerjasama dengan Israel, malah lebih erat berbanding hubungan sesama jiran Arab sendiri. Perancangan koridor ekonomi baharu seperti projek Terusan Laut Mati-Laut Merah serta jalur perdagangan darat yang menghubungkan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan terus ke Pelabuhan Haifa, merupakan langkah strategik untuk menyisihkan peranan geopolitik Mesir dan mematikan kebergantungan dunia terhadap Terusan Suez.
Kekebalan Undang-Undang (Impunity) Sebagai Senjata
Mengapa kezaliman ini boleh berlangsung di hadapan kamera dunia tanpa ada sekatan? Jawapannya terletak pada kelumpuhan institusi antarabangsa dan kekebalan (impunity) yang dinikmati rejim Zionis. Pengusiran paksa dan pemusnahan prasarana awam secara terancang merupakan jenayah perang yang sah di bawah Konvensyen Geneva Keempat (ICRC). Ia adalah instrumen hukuman kolektif yang mencabul undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Namun, apabila kuasa-kuasa besar memberi perlindungan politik dan veto di Majlis Keselamatan PBB, undang-undang antarabangsa bertukar menjadi kertas kosong. Laporan daripada organisasi seperti Amnesty International dan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan bahawa arahan pemindahan berulang kali bukanlah langkah keselamatan, sebaliknya taktik merentas garis kemanusiaan untuk mencipta malapetaka demografi.
Kesimpulan
Gaza hari ini berdepan persekongkolan tiga penjuru: Dominasi hegemoni Barat, kebisuan strategik pimpinan serantau dan ilusi penempatan sementara yang direka untuk menjajah secara senyap. Namun, sejarah membuktikan bahawa sekuat mana pun rekayasa fizikal dan ekonomi yang dikenakan, ia gagal memadamkan roh penentangan rakyat Palestin.
Hak untuk pulang bukanlah sekadar klausa undang-undang di New York. Ia adalah ingatan kolektif yang terpahat dalam jiwa setiap pelarian di dalam khemah. Apabila keberanian moral institusi antarabangsa muflis dan pimpinan serantau digelapkan oleh keuntungan material, kedaulatan Palestin tidak lagi boleh dipertaruhkan di meja rundingan yang penuh hipokrasi. Ia kini terpikul di atas daya tahan sebuah bangsa yang menolak naratif penjajahan abad moden.