Massa: Tahun Pertama di dalam Perang, Tahun Kedua Dikelilingi Runtuhan Bangunan

Saya meninggalkan Gaza sebulan sebelum perang meletus dengan harapan saya akan pulang dan ketiadaan saya di samping keluarga hanya sementara. Saya juga meletakkan harapan bahawa kepulangan saya nanti sama seperti sebelum mereka ditinggalkan di dalam rumah kami yang hangat dengan kehidupan dibina bersama. Tetapi, Gaza menjanjikan apa-apa, tidak menawarkan jaminan dan tidak menunaikan rancangan rakyatnya yang telah disusun rapi. Saya fikir, saya meninggalkan Gaza untuk sementara waktu tetapi tanpa sedar, saya telah merentasi dari satu realiti kepada realiti yang lain, dari sebuah kehidupan kepada sebuah penantian, dari sebuah harapan kepada sebuah kegelisahan yang berpanjangan.
Ketika perang meletus, saya berada di sini, jauh dari Gaza. Saya merasakan diri saya terperangkap selamanya di dalam sebuah mimpi ngeri setiap kali saya mengikuti perkembangan semasa Gaza menerusi laporan berita. Apabila saya mendapat tahu berita berkaitan pengeboman yang berlaku, saya membayangkan jalan-jalan yang pernah saya lalui suatu ketika dahulu. Saya meneliti gambar-gambar yang dikongsikan pihak media berita, mencari rumah saya, mencari sudut yang dikenali bagi menyakinkan diri ini bahawa semuanya masih dalam keadaan seperti dulu. Tetapi, realitinya, tiada apa yang kekal.
Massa: Ulang Tahunnya Yang Pertama di Tempat Perlindungan

Pada 16 Februari 2024, Massa menginjak usia setahun. Dia tidak berada di rumah, begitu juga di dalam biliknya, mahupun dikelilingi oleh koleksi mainannya. Tetapi, dia dan keluarga berada di sebuah sekolah yang dijadikan sebagai pusat perlindungan di utara Gaza selepas kediaman kami tidak lagi sesuai untuk didiami. Pengeboman yang dilakukan rejim Israel tanpa henti menyebabkan kawasan kejiranan kami tidak dapat diselamatkan.
Hari ulang tahunnya yang pertama sepatutnya dipenuhi dengan keriangan. Ibu Massa sepatutnya memegang sebiji kek, mengambil gambar senyuman pertamanya dan memastikan ruang kediaman kami diisi dengan tawa. Tetapi, ulang tahunnya berlalu di dalam ruang yang sesak dengan ribuan manusia, tiada hiasan sambutan hari jadi, tiada seri, tiada muzik. Yang hanya menemani mereka cuma kegelapan di dalam perang, kebingitan enjin pesawat Israel di ruang udara dan para ibu di situ memeluk erat anak-anak mereka kerana bimbang jika itu malam terakhir mereka bersama.
Massa cuma seorang bayi yang belum mencapai usia setahun tetapi sudah melalui tempoh kehidupan yang tidak sepatutnya seorang kanak-kanak lalui. Dia tidak tahu erti rasa selamat, dia tidak kenal erti kehangatan dan dia tidak tahu yang hari ulangtahun sepatutnya disambut meriah bukan diselubungi dengan ketakutan. Ketika para ibu di seluruh dunia menyambut ulang tahun anak mereka di dalam kehangatan rumah, ibu Massa hanya mampu mencari sesuap makanan dan melindunginya dari kesejukan untuk memastikan dia terus hidup.
Pada ketika itu, kebuluran mula menyelimuti Gaza. Sumber makanan begitu terhad dan air bersih hampir tidak wujud. Seperti ribuan kanak-kanak yang lain, anak-anak saya tidur di dalam kelaparan, bangun pagi dalam kelaparan dan hidup di dalam keadaan sederhana dengan apa yang mereka miliki. Di sana tiada susu, tiada buah, tiada makanan untuk menghilangkan kelaparan. Hanya gigitan kecil sahaja untuk memastikan mereka terus bertenaga. Pada hari ulang tahunnya yang pertama, Massa tidak menerima kek. Sebaliknya, dia menerima sesuatu yang jauh lebih kejam: pengalaman pertama dihambat kelaparan, pengalaman pertama berdepan dengan kekurangan dan pengajaran pertama dalam kehidupan di Gaza.
Penantian di Antara Kematian dan Kelaparan
Di dalam setiap perbualan telefon, saya mendapati isteri saya cuba untuk kedengaran kuat dengan tidak menceritakan situasi sebenar kerana tidak mahu membebankan saya dengan lebih derita. Tapi saya tahu. Saya dengar nada keletihan melalui suaranya, tangisan anak-anak yang melatari perbualan kami dan bunyi serangan yang mencelah di antara ayat-ayat.
“Semuanya akan baik-baik saja,”
ucap isteri saya. Tapi saya tahu bahawa di Gaza, ‘baik’ sudah tiada makna melainkan jika mereka tidak dibunuh lagi.
Saya tahu gelombang kelaparan sedang menyerang di Gaza melalui laporan berita tetapi saya lebih tahu keadaan sebenar melalui keluarga saya. Di sana tiada roti, tiada makanan, tiada apa-apa kecuali sebuah penantian. Penantian kelibat trak bantuan kemanusiaan yang mungkin tidak akan tiba, penantian satu hari lagi dengan kelaparan, penantian kepada sebuah pengakhiran yang tiada siapa tahu bila ia akan tiba. Saya tahu anak-anak saya akan tidur di dalam keadaan kelaparan, saya tahu isteri saya cuba menyuapkan mereka dengan apa sahaja untuk menghilang rasa lapar walaupun dia sendiri terpaksa mengikat perut. Dan saya pula berada di sebuah tempat yang mana makanan tidak terhad dan perasaan seorang pembelot terus menampar diri setiap kali saya menyuapkan makanan ketika mereka kelaparan.
Massa: Ulangtahun Keduanya Dikelilingi Runtuhan Bangunan
Apabila gencatan senjata dicapai di Gaza, saya tahu luka-luka perang tidak sembuh tetapi sekurang-kurangnya kami dapat berehat daripada menghitung jumlah kematian setiap hari. Saya cuba berbual dengan keluarga sekerap yang mungkin dan dari situ saya dapat tahu mereka sudah pulang ke kediaman kami. Rumah kami tidak lagi seperti yang saya tinggalkan dulu. Rumah itu bukan seperti yang saya kenali. Semuanya telah hancur. Pada setiap sudut dinding di rumah itu, kami boleh menyaksikan keretakan dahsyat dan tingkap-tingkap yang pecah menceritakan bagaimana bom-bom Israel jatuh ke kawasan berdekatan.
Pun begitu, isteri saya memutuskan untuk menyambut ulangtahun Massa yang kedua di situ walaupun bukan di dalam kediaman kami kerana ia telah hancur. Sebaliknya, isteri saya membangunkan khemah di sebelah rumah kami. Di antara sisa-sisa runtuhan bangunan yang pernah menjadi tempat kami berteduh, terdirinya atap fabrik yang tidak mampu melindungi mereka daripada kesejukan. Isteri saya cuba untuk menghasilkan kenangan indah di tempat yang tidak menjadi saksi kepada apa-apa kecuali sebuah kehancuran.
Ulang tahunnya yang kedua sangat berbeza tetapi masih jauh daripada apa yang sepatutnya. Tiada mainan baru, tiada hadiah tetapi yang ada cuma kekurangan makanan dan senyuman kecil pada raut comel wajahnya.
Dalam keadaan serba kekurangan, isteri saya cuba untuk menjadikan hari itu hari yang istimewa, cuba mencipta kegembiraan di tengah-tengah kehancuran dan kesunyian dengan memberitahunya:
“Kita masih berada di sini, kita masih berdiri teguh, dan kamu layak untuk dihargai.”
Jarak yang Membunuh
Pada saya, ulang tahunnya yang kedua jauh lebih sukar berbanding ulang tahun pertama. Ketika ulang tahunnya yang pertama, perang begitu ganas, tidak meninggalkan ruang kecuali kesungguhan untuk meneruskan kehidupan. Tetapi pada ulang tahunnya yang kedua, saya tahu dia berdepan dengan satu lagi tahun yang serba kekurangan, satu lagi tahun yang penuh ketakutan, satu lagi tahun berjauhan daripada saya. Saya dengar suaranya melalui telefon, melihatnya melalui gambar yang dikirim tetapi saya tidak boleh memeluknya, menciumnya dan tidak boleh memberitahu betapa saya sangat merindukannya.
Apabila Massa sudah besar, mungkin dia tidak akan ingat apa yang sudah berlaku. Mungkin juga dia tidak mampu mengingati semula bagaimana sambutan ulang tahunnya yang pertama disambut di tempat perlindungan dan ulang tahunnya yang kedua disambut di dalam khemah fabrik. Tetapi dia akan ingat selamanya bahawa ayahnya tidak pergi kerana pilihan. Dia akan sentiasa ingat bahawa saya berada di sini membawanya di dalam hati saya, meneruskan kehidupan dengan harapan untuk mendakapnya lagi.
Massa: Cahaya Yang Tidak Pudar
Massa tidak memilih untuk menyambut ulang tahunnya di dalam perang tetapi dia dilahirkan di Gaza di mana kanak-kanak mendewasa dengan cepat, peribadi mereka diuji dengan cara yang kasar dan sambutan ulang tahun tidak pernah dibuat seperti kebiasaannya.
Tetapi dia akan membesar dengan lebih kuat sama seperti kanak-kanak Gaza yang lain. Dia akan membawa cerita perjuangan yang sama seperti kanak-kanak lain.
Dan satu hari nanti, apabila saya pulang bertemu dengan Massa, saya akan memeluknya dan memberitahu betapa saya sangat merindukannya. Dan sambutan hari ulang tahunnya bukan lagi di bawah ribuan bom Israel, bukan lagi di tengah-tengah runtuhan bangunan tetapi di dunia yang dia layak, dunia yang bukan dicipta untuk perang tetapi untuk sebuah kehidupan.
Kerana cinta, tidak kiralah sejauh mana jaraknya, lebih kuat daripada peperangan, lebih besar daripada sebuah kehancuran dan lebih utuh berbanding yang lain.
Selamat ulang tahun, Massa… walaupun apa yang berlaku.
