Lebih Setahun Demi Gaza, Adakah Kita Masih Boikot Israel?
Boikot – isu sensitif dan hangat diperdebatkan dalam kalangan masyarakat dunia, lagi-lagi sejak Gaza dibedil pada 7 Oktober 2023.
Hari ini, ketika sudah lebih setahun peperangan di Gaza, cuba ambil masa dan bertanya – apa khabar boikot kita?
Apa Yang Kita Nampak dan Tidak Nampak
“Boikot atau tidak, sama je. Tidak memberi kesan pun kepada Israel.”
Kenyataan berbaur negatif – mendakwa boikot langsung tidak memberi kesan kepada Israel – sedikit sebanyak boleh mematahkan semangat mereka yang sejak awal berjuang atas nama kemanusiaan dan agama. Bagaimanapun, kenyataan sedemikian sebenarnya langsung tidak mencerminkan situasi ekonomi Israel dan penyokongnya jika kita lihat menerusi lensa yang lebih sensitif.
Ketika Israel memaparkan ‘kekuatan’ mereka di lapangan perang di Gaza – ramai pemimpin gerakan penentangan Palestin syahid, termasuk rekod jenayah di Gaza yang semakin melampau – ekonomi kerajaan yang ditadbir Benjamin Netanyahu itu mencatatkan rekod negatif apabila saham pasaran menurun sejak 7 Oktober 2023.
Dilaporkan inflasi tahunan Israel meningkat pada Julai untuk tujuh bulan berturut-turut dengan harga indeks pengguna meningkat kepada 0.6% pada bulan yang sama. Tidak cukup dengan itu, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di Israel pada 2024 dijangkakan menyusut lebih teruk kepada 1.1% daripada 2% pada 2023. Sekiranya jangkaan itu tepat, bermakna sudah tiga tahun Israel berputih mata menyaksikan rekod KDNK menyusut berturut-turut daripada 6.5% pada 2022.
Maka, tidak hairanlah jika perang di Gaza mendorong agensi kredit, Fitch Ratings menurunkan taraf kredit Israel daripada A+ kepada A. Begitu juga dengan Moody’s Ratings, menggredkan Israel daripada A2 kepada Baa1 kerana pemerhatian terhadap ekonominya kekal negatif.
Pada 12 Julai 2024, Pelabuhan Eilat yang menjadi satu-satunya pelaburan di Laut Merah, selatan Israel diisytiharkan muflis susulan daripada ketiadaan aktiviti komersial selama 8 bulan dan tidak menerima kehadiran kapal dan kontena, terutamanya yang datang dari pasaran negara Asia. Pada ketika itu, kebanyakan syarikat luar yang cuba ke Israel melalui jalan laut terpaksa berdepan dengan serangan oleh pasukan Yaman, Houthi dan situasi itu menyebabkan ramai pela Di Israel juga mereka menyaksikan lebih 46,000 perniagaan gulung tikar kerana peningkatan inflasi yang melampau, didorong oleh perbelanjaan perang di Gaza yang bernilai sekitar RM282.69 bilion.
Bagaimana pula dengan keadaan ekonomi syarikat pro-Israel?
Syarikat pembuatan mesin pembinaan dan perlombongan, Caterpillar berdepan dengan krisis besar apabila kumpulan wang persaraan, KLP di Norway menjual hampir $70 juta sahamnya pada Jun 2024 kerana enggan berkompromi dengan keganasan yang dilakukan rejim Israel di Gaza.
Manakala KFC Indonesia menanggung kerugian yang besar berjumlah Rp 557.08 bilion bagi suku ketiga 2024 ekoran daripada penutupan lebih 10 buah cawangan dan pemecatan seramai 2,275 orang pekerja sepanjang 2023. Selain disebabkan pemulihan yang perlahan pasca pandemik COVID19, sentimen perang di Palestin juga menyumbang kepada kerugian KFC Indonesia.
Carrefour mengumumkan penutupan perniagaannya di seluruh Jordan bermula 4 November 2024 kerana boikot besar-besaran terhadap jenama yang menyokong Israel. Pada masa yang sama, pusat beli belah terkemuka dan peruncitan di seluruh Asia Barat; Afrika dan Asia, Majid Al Futtaim Group turut membatalkan kerjasama mereka dengan Carrefour selepas menyaksikan sendiri kerugian sebanyak 47% akibat krisis geopolitik Israel-Palestin.
Starbucks juga turut terkesan dengan boikot barangan pro-Zionis apabila mereka mengumumkan penutupan sementara 50 buah cawangan di seluruh Malaysia. Marketing Interactive mendedahkan Starbucks mencatatkan kerugian sebanyak RM38.2 juta dalam tempoh tiga bulan yang berakhir pada Jun. Walaupun kerugian itu pada awalnya didorong oleh solidariti untuk Palestin, namun faktor harganya yang mahal dan pilihan kopi lokal yang pelbagai seperti Zus Coffee, GIGI Coffee dan Bask Bear Coffee menyebabkan rakyat Malaysia lebih bijak memilih.
Jadi, melihat kepada impak besar yang dialami oleh Israel, termasuk syarikat pro-Zionis, adakah kenyataan berbaur provokasi - “Boikot atau tidak, sama je. Tidak memberi kesan pun kepada Israel.” - membuktikan usaha boikot tidak relevan?
Sudah tentu masih relevan. Jika tidak, tidak mungkin KLP dan Carrefour terpaksa berundur dengan cara mereka sendiri akibat boikot ketika kedua-duanya merupakan syarikat gergasi. Jangan lupa juga dengan insiden jenama sukan gergasi dunia, PUMA yang mengumumkan keputusan mereka untuk menamatkan kerjasama dengan Israel Football Association (IFA) selepas dihentam boikot dari kalangan pengguna pro-Palestin.
Semua tindakan memboikot berlaku sekiranya kita ada rasa empati dan menindas kekejaman yang berlaku di Palestin. Mungkin, sesebuah syarikat itu tidak memberi dana kepada Israel secara langsung untuk keperluan peperangan tetapi mereka menyokong genosid dengan cara tersendiri seperti membekalkan makanan, menawarkan perubatan atau rawatan kepada tentera Israel yang memerangi rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza. Tidak mustahil mereka jugalah syarikat yang membekalkan produk untuk digunakan rejim Israel sebagai aset peperangan seperti Caterpillar dan menawarkan perkhidmatan kepada kerajaan Benjamin Netanyahu seperti Hewlett Packard (HP), Amazon Web Services dan Google Cloud, Booking.com dan AirBnB.
Jadi, bagi menampakkan usaha boikot berhasil, ia perlu dilaksanakan berdasarkan strategi yang sempurna, bukan membabi buta sehingga akhirnya memakan diri sendiri. Jika syarikat-syarikat yang menyokong genosid di Gaza ini boleh ‘menekan’ Israel untuk terus melancarkan perang, maka kita sebagai pengguna yang memiliki kuasa dan hak yang lebih besar, kita juga mampu ‘menekan’ mereka untuk berhenti menyokong rejim Israel.
Melihat kepada semangat boikot di negara Barat, tidakkah mereka menginspirasikan kita untuk turut bersama berjuang demi kemanusiaan? Buktikan semangat boikot kita jauh lebih hebat berbanding mereka. Teruskan usaha mewujudkan kesedaran memboikot kerana ia memainkan peranan penting dalam meningkatkan gelombang ketakutan dalam kalangan pelabur Israel. Teruskan memboikot demi kemanusiaan, demi agama dan demi keamanan dunia.