All Articles

Lebih 125,000 Warga Haram Israel Lari Tinggalkan ‘Tanah Air’ Sendiri

Written by
Lia Maryam
Published on
November 7, 2025

Meskipun warga Yahudi Zionis di wilayah haram Israel sering menguar-uarkan bahawa mereka adalah bangsa pilihan tuhan; lebih berhak ke atas tanah suci Palestin lalu dengan bangga menjajah dan menjarah bumi barakah dengan alasan itu hak milik mereka. Namun hari ini, ketika perang masih berlarutan dan sudah pun memasuki tahun kedua, hakikatnya mereka sendiri telah mendustakan apa yang mereka laung-laungkan selama ini. Mana mungkin sesebuah bangsa sanggup meninggalkan tanah air sendiri sedangkan mereka berdepan perang penjajahan; melainkan mereka sendiri adalah bangsa penjajah! 


Menurut laporan analisis The Times of Israel, lebih 125,000 warga haram Israel telah berpindah ke luar negara antara awal 2022 sehingga pertengahan 2024. Laporan yang disediakan oleh Pusat Penyelidikan dan Maklumat Knesset (RIC) itu mendedahkan beberapa faktor utama termasuklah disebabkan oleh peperangan antara rejim Israel dengan HAMAS di Gaza, ketidakstabilan politik susulan protes rakyat terhadap pembaharuan kehakiman 2023, serta kesan perang Rusia-Ukraine yang menyebabkan lonjakan penghijrahan kekal. Trend ini dijangka berterusan sehingga tahun 2025 memandangkan perang masih berlarutan. 


Menurut laporan yang sama, sekitar 41,400 warga haram telah meninggalkan negara haram itu pada tahun 2021, seramai 59,400 pada tahun 2022, sementara jumlah tertinggi pernah direkodkan iaitu seramai 82,800 pada tahun 2023. Sementara pada tahun 2024 pula, hampir 50,000 individu telah meninggalkan wilayah haram Israel dalam tempoh Januari sehingga Ogos sahaja.


Data yang dikumpulkan oleh Dr. Ayala Eliyahu, penyelidik dari pusat yang sama, menggunakan takrif emigran seperti yang ditetapkan oleh Biro Perangkaan Pusat Israel (CBS), iaitu individu yang berada di luar Israel sekurang-kurangnya 275 hari dalam tempoh setahun selepas berlepas. Seseorang pula dianggap sebagai ‘kembali’ sekiranya mereka menetap semula di Israel selama sekurang-kurangnya 275 hari dalam tempoh setahun selepas berada di luar negara.


Menurut kajian Profesor Sosiologi Kolej Oranim, Lilach Lev Ari, corak penghijrahan kali ini berbeza berbanding dekad-dekad terdahulu. Dahulu, kebanyakan warga haram Israel berhijrah ke luar negara demi mencari taraf hidup lebih baik, peluang pendidikan dan kejayaan. Namun kini, faktor utama yang mendorong penghijrahan tersebut ialah ketidaktentuan politik serta situasi keselamatan di wilayah haram itu sendiri.


Institut Insurans Kebangsaan (NII) pula boleh menamatkan status pemastautin seseorang di Israel selepas lima tahun tinggal di luar negara. Namun, menurut peguam NII, Danny Zaken, warga haram Israel sendiri juga boleh mengambil inisiatif untuk membatalkan status pemastautin mereka. Hakikatnya, jumlah permohonan seperti itu kini meningkat lebih tiga kali ganda — daripada purata 2,500 pada tahun 2021 kepada 8,400 pada tahun 2024.


Anggaran defisit migrasi bersih sebanyak 125,200 orang dalam laporan tersebut tidak termasuk imigran baharu. Menurut data CBS:

  • Wilayah haram Israel menerima lebih 74,000 pendatang baharu pada tahun 2022,
  • 46,000 orang pada tahun 2023 dan
  • Sekitar 24,000 orang dalam lapan bulan pertama tahun 2024

Laporan Ynet memetik penilaian yang disediakan oleh RIC:

“Ini bukan lagi sekadar trend rakyat meninggalkan negara, tetapi sudah menjadi tsunami. Ramai rakyat Israel memilih untuk membina masa depan mereka di luar negara Israel dan semakin sedikit yang mahu kembali,” kata Pengerusi Jawatankuasa Knesset, Ahli Parlimen Gilad Kariv, sambil menambah bahawa keadaan ini pada hakikatnya mengancam ketahanan rakyat Israel dan perlu dianggap sebagai ancaman strategik yang sebenar. Tambahnya lagi, keadaan ini bukanlah takdir, melainkan ianya adalah hasil daripada tindakan kerajaan yang telah memecahbelahkan masyarakat haram Israel sendiri sebelum perang dan mengabaikan aspek awam sepanjang dua tahun lalu.


Walaupun termeterainya gencatan senjata di Gaza, yang realitinya telah dilanggar berkali-kali oleh Tel Aviv. Namun, pegawai haram Israel terus mengancam HAMAS dengan siri ketenteraan baharu, di samping mengeluarkan ancaman serupa terhadap Hizbullah, Iran dan Yaman. Menurut tinjauan tahun 2024 oleh Pertubuhan Zionis Sedunia (WZO), 80% warga haram Israel yang tinggal di luar negara sebenarnya telah menyatakan bahwa mereka tidak berniat untuk pulang semula ke wilayah yang mereka anggap sebagai ‘tanah air’.


Malah, menurut salah satu sumber, sebelum bermulanya pembunuhan beramai-ramai di Gaza, jumlah warga haram Israel yang memohon pasport asing sudah pun meningkat mendadak akibat ketidakstabilan politik dalam negara.


Justeru, lonjakan ini telah menghidupkan semula kebimbangan lama dalam kalangan masyarakat haram Israel bahawa pergolakan dalaman boleh membawa kepada fenomena ‘Aliyah Songsang’ (Reverse Aliyah) iaitu penghijrahan besar-besaran orang Yahudi keluar ke negara lain. Keadaan ini nyatanya bertentangan dengan gelombang imigresen besar-besaran yang pernah berlaku pada awal abad ke-20 yang pernah membawa kepada penubuhan negara haram tersebut.


Adakah ‘Israel’ sedang menuju ke ambang keruntuhannya yang sebenar, sebagaimana unjuran yang pernah diramalkan oleh as-Syahid Sheikh Ahmad Yassin, bahawa ‘Israel’ bakal menjadi wilayah sifar rakyat haramnya menjelang 2027?


Sumber: The Times of Israel, The Cradle