All Articles

Lubnan dan Gaza: Ke Mana Hilangnya Semua Resolusi PBB?

Written by
Syahmi Afiq
Published on
October 30, 2024

Antara soalan yang banyak ditanya, "Kenapa tentera Lubnan tidak terlibat di dalam membalas serangan Israel?"

Untuk faham konteks berkenaan Lubnan, ada beberapa istilah di dalam konteks Hubungan Antarabangsa (International Relations), yang perlu kita fahami untuk berbicara berkenaan apa yang berlaku di Lubnan hari ini. 

Pelaku negara (State Actor) ialah terma yang digunakan untuk menggambarkan negara yang memiliki kerajaan yang diperakui kedaulatannya oleh negara lain dan memiliki kemampuan untuk menjalankan tugas pemerintahan terhadap seluruh wilayah dan populasi yang menghuninya. 

Aktor bukan negara (Non-State Actor) pula ialah terma yang digunakan terhadap individu/organisasi yang memiliki pengaruh politik, yang juga berperanan dalam menjaga kelangsungan hubungan antarabangsa; mencakupi ekonomi, sosial, hak asasi manusia dan bidang-bidang lain. Aktor bukan negara ini secara mudahnya merujuk kepada NGO, sektor swasta, organisasi kebajikan, institusi akademik dan lain-lain. 

Lubnan dan Israel secara tidak langsung masuk di bawah kategori pelaku negara. Manakala Hizbullah, sebuah organisasi yang berpusat di Lubnan dan menjadi sasaran Israel hari ini tergolong di dalam aktor bukan negara. 

Kenapa Israel serang Lubnan, tentera Lubnan tidak memainkan peranan? 

Tentera Lubnan (Lubnan Armed Forces, LAF) berhadapan dengan situasi yang unik; sama ada melibatkan diri di dalam perang yang sedang berlaku atau terus senyap. Jika melibatkan diri, bermakna mereka mengambil tempat di dalam menyokong Hizbullah; jika tidak, ia dianggap sebagai meninggalkan tugas mereka. 

Tambahan lagi, jika mereka turut serta, keupayaan senjata tentera rasmi Lubnan jauh ketinggalan berbanding tentera Israel. Global Firepower, sebuah organisasi penilai ketenteraan meletakkan Lubnan di tangga 118 daripada 145 buah negara dari sudut kekuatan tentera, manakala IOF berada di antara 20 teratas. Tambahan lagi, jumlah tentera aktif Lubnan hanya seramai 70,000, jauh ketinggalan dengan Israel yang memiliki 170,000 tentera aktif, belum ditambah tentera simpanan seramai 300,000 hingga 400,000. 

Untuk maklumat tambahan, di bawah perjanjian politik yang dimeterai pada tahun 1943, kuasa politik di Lubnan dibahagikan kepada kumpulan agama dominan yang ada, Sunni akan berkhidmat sebagai perdana menteri, Kristian Maronite akan berkhidmat sebagai Presiden dan Syiah sebagai Spekear parlimen Lubnan. 

Perjanjian ini mengakibatkan Lubnan pasca kemerdekaan daripada penjajahan Perancis mengalami ketidakstabilan di dalam pemerintahan dan membawa kepada siri perang saudara yang berlaku, bermula 1975-1990. 

Kerana itu, LAF telah memposisikan diri sebagai institusi non-partisan, dihormati oleh semua golongan rentas spektrum agama, dan menjadi watak utama mendamaikan perang saudara sekiranya tercetus semula. Untuk sentiasa memenuhi peranan tersebut, LAF harus berterusan dilihat sebagai kuasa neutral dan menahan diri daripada membantu Hizbullah di dalam pertembungan mereka dengan Israel. 

Minggu lalu, Perdana Menteri Sementara Lubnan, Najib Mikati mengeluarkan kenyataan untuk mendesak Israel mencapai gencatan senjata di Lubnan dan menguatkuasakan Resolusi 1701 PBB; antara lain mendesak agar Israel berundur daripada sempadan selatan Lubnan, Hizbullah menghentikan serangan dan Israel menghentikan segala operasi ketenteraan. 

Sekali lagi, resolusi yang dikeluarkan oleh PBB disebut oleh pemimpin negara yang terjejas dengan serangan Israel. 

Ada orang beranggapan, apa yang PBB lakukan dan Majlis Keselamatannya putuskan, termasuklah segala keputusan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa akan membawa kepada berhentinya kegilaan Israel. 

Namun, apa yang tercatat sejak 7 Oktober 2023 berlaku, tidak menggambarkan kemahuan politik sesetengah pemain. 

Mari kita lihat apa yang berlaku sejak 7 Oktober secara sepintas lalu. 

Dalam tempoh 12 bulan terakhir, Majlis Keselamatan PBB telah pun meluluskan empat resolusi berkenaan Gaza, termasuklah gesaan untuk melakukan gencatan senjata, dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice, ICJ) telah pun mengarahkan agar Israel mengambil tindakan di dalam segenap aspek untuk mengelakkan apa jua tindakan yang termaktub di dalam Artikel II Konvensyen Genosid. 

ICJ juga mengeluarkan pendapat nasihat (Advisory Opinion) bahawa penjajahan dan aneksasi Israel ke atas tanah Palestin sebagai tindakan luar batas undang-undang dan UNGA meluluskan resolusi agar Israel menghentikan kehadiran mereka yang tidak mematuhi undang-undang di kawasan Palestin dalam masa 12 bulan. 

Sudah mula ada organisasi yang memainkan peranan, memperlihatkan ketidakfungsian PBB dan segala organnya di dalam mencapai gencatan senjata. 

Ada yang mula mencadangkan alternatif baharu. Bawa ia melalui badan lain yang tiada pengaruh AS dan sekutunya. BRICS mungkin bisa menjadi wadah baharu. 

Malaysia juga wajib mengambil tindakan lebih agresif, melalui kerusi Pengerusi ASEAN bermula tahun hadapan. NGO Malaysia boleh mengambil kesempatan melobi dan melakukan advokasi akar umbi di negara-negara ASEAN supaya mampu untuk mempengaruhi negara anggota daripada sudut dasar dan polisi terhadap isu Gaza.

Adapun OIC sekadar tinggal Oh I see. 

Sebuah gerakan tidak akan mampu berdiri hanya dengan satu kaedah sahaja. Untuk advokasi akar umbi, melalui penerapan Ilmu Yang Bermanfaat (Beneficial Knowledge), yang kemudiannya akan membawa kepada Pemikiran Strategik (Strategic Thinking) dan pada akhirnya membawa kepada Perancangan Strategik (Strategic Planning), sudah pasti ketumbukan yang memiliki kesatuan fikiran (Wehdatul Fikr) akan membawa kepada kesatuan gerak kerja (Wehdatul 'Amal). 

Bentuk cara fikir yang betul terlebih dahulu. 

Ayuh! 

*Daun yang saya petik daripada pokok Zaitun ketika di Lubnan, awal tahun ini. Pokok zaitun, ataupun dahannya mewakili simbol keamanan. Pokok zaitun juga memainkan peranan yang cukup besar di dalam sejarah dan budaya warga Palestin. Simboliknya juga zaitun ini, ia terakam di dalam Al-Quran, surah at-Tin.