All Articles

Kumpulan Pengkhianat di Gaza: Boneka Rejim yang Rapuh

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
December 10, 2025


Sepanjang tempoh Operasi Taufan al-Aqsa berlangsung, Gaza telah menyaksikan kemunculan beberapa kumpulan pengkhianat yang pada awalnya merupakan penjenayah-penjenayah yang memiliki rekod jenayah dan berada dalam tahanan. Realitinya, kemunculan mereka ini dengan begitu mudah mendedahkan kelemahan struktur organisasi serta pergantungan langsung mereka dengan pihak rejim Israel dan Pihak Berkuasa Palestin (PA). Malahan kumpulan-kumpulan ini tidak memiliki kemampuan untuk melaksanakan sebarang projek atas kapasiti yang ada atau bahkan kemampuan untuk membentuk kekuatan sendiri. 


Sebaliknya, mereka berfungsi sebagai alat sementara yang bergerak dalam batas tertentu hanya untuk memenuhi kepentingan kuasa asing, yang tidak ada kaitan dengan struktur sosial dalaman mereka. Justeru penulisan ini akan membantu para pembaca memahami bagaimana terbatasnya mereka, jauh berbeza daripada naratif yang dibawa media yang menggambarkan mereka seolah-olah menjadi aktor baharu dalam perubahan landskap kuasa di Gaza. 


Kumpulan pertama yang muncul adalah kumpulan di bawah pimpinan Yasser Abu Shabab, seorang warga Gaza yang telah melarikan diri dari penjara atas tuduhan menyeludup dadah dan pemerdagangan senjata. Abu Shabab mengumpulkan individu-individu yang mempunyai rekod jenayah dan moral yang buruk di Gaza, termasuk mereka dari kabilah Badwi serta sebahagian anggota keluarga lain yang mempunyai rekod masalah dengan kerajaan atas kes-kes yang melibatkan mereka secara sah. 


Dalam konteks yang sama, Abu Shabab menamakan kumpulannya sebagai ‘Pasukan Rakyat’. Abu Shabab sebelum ini pernah muncul dalam beberapa wawancara radio, di mana beliau sendiri mengakui adanya hubungan dan kerjasama antara dirinya dan pihak tentera rejim penjajah. Abu Shabab dan kumpulannya dilihat berada di lokasi atau di kawasan yang berada di bawah kawalan tentera rejim, atau dikenali sebagai zon Garisan Kuning. Sepanjang tempoh perang, kumpulan inilah yang bertindak menghalang laluan penduduk Gaza yang cuba berpindah ke daerah selatan, selain mencuri bantuan kemanusiaan sebagai sebahagian daripada rancangan untuk membiarkan rakyat Gaza kebuluran lalu berharap rakyat akan bangkit marah terhadap gerakan pejuang Palestin.


Gerakan pejuang telah melaksanakan pelbagai operasi keselamatan dan ketenteraan yang bertujuan untuk melemahkan kemunculan Abu Shabab. Misalnya pada awal tahun ini, gerakan pejuang Palestin khususnya melalui Pasukan Sahm yang bernaung di bawah pentadbiran kerajaan Gaza, menyasarkan sebuah kenderaan milik kumpulan Abu Shabab dengan peluru anti-perisai, menyebabkan ahli kumpulannya yang berada di dalam kenderaan itu terbunuh.


Pihak pejuang juga telah mengklasifikasikan mereka sebagai ‘mustaaribin’ (ejen penyamar bagi pihak penjajah), menjadikan mereka sasaran yang sah bagi pihak pejuang Palestin di Gaza. Ini terbukti dalam salah satu video yang disiarkan oleh pihak pejuang ketika menangkis serangan rejim penjajah di kawasan Rafah, di mana sebuah bahan letupan diletupkan ke atas sekumpulan anggota kumpulan Abu Shabab, menyebabkan kematian dan kecederaan serta-merta.


Jelas daripada sifat pergerakan kumpulan ini, jika diperhatikan ia bukan sekadar organisasi/kumpulan penjenayah, tetapi sebaliknya merupakan sebuah projek sabotaj dengan fungsi keselamatan yang jelas, yang berkait secara langsung dengan percubaan rejim penjajah untuk memecah-belahkan sokongan masyarakat terhadap perjuangan gerakan pejuang Palestin.


Sementara dari satu sudut lain, perisikan rejim Israel menubuhkan kumpulan-kumpulan lain untuk menggugat keselamatan dan kestabilan serta mengalihkan perhatian operasi keselamatan dan ketenteraan gerakan pejuang. Mereka memanfaatkan kemunculan atau kehadiran seorang individu bernama Hussam al-Astal di kawasan Khan Yunis untuk membentuk sebuah kumpulan tentera yang juga menentang gerakan pejuang.


Al-Astal dituduh bekerjasama secara langsung dengan pihak penjajah. Badan kehakiman Palestin pernah menjatuhkan hukuman mati ke atasnya kerana penglibatannya dalam pembunuhan seorang pimpinan pejuang. Walau bagaimanapun, perang yang berlaku telah membolehkannya melarikan diri dari penjara lalu menubuhkan kumpulannya sendiri.


Al-Astal pernah muncul dalam sebuah video di mana beliau membakar bendera rasmi gerakan HAMAS, sambil menegaskan dan mencabar bahawa tiada akan ada lagi “Al-Akhdar” selepas hari itu. Perlu dinyatakan bahawa rakyat Palestin memaksudkan HAMAS apabila menyebut “Al-Akhdar” (hijau) bersempena warna bendera mereka. Ianya sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan serangan penjajah jika menyebutnya secara terus. Kumpulan al-Astal dianggap lebih lemah/rapuh berbanding kumpulan Abu Shabab. Justeru itu, mereka menjadikan kawasan di mana adanya tentera penjajah berada sebagai pusat operasi mereka.


Apa yang dilakukan oleh al-Astal jelas menunjukkan bahawa unsur simbolik, iaitu dengan menyasarkan bendera HAMAS adalah sebahagian daripada strateteginya, sekaligus mencerminkan keinginan penjajah untuk mewujudkan kesan psikologi dan media yang selari dengan serangan ketenteraan.


Di bandar Gaza pula, perisikan mengulangi pendekatan yang sama dengan menubuhkan kumpulan yang diketuai oleh Rami Helles di kawasan al-Shujaiyah. Rami mengumpulkan individu yang mempunyai rekod jenayah dan moral yang buruk, termasuk beberapa bekas pegawai dalam PA (sebelum tahun 2006–2007) yang menaruh kebencian terhadap pejuang sejak kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Legislatif 2006.


Sementara itu, stesen utara Gaza menjadi lokasi terakhir penubuhan kumpulan jenayah oleh Ashraf al-Mansi. Beliau menggunakan pendekatan yang sama, merakam video pendek untuk mengumumkan pembentukan ‘Tentera Rakyat’ yang menentang usaha penentangan pejuang Palestin. Dalam video tersebut, beliau muncul bersama kumpulannya dengan senjata ringan dan kedudukan jelas di kawasan Garisan Kuning. Namun, gerakan pejuang telah menumpaskan beliau dan kumpulannya.


Gerakan pejuang menyasarkan kumpulan ini secara langsung, seperti yang dirakamkan dalam sebuah video yang mendokumentasikan pembunuhan penembak tepat salah seorang anggota dari kumpulan pengkhianat ini. Kemudian, khabar angin yang tersebar dalam kalangan orang awam Gaza bahawa dia telah menerima rawatan di hospital di wilayah haram Israel. Insiden ini menunjukkan bahawa pihak rejim memanfaatkan dendam politik yang telah lama wujud sebagai alat untuk menembusi barisan hadapan di Gaza, dengan mengambil kesempatan daripada percanggahan yang berlaku dalam skop sosial dan sejarah rakyat.


Sementara itu, stesen utara Gaza menjadi lokasi terakhir penubuhan kumpulan samseng penjenayah di bawah pimpinan Ashraf al-Mansi. Ashraf turut menggunakan pendekatan yang sama dengan Yasser Abu Shabab, dengan mengumumkan pembentukan kumpulannya sebagai ‘Tentera Rakyat’, yang memusuhi gerakan pejuang Palestin melalui sebuah rakaman video pendek. Dalam video tersebut, dia muncul bersama kumpulannya, bersenjatakan senjata peribadi dan berkedudukan jelas di kawasan Garis Kuning. Kumpulan pengkhianat ini turut menjadi sasaran gerakan pejuang.


Keadaan rapuh dan keruntuhan kumpulan ini menegaskan bahawa ia dibina di atas struktur organisasi yang lemah dan tidak bersatu. Berbeza dengan kumpulan Abu Shabab yang cuba memainkan sentimen ikatan kaum dan kabilah untuk meraih sokongan masyarakat terhadap kumpulannya. Walaupun begitu, beberapa perkembangan menarik muncul dalam kalangan kumpulan pengkhianat ini secara umum, terutamanya kumpulan paling berpengaruh iaitu kumpulan Abu Shabab. Ramai ahli kumpulannya telah menyerah diri kepada pasukan keselamatan pejuang, sementara Abu Shabab pula menuduh hal ini berlaku disebabkan kumpulan lain telah mempengaruhi mereka dan menyimpan rasa tidak puas hati terhadap kumpulannya sendiri disebabkan asal usul kumpulannya dari kaum Badwi. 


Abu Shabab kemudian berusaha melakukan penapisan semula dalam barisan kumpulannya. Ianya demi memastikan mereka hanya terdiri daripada ahli Badwi kerana didorong oleh ikatan tradisi Badwi yang kukuh. Perpecahan ini justeru mendedahkan bahawa kumpulan-kumpulan pengkhianat ini ketiadaan visi atau agenda yang menyatukan dan dengan mudah berubah menjadi konflik dalaman, sekaligus menjadikannya lebih mudah untuk gerakan pejuang memusnahkan mereka.


Dalam beberapa hari terakhir ini, berlaku perdebatan antara pimpinan rejim Israel dan agensi keselamatannya, Shin Bet mengenai masa depan kumpulan Abu Shabab. Akhbar Haaretz melaporkan bahawa Ketua Turus Tentera, Eyal Zamir telah mengarahkan supaya operasi kumpulan-kumpulan ini dihentikan dan anggotanya diusir dengan penyelarasan bersama Shin Bet. Tindakan ini dilakukan seiring dengan persiapan fasa kedua perjanjian gencatan senjata dan permulaan proses pengunduran menuju Garis Merah. Keputusan ini merupakan petunjuk jelas tentang kegagalan pertaruhan rejim Israel terhadap kumpulan-kumpulan ini, sekaligus ketidakupayaan mereka untuk menimbulkan ancaman sebenar kepada struktur dalaman Gaza.


Oleh yang demikian, meskipun kumpulan-kumpulan ini menerima sokongan besar daripada tentera penjajah dan PA, perkara ini tidak melemahkan barisan hadapan dalaman Gaza. Sebaliknya, sokongan rakyat terus berpihak kepada gerakan pejuang, menolak kumpulan-kumpulan pengkhianat dan memperlihatkan kemampuan masyarakat dalam membezakan antara perjuangan gerakan pejuang yang sejati dan projek sabotaj yang berkait dengan penjajah.


Pengalaman ini membuktikan bahawa kumpulan-kumpulan pengkhianat yang muncul di Gaza tidak pernah memiliki asas untuk bertahan hidup atau bahkan keupayaan untuk mencipta realiti baharu yang mereka harapkan. Kejatuhan mereka merupakan natijah yang tidak dapat dielakkan akibat pergantungan penuh pada pihak penjajah dan PA, serta ketiadaan sokongan sosial atau legitimasi tempatan untuk mereka. Senjata mereka tidak lebih hanya sekadar sebagai alat usang yang digunakan untuk tujuan terhad pada saat-saat tertentu, sebelum runtuh sebaik sahaja keadaan berubah.


Oleh itu, perbincangan mengenai kebangkitan kumpulan-kumpulan pengkhianat ini atau kemampuan mereka untuk mewujudkan realiti baharu di lapangan hanyalah sebuah ilusi. Fakta menunjukkan bahawa masyarakat jauh lebih kukuh daripada struktur sementara ini dan persekitaran Gaza sendiri tidak pernah menghasilkan atau memberi ruang kepada kumpulan rapuh sebegini.


Diterjemahkan oleh: Lia Maryam binti Faisal