All Articles

Laporan Sulit AS Dedah Jenayah Perang Israel, Washington Terus Membisu

Written by
Lia Maryam
Published on
November 19, 2025

Akhbar The Washington Post mendedahkan laporan sulit dari Pejabat Pemeriksa Am Jabatan Negara Amerika Syarikat (State Department’s Office of Inspector General) yang memaparkan ratusan pelanggaran undang-undang yangg dilakukan oleh tentera rejim Israel yang diklasifikasikan sebagai jenayah perang terhadap orang awam Palestin di Tebing Barat dan semenanjung Gaza. Laporan itu turut menyertakan contoh-contoh nyata sepanjang konflik Taufan al-Aqsa yang berlangsung hampir dua tahun.

Antara insiden utama yang disiasat termasuk pembunuhan tujuh pekerja sementara World Central Kitchen (WCK) pada April 2024. Selain itu, lebih 100 rakyat Palestin terbunuh dan 760 lagi cedera ketika berebut bantuan di sekitar trak makanan berhampiran bandar Gaza pada Februari 2024. Laporan tersebut juga merekodkan seorang rakyat Palestin yang memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) telah dibunuh oleh pasukan tentera rejim di Tebing Barat tanpa sebarang waran tangkap yang jelas yang dikenakan terhadapnya. 

Laporan ini disiapkan hanya beberapa hari sebelum rejim Israel dan HAMAS mencapai perjanjian gencatan senjata yang membawa kepada pembebasan baki tawanan Israel yang masih hidup sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, serta pengunduran sebahagian tentera Israel dan kemasukan terhad bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden sebelum ini mengakui insiden-insiden dalam laporan ini, namun belum mencapai kesimpulan sama ada senjata AS digunakan atau tidak dalam serangan tersebut. Meskipun laporan itu dikeluarkan oleh Pejabat Pemeriksa Am Jabatan Negara Amerika Syarikat, namun Washington masih kekal membisu. Kerajaan AS tidak mengulas sama sekali sama ada laporan tersebut sahih atau tidak, sebagaimana jangkaan kita bahawa mereka sememangnya mengambil sikap pasif yang menjadi amalan AS sejak Donald Trump kembali ke Rumah Putih sebagai Presiden AS bagi penggal kedua berturut-turut.

Walaupun laporan itu berpotensi mempengaruhi keputusan AS, namun hal tersebut dilihat masih jauh untuk berlaku pada waktu ini, memandangkan tempoh lama yang diperlukan oleh pihak AS bagi mengesahkan kesahihan bukti dan hujah yang dijadikan sandaran dalam laporan tersebut. Walau bagaimanapun, Undang-Undang Leahy (Leahy Laws) — undang-undang yang melarang Washington memberi bantuan keselamatan kepada unit tentera asing yang dipercayai terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia — sebenarnya menyokong pendirian pemerintahnya dalam menilai semula atau menghentikan bantuan ketenteraan kepada tentera asing yang melakukan jenayah perang terhadap kemanusiaan dan dalam masa yang sama menerima bantuan daripada AS.

Undang-undang Leahy telah digubal semasa penggal bekas Presiden AS, Joe Biden yang lalu, tetapi keputusan negara dalam negara (deep state) AS mengatasi keputusan kerajaan AS sendiri yang diketuai oleh Biden, supaya bantuan AS terus mengalir kepada pendudukan rejim Israel tanpa sebarang gangguan. Waktu penerbitan laporan itu pula dipilih dengan sangat teliti, kerana ia dikeluarkan selepas gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza, yang mengehadkan kemungkinan laporan tersebut dimanfaatkan untuk mempercepatkan proses penghentian perang, khususnya oleh pihak pejuang Palestin yang menggunakannya sebagai kad kemenangan semasa proses rundingan.

Selain itu, manfaat daripada laporan tersebut pada masa kini bukanlah tiada. Ianya masih boleh dimanfaatkan untuk menyokong pendakwaan rejim penjajah melalui mahkamah antarabangsa dan menolak akses para tenteranya serta pemimpin mereka apabila mereka mengadakan lawatan berulang kali atas tujuan pelancongan ke banyak negara Islam, Eropah, AS dan lain-lain. Bahkan tindakan itu akan mewujudkan tekanan psikologi ke atas keseluruhan masyarakat haram Israel, sehingga melemahkan semangat perang dengan merencatkan dorongan dalam keluarga yang mendorong anak-anak mereka menyertai tentera menentang rakyat Palestin.

Laporan itu juga boleh dimanfaatkan untuk mempengaruhi pandangan umum rakyat AS dan Eropah, yang sejak kecil telah dibesarkan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan. Terutama dalam konteks kerajaan AS yang berhaluan ekstrem, daripada Menteri Pertahanan hinggalah kepada Menteri Luar, termasuk Mark Rubio, yang sentiasa menyokong rejim Israel secara mutlak sejak beliau menjadi ahli Kongres, sehingga menjadi ketua diplomasi AS semasa pentadbiran Trump.

Walaupun kerajaan AS secara rasmi memilih untuk berdiam diri, laporan ini tetap menjadi dokumen yang memuatkan kecaman moral dan politik, yang pada masa hadapan berpotensi menjadi bahan undang-undang untuk menuntut pertanggungjawaban terhadap jenayah perang rejim Israel, sekaligus membongkar sikap hipokrit dan dwi-standard dalam dasar politik AS.

Sebagai rekod, AS telah membelanjakan sekurang-kurangnya AS$17.9 bilion, bersamaan RM74.87 bilion, dalam tempoh setahun konflik Taufan al-Aqsa yang bermula pada 7 Oktober 2023. Jumlah itu berbentuk bantuan ketenteraan kepada rejim Israel. Selain itu, puluhan bilion dolar tambahan turut diluluskan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Keseluruhannya menjadikan rejim Israel penerima bantuan luar terbesar dalam sejarah AS, menurut The Times of Israel.