Lubnan - Kehancuran Mengikut Model Perang Gaza?

Iran mengumumkan penerimaan pelan gencatan senjata selama 45 hari yang diusulkan oleh Amerika Syarikat (AS) pada 8 April 2026. Khabar itu membawa kegembiraan di seluruh Iran dan negara-negara sekitarnya, kecuali Lubnan.
Kenapa?
Pertama, Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan gencatan senjata hanya berlaku ke atas Iran tetapi tidak di Lubnan. Tidak cukup dengan itu, penganalisis menjelaskan bahawa serangan Israel ke atas Lubnan pada 28 Februari adalah pencabulan perjanjian gencatan senjata yang termeterai pada 27 November 2024. Pencabulan tanah Lubnan membawa kepada satu kesimpulan bahawa Israel sedang mengukuhkan pengaruhnya dalam sebarang rundingan kelak.
Maka, boleh disimpulkan bahawa serangan yang dilancarkan pada 9 April – menyaksikan pencerobohan agresif Zionis di selatan hingga ke utara Lubnan dalam masa sehari – selari dengan ramalan penganalisis dan cita-cita penganut Zionisme iaitu penubuhan Israel Raya (The Greater Israel). Bagaimanapun, lokasi Lubnan yang tersepit di tengah-tengah Iran, Palestin dan wilayah haram Israel menyebabkan krisisnya tidak mendapat liputan luas pada 28 Februari lalu. Lagi-lagi apabila AS pada masa yang sama sedang ‘mengganyang’ Iran, menyebabkan kegawatan situasi Lubnan tidak didendangkan.
Ketika penulisan ini dilakukan, Lubnan telah memasuki hari ke-42 diserang oleh Israel dan tidak ‘terselamat’ dalam perjanjian gencatan senjata AS-Iran walaupun Iran memaklumkan negara itu terlindung dari sebarang ancaman di bawah perjanjian tersebut. Angka kematian dan kecederaan di Lubnan sepanjang krisis terbaharu itu mencatatkan rekod yang tinggi dan antara yang terburuk sejak Operasi Keamanan untuk Galilee pada Jun dan Pembunuhan Sabra & Shatila pada September tahun yang sama – 1982. Apa yang berlaku di Lubnan, terutama di sempadan bukanlah sesuatu yang baharu tetapi jauh lebih teruk jika dibandingkan dengan pertelingkahan dalam setahun kebelakang, dan ketiga teruk selepas tragedi Sabra & Shatila.

Bagaimana Lubnan Terkait dalam Perang Israel-AS-Iran?
Sedia maklum, pada 28 Februari 2026, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei disahkan maut dalam serangan di Tehran. Berita kematian pemimpin Iran tidak hanya memberi tamparan hebat kepada negara itu sendiri tetapi juga Hezbollah di Lubnan.
Dalam satu ucapan penghormatan terakhir kepada Ayatollah Ali Khamenei, Hezbollah berjanji:
“Penjenayah Amerika dan Zionis menyasarkan penjaga kami; pemimpin kami; pemimpin sebuah negara, Imam Khamenei, bersama beberapa pemimpin dan pegawai lain, dan anak-anak Iran yang tidak berdosa. Inilah jenayah tertinggi. Kami akan menunaikan tanggungjawab menentang keganasan ini, yakin dengan kemenangan, sokongan dan petunjuk daripada Allah. Kami tidak akan meninggalkan medan penghormatan dan perlawanan, mahupun konfrontasi kezaliman Amerika dan jenayah Zionis demi mempertahankan tanah air, maruah dan pilihan kami.”
Susulan daripada itu, sebagai bentuk penentangan terhadap keganasan Zionis, Hezbollah melancarkan serangan balas ke Haifa di wilayah haram Israel. Serangan tersebut merupakan serangan pertama selepas gencatan senjata bersama Israel termeterai pada November 2024.
Israel membalas serangan tersebut dalam skala besar dari selatan Lubnan ke Beirut dan lanjut sehingga ke Beqaa di utara Lubnan. Tidak cukup dengan itu, rejim Zionis juga mengeluarkan perintah pindah paksa ke atas beberapa kawasan di selatan dan timur Lubnan, menyebabkan perpindahan besar-besaran penduduk Lubnan dan pelarian Palestin ke tempat baharu. Dianggarkan lebih sejuta penduduk Lubnan, termasuk pelarian Palestin terpaksa berpindah ke tempat lain demi melindungi diri dari ancaman Zionis. Pada masa yang sama, rekod kematian telah melepasi 1,000 orang dan hampir 4,000 orang dilaporkan cedera. Kebanyakan penduduk Lubnan yang kini menjadi pelarian di negara sendiri, termasuk pelarian Palestin, menyelamatkan diri ke kem baharu yang tidak diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Angka pelarian di Lubnan telah mencapai lebih 1.2 juta, hampir 1 per 5 populasi negara itu.
Angka yang semakin meningkat dan situasi yang tidak menunjukkan tanda reda, tidakkah ia mengingatkan kita kepada situasi di Palestin?
Israel menjajah Palestin pada 1948 dengan sokongan British terhadap bangsa Yahudi-Zionis sehinggalah rakyat Palestin kehilangan tanah dalam peristiwa an-Nakbah. Dan apa yang berlaku di Gaza juga sama – munculnya Koridor Netzarim; dan Garisan Kuning yang membahagikan semenanjung Gaza kepada dua dan meletakkan 53% kawasan itu di bawah kuasa Israel.
Situasi di Gaza pada hari ini tidak berlaku dalam satu malam. Tetapi sebuah rancangan yang dilaksanakan secara berperingkat. Dan apa yang berlaku di Lubnan pada hari ini adalah cerminan fasa awal penjajahan Zionis di Palestin.
Model Perang Gaza
Serangan di Lubnan mula menarik perhatian dunia apabila tiga orang dari Pasukan Pengaman PBB maut oleh serangan Israel. Koordinator Khas PBB untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert menyeru gencatan senjata serta-merta di antara pihak Hezbollah dan Israel kerana kebimbangan terhadap kehancuran Lubnan. Tidak cukup dengan itu, Kuasa Usaha (Chargé d'Affaires) UK ke PBB, James Kariukis menyokong bahawa serangan Israel ke atas Lubnan juga dianggap menggugat kedaulatan negara itu.
Melihat kepada corak serangan yang dilancarkan ke atas Lubnan, Israel sebenarnya menggunakan model perang di Gaza.
Bagaimana?
Mereka menggunakan alasan yang sama iaitu pengeboman di Lubnan adalah berbentuk self-defense. Secara sedar atau tidak, serangan Israel di Lubnan merupakan satu kitaran yang berulang. Jika bukan situasi di sempadan, kita lihat sahaja cara Israel menceroboh Palestin dan serangan ke atas Iran – cukup membuktikan serangan Israel berdasarkan kerangka yang sama.
Mereka menggunakan nama Hezbollah sebagai ancaman untuk Israel sedangkan Lubnan telah merekodkan sejarah diperangi Zionis sejak 1968 dalam operasi serangan Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut.
Serangan pertama itu, – disasarkan kepada kumpulan pejuang Palestin, Palestine Liberation Organization (PLO) – menyebabkan Lubnan, daripada negara yang berada di pinggir konflik Arab-Israel kepada sebuah wilayah yang terlibat secara langsung dalam kitaran peperangan. Pada ketika itu Hezbollah belum ditubuhkan untuk melindungi hak-hak rakyat Lubnan dan kemuliaan Masjid al-Aqsa dari pencabulan Zionis. Namun, mereka menggunakan alasan keselamatan di bawah Artikel 51 dari Piagam PBB hanya untuk menjustifikasikan serangan mereka.
Alasan self-defense Israel-Zionis menjadi dasar peperangan di Gaza bermula 7 Oktober 2023, selain mahu menghapuskan HAMAS: “Israel is in a war of defence against Hamas, not against the Palestinian people.”
Sasaran mereka adalah Hezbollah (atau HAMAS di Gaza) tetapi mengapa bom dilepaskan di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan jelas adanya infrastruktur awam seperti hospital, sekolah, masjid, muzium, gereja dan stesen pengangkutan awam seperti kapal, bas dan kapal terbang? Tidak cukup dengan itu, mereka mengenakan sekatan perjalanan dengan mengeluarkan arahan pindah paksa supaya penduduk Lubnan tidak kembali ke kediaman mereka.
Dengan angka kematian dan kecederaan yang meningkat di Lubnan, termasuk angka pelarian Lubnan yang semakin tinggi membuktikan Lubnan sedang menuju an-Nakbah. Di sebalik derita Lubnan, operasi ketenteraan Israel di negara itu sering dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan keselamatan dan kuasa di Asia Barat.
Benjamin Netanyahu pernah bersuara, “We will reshape the map of the Middle East and bring profound change to Iran” dan ia tidak berlaku pada hari yang sama Iran diserang tetapi pada 2025. Sama juga Sungai Litani yang sedang menjadi ‘kegilaan’ bangsa Yahudi pada hari ini adalah kerana salah seorang pemimpin terawal Zionis, David Ben-Gurion yang juga merupakan perdana menteri pertama Israel telah menyebut Sungai Litani sebagai sempadan asal negara haram Israel di bahagian utara. Dakwaan Ben-Gurion bukan berdasarkan kitab, sebaliknya sebuah tafsiran geopolitik yang mana Sungai Litani mampu mengukuhkan sumber air untuk Israel, selain memenuhi objektif penubuhan Israel Raya. Malah, Ben-Gurion jugalah yang menegaskan bahawa sempadan Israel yang sebenar merangkumi beberapa kawasan di Syria, Mesir dan Teluk Arab, sehingga ke utara Sungai Litani. Jika tidak, mustahil Operasi Litani pada 1978 dilancarkan – tidak lain tidak bukan untuk menghapuskan PLO dan mengurangkan kestabilan kuasa gerakan Palestin dan kerajaaan Lubnan di sempadan tersebut.
Begitu jugalah apa yang diperjuangkan oleh Israel-Zionis di Gaza pada 7 Oktober 2023 sehingga hari ini. Ia mencerminkan pola peperangan yang jelas di mana alasan keselamatan digunakan secara berulang sehingga setiap tindakan mereka dari sudut pandangan kemanusiaan, tidak masuk akal. Kos kemusnahan yang tinggi ini membawa kepada kehancuran yang besar kerana ia tidak terhad kepada kepincangan politik dunia tetapi turut melenyapkan generasi masyarakat.
Realitinya, kita perlu tanya diri dan lihat kepada tindakan entiti antarabangsa seperti PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sejauh mana kita mahu membiarkan krisis kemanusiaan di Gaza berulang di negara-negara sekitarnya seperti Lubnan, Sudan dan Iran? Ketika Lubnan melangkah ke dalam pola ini, adakah kita, termasuk mereka, masih mahu berdiam diri dan menunding jari?
– Artikel ditulis pada Jumaat, 10 April 2026.