All Articles

Malaysia dan Palestin: Menelusuri Usaha Penentangan dan Aspirasi Kemerdekaan

Written by
Dr. Ibrahim Saqer Alzaeem
Published on
August 28, 2026

Tanggal 31 Ogos ini, Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-69 setelah melalui sejarah panjang penjajahan British, pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan kemudiannya kembali berada di bawah pemerintahan British yang menguasai hasil bumi serta kehidupan rakyatnya. Setelah melalui pelbagai bentuk perjuangan nasional, termasuklah perjuangan intelektual dan perjuangan bersenjata, Malaysia akhirnya mengecapi kemerdekaannya pada 31 Ogos tahun 1957.

Sekiranya kita menelusuri sejarah gerakan pembebasan mana-mana bangsa, termasuk perjuangan rakyat Malaysia sendiri, kita akan mendapati bahawa perjuangan tersebut lazimnya akan melalui beberapa tahap yang hampir sama kerana perjalanan sejarah sejatinya akan bermain pada pola yang serupa.

Antara bibit awal perasaan yang akhirnya boleh membentuk kesedaran nasional adalah perasaan dizalimi, yang lahir daripada pengalaman penjajahan. Ianya termasuk perampasan tanah dan hak kebebasan, penjarahan sumber kekayaan serta penguasaan secara sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kehendak dan hak penduduk tempatan atau lebih tepat, pemilik tanah tersebut. Pengalaman sedemikian turut dialami oleh masyarakat di Tanah Melayu, yang kemudiannya mendorong kemunculan kesedaran untuk menentang projek penjajahan British, bukan sahaja melalui gerakan politik dan fizikal, tetapi juga melalui penentangan intelektual. 

Dalam konteks ini, kemunculan Majalah Al-Imam pada tahun 1906 menjadi antara manifestasi awal kebangkitan intelektual masyarakat Melayu. Diterbitkan di Pulau Pinang, majalah reformis ini dipengaruhi oleh pemikiran tokoh pembaharuan Islam, Muhammad Abduh serta gagasan reformasi yang berkembang di Mesir. Al-Imam kemudiannya memberikan kesan yang besar terhadap kebangkitan intelektual dan pendidikan dalam kalangan masyarakat Melayu pada ketika itu.

Perkembangan kesedaran melalui medium intelektual ini bukan hanya berlaku dalam konteks di Tanah Melayu sahaja, tetapi dapat dilihat dalam masyarakat Palestin. Di Palestin, akhbar memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran tentang ancaman bahaya penempatan kolonial, perampasan tanah dan perubahan yang berlaku terhadap masyarakat tempatan. Antara akhbar yang muncul dalam tempoh tersebut adalah Al-Karmel, yang diterbitkan di Haifa pada tahun 1908; Filastin, yang diterbitkan di Jaffa pada tahun 1911; Mir’at al-Sharq pada tahun 1919 dan Al-Difa‘ pada tahun 1934.

Kebangkitan intelektual ini kemudiannya berkembang kepada bentuk penentangan yang lebih langsung terhadap penjajahan. Di Tanah Melayu, penduduk tempatan dan para pejuang misalnya telah mengambil bahagian dalam usaha menghalang penghantaran getah ke Britain sebagai salah satu bentuk penentangan terhadap kepentingan ekonomi penjajah. Namun, usaha tersebut berdepan tindak balas keras daripada pihak British, sebagaimana yang sering dilakukan oleh mana-mana kuasa penjajah pada setiap zaman dan tempat. Kemuncaknya, pada 12 Disember 1948, pasukan tentera British bertindak menyerang sebuah ladang getah berhampiran Sungai Batang Kali dan membunuh kira-kira 24 orang penduduk kampung, yang terdiri daripada pekerja berbangsa Cina. 

Dalam konteks Palestin pula, kebangkitan kesedaran nasional turut diterjemahkan melalui penentangan secara aman. Sejak peringkat awal lagi, gerakan nasional Palestin berusaha mencapai beberapa matlamat utama antaranya membatalkan Deklarasi Balfour, menghalang kemasukan bangsa Yahudi, menghentikan penyerahan tanah kepada gerakan Zionis serta menubuhkan sebuah kerajaan Palestin yang dipilih oleh rakyat. Bagi merealisasikan matlamat-matlamat ini, pelbagai usaha telah digerakkan. Antaranya penganjuran Persidangan Arab Palestin Pertama pada tahun 1919, demonstrasi rakyat seperti demonstrasi sempena Mawsim al-Nabi Musa pada tahun 1920 serta penubuhan persatuan-persatuan Islam-Kristian.

Kembali kepada konteks Tanah Melayu, penindasan oleh kuasa penjajah akhirnya mendorong masyarakat tempatan untuk mempertahankan diri, dan dalam keadaan tertentu, beralih kepada bentuk penentangan yang lebih keras. British mula menindas kebangkitan tersebut dengan pelbagai kaedah, termasuk memutarbelitkan fakta dan melabel para pejuang sebagai penyamun dan pencuri. British turut mengisytiharkan keadaan darurat, melaksanakan kempen penangkapan secara besar-besaran tanpa perbicaraan, menjalankan operasi penggeledahan serta mengenakan perintah berkurung. 

Demikian jugalah yang berlaku di Palestin. Jika kita lihat, misalnya, Revolusi al-Buraq pada tahun 1929, ia merupakan sebuah pemberontakan rakyat yang bertujuan mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa. Namun, gerakan Zionis terus meningkatkan provokasi terhadap umat Islam, manakala British pula menindas para penunjuk perasaan. Rentetan peristiwa tersebut akhirnya telah membawa kepada pertembungan bersenjata sehingga mendorong British mengisytiharkan keadaan darurat, sebagaimana yang kemudiannya dilakukan di Malaysia. British turut menahan puluhan pejuang dan kemudiannya menjatuhkan hukuman mati terhadap tiga daripada mereka, iaitu Fuad Hassan Hijazi, Muhammad Khalil Jamjum dan Ata Ahmad al-Zir.

Agar penentangan dalam pelbagai bentuk tidak hanya terbatas kepada satu kelompok masyarakat, institusi pendidikan turut memainkan peranan penting. Antara institusi pendidikan terkemuka di Malaysia ialah Universiti Malaya, yang penubuhannya pada tahun 1949 boleh dianggap sebagai satu perkembangan yang cukup awal. Hal ini mungkin menjadi salah satu gambaran tentang kecintaan rakyat Malaysia terhadap ilmu serta pergantungan mereka kepada pendidikan dalam usaha mencapai kemerdekaan dan seterusnya membangunkan negara. Buktinya dapat dilihat melalui peruntukan tahunan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sektor pendidikan, yang melebihi peruntukan untuk pertahanan, manakala sektor kesihatan pula menjadi keutamaan kedua selepas pendidikan dari segi jumlah peruntukan.

Dalam konteks Palestin pula, mungkin contoh yang paling menonjol ialah Universiti al-Najah, yang telah memulakan perjalanannya pada tahun 1918 sebagai sebuah sekolah rendah. Pada tahun 1977, institusi tersebut kemudiannya dinaik taraf menjadi sebuah universiti yang dinamakan Universiti Kebangsaan an-Najah (An-Najah National University).

Adapun mengenai perasaan penulis terhadap makna sebuah kemerdekaan, ketika beliau menuntut di Malaysia, beliau pernah mengunjungi Dataran Merdeka di Kuala Lumpur. Imaginasi beliau kemudiannya mengembara, membayangkan sebuah negara yang telah mencapai kemerdekaan sepenuhnya—bebas daripada segala bentuk rintangan dan kesusahan, dengan penjajahan yang telah lenyap buat selama-lamanya. Penulis sempat membayangkan anak-anak Palestin bermain dengan aman, sambil memerhati gelagat para pelajar, petani, pekerja, pengusaha, golongan profesional dan kakitangan menuju ke tempat kerja masing-masing. Setiap langkah mereka hakikatnya membawa mereka semakin dekat kepada pembangunan dan kemajuan, sebagaimana keadaan masyarakat di sekeliling yang penulis saksikan di Kuala Lumpur pada ketika itu, baik di ibu negara mahupun di seluruh negeri di Malaysia. 

Sebelum penulis mengakhiri gambaran indahnya daripada sebahagian perjalanan hidup yang sempat dilaluinya ketika di Malaysia suatu ketika sebelum ini, beliau berkongsikan satu lagi kesan yang dirasakan terhadap negara yang bersejarah ini, iaitu kekagumannya terhadap kemajuan dan kemakmuran sebuah negara Islam yang berjaya membina kebangkitan dan pembangunan walaupun berdepan pelbagai cabaran. Beliau melihat kepelbagaian etnik sebagai antara cabaran terbesar yang dihadapi Malaysia. Negara ini mempunyai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, antaranya Melayu, Cina, India serta beberapa etnik lain. Namun begitu, kepelbagaian tersebut tidak menghalang Malaysia daripada terus berkembang sebagai sebuah negara.

Ini bukan bermakna Malaysia tidak pernah berdepan dengan perbezaan atau konflik antara masyarakat. Sebagai contoh, negara ini pernah menyaksikan peristiwa keganasan antara kaum pada tahun 1969. Namun, keadaan tersebut akhirnya berjaya ditangani dan negara terus melangkah ke hadapan.

Pengajarannya sentiasa terletak pada kebijaksanaan dalam cara menangani permasalahan, melangkaui perselisihan yang cuba dicetuskan oleh sesetengah pihak, di samping memberikan tumpuan kepada pembangunan negara. Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh kepimpinan agama, politik, intelektual dan masyarakat daripada semua kelompok etnik.

Kesedaran yang dimiliki oleh rakyat Malaysia, bersama kepimpinan mereka dalam menghadapi pelbagai ancaman selepas kemerdekaan—sama ada berpunca daripada faktor semula jadi mahupun tindakan pihak-pihak yang menjadi sebahagian daripada kuasa penindasan global—merupakan antara kekuatan yang turut dimiliki oleh rakyat Palestin dalam menghadapi pelbagai usaha untuk memecah-belahkan mereka.

Sebagaimana rakyat Malaysia berusaha mempertahankan kesatuan dalam menghadapi pelbagai cabaran, masyarakat Palestin juga telah berulang kali menggagalkan usaha untuk memecah-belahkan mereka. Penjajahan British misalnya, tidak berjaya memisahkan umat Islam dan Kristian di Palestin. Begitu juga dengan penjajahan Israel yang sehingga kini terus gagal dalam usaha mencetuskan perpecahan dan pertempuran sesama sendiri, sama ada antara kelompok-kelompok penentangan Palestin mahupun antara rakyat dengan perjuangan penentangan mereka. 

Atas semangat kesatuan dan keteguhan inilah, penulis mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia dan kepimpinan mereka. Bagi pihak rakyat Palestin, penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas pendirian teguh yang sentiasa bersama perjuangan rakyat Palestin dan tanah air mereka, serta mempertahankan kesucian tempat-tempat suci umat Islam di Baitul Maqdis. 

Pada masa yang sama, penulis ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Palestin yang kini sedang meniti jalan menuju pembebasan dan kemerdekaan tanah air tercinta. Dengan izin Allah, kemerdekaan itu akan dikecapi tidak lama lagi. Pada hari tersebut, kita akan bersama-sama Malaysia dan seluruh umat Islam bergembira, berdiri di Dataran Kemerdekaan Palestin, sambil menikmati pemandangan yang paling indah iaitu Kubah as-Sakhrah yang mulia.


Diterjemahkan oleh: Lia Maryam binti Faisal
Penterjemah Arab-Melayu