All Articles

Kini Gencatan Senjata di Gaza, Apa Seterusnya?

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
January 20, 2025

Ketika penulisan artikel ini, seluruh dunia meraikan gencatan senjata yang berlangsung pada Ahad, 19 Januari 2025. Gencatan senjata ini adalah kemenangan untuk penduduk Gaza yang bertahan hampir 470 hari dibedil rejim Israel. 

Tidak dinafikan Israel ‘liat’ untuk tunduk dengan persetujuan yang telah disepakati pada Rabu, 15 Januari 2025. Mereka menuduh HAMAS menarik semula beberapa elemen yang ditetapkan di dalam perjanjian gencatan senjata walhal pengantara rundingan Israel-HAMAS sendiri sudah mengesahkan perjanjian itu diterima. 

Mengenangkan lebih setahun untuk penduduk Gaza menarik nafas lega mendengar khabar gembira, timbul persoalan – kenapa baru sekarang gencatan senjata boleh dipersetujui?

Benjamin Netanyahu, Donald Trump & Pelan Mega

Hasil rundingan gencatan senjata yang kita lihat pada hari ini sebenarnya berdasarkan usul yang telah diusulkan oleh HAMAS melalui pihak pengantara – Mesir dan Qatar – kepada Israel pada awal Februari 2024. Tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menganggap usul HAMAS itu hanya sekadar khayalan disebabkan satu tuntutan iaitu: Israeli forces to withdraw outside Gaza Strip.

Angkuhnya Israel apabila mantan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengusulkan draf gencatan senjata pada Mei 2024 yang ‘mengitar semula’ kehendak HAMAS, kerajaan Netanyahu menyelar idea itu dengan kenyataan: “Israel has not changed its conditions to reach a permanent cease-fire. That will only happen after our objectives are met, including destroying Hamas’ military and governing capabilities.”  

Apakah persamaan usul gencatan senjata yang menyebabkan Israel enggan bersetuju pada ketika itu? Mudah. Israel tidak mahu berundur dari Gaza dan tetap mengejar objektif mereka untuk menghapuskan HAMAS.

Bagaimanapun, kemenangan Donald Trump sebagai Presiden AS ke-47 menyebabkan rundingan gencatan senjata di Gaza sekelip mata sahaja termeterai. 

“All hell will break out in the Middle East.” 

Ugutan Donald Trump yang khusus ditujukan kepada HAMAS pada Januari 2025, sudah cukup merisaukan kita dengan keadaan di Gaza yang seperti di neraka, bakal berdepan dengan satu lagi neraka di bawah pentadbiran baharu. Tetapi, ugutan ini bukanlah tamparan untuk HAMAS kerana mereka tidak berganjak dengan pendirian awal sejak awal 2024. Sebaliknya ia memberi tekanan kepada Netanyahu yang pada ketika itu menyedari dia sudah kalah – checkmate!

Bagaimana?

Netanyahu membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang gagal apabila bertindak agresif dengan meneruskan perang di semenanjung Gaza walaupun Biden memberi amaran untuk tidak mengulangi kesilapan AS dalam menangani insiden 9/11. 

Ekoran daripada itu, Netanyahu telah kehilangan pengaruhnya sebagaimana tinjauan yang dilakukan oleh beberapa pihak penganalisis; Likud memperoleh 30 kerusi pada Ogos 2024 dan angka tersebut menurun kepada 27 kerusi pada Januari 2025. Dan parti koalisi Netanyahu pada Januari 2025 mencatatkan penurunan dengan rekod 48 kerusi daripada 120 kerusi. Ia merupakan penyusutan yang mendadak memandangkan pada kerajaan Israel pada hari ini adalah berdasarkan parti koalisi yang memperoleh 64 kerusi pada 2022. Secara tidak langsung, parti kiri berupaya untuk membentuk kerajaan dan menumbangkan Netanyahu! 

Tidak hairan jugalah Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich berani mengugut mahu menjatuhkan kerajaan Netanyahu sekiranya perjanjian gencatan senjata diterima. Kerana mereka tahu, dalam satu malam sahaja Netanyahu boleh digulingkan. 

Tekanan daripada rakyat yang berterusan memprotes Netanyahu untuk segera membawa pulang tawanan Israel di Gaza, ditambah pula dengan desakan daripada menteri-menterinya seperti Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich yang mahu perang diteruskan. Keadaan yang tersepit membuatkan Netanyahu serba tidak kena kerana perlu menimbang tara hak rakyat dan pada masa yang sama memastikan dia masih berkuasa untuk meneruskan agenda Israel Raya (The Greater Israel).

Lebih parah, pasukan ketenteraan Israel juga semakin lemah kerana peperangan yang berterusan tanpa tanda untuk menang dalam masa terdekat. Masalah mental yang dihadapi oleh pasukan tentera Israel sejak perang 7 Oktober 2023 bukan sahaja menyebabkan sekitar 9,000 orang tentera Israel terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri tetapi angka bunuh diri dalam kalangan mereka juga meningkat kepada 28 orang setakat Januari 2025.

Kos peperangan yang mencecah $67.57 bilion (RM304.34 bilion) yang ditanggung Israel untuk menghapuskan HAMAS dan membunuh rakyat di Gaza cukup membuktikan entiti penjajah ini hanya menambahkan beban negara haram mereka. Manakan tidak, peruntukan yang sepatutnya dibelanjakan untuk sektor kesihatan dan pendidikan digunakan untuk peperangan, lagi-lagi menambah baik sistem pertahanan udara, Iron Dome dan mengukuhkan sempadan di Lembah Jordan. 

Jadi, apa lagi yang tinggal untuk Netanyahu selepas Trump memberi amaran?

Trump semestinya mahu memulakan era pentadbirannya dengan pelan yang lebih terancang. Dia sudah ada idea mega untuk dilunaskan sepanjang pentadbirannya akan datang. 

Pertama, ketika menjawat jawatan Presiden AS ke-45, Trump berjaya menormalisasikan hubungan beberapa negara Arab – Kesatuan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Morocco – dengan Israel melalui Perjanjian Abraham. Kini, satu-satunya negara yang perlu Trump ‘pujuk’ adalah Arab Saudi kerana Putera Mahkota Mohammed bin Salman sudah menegaskan tiada hubungan diplomatik dengan Israel selagi mana Palestin tidak diiktiraf sebagai sebuah negara dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara. 

Sekiranya Arab Saudi menandatangani Perjanjian Abraham ketika Netanyahu masih berkuasa di Israel, mudahlah untuk dia memulihkan reputasinya setelah lebih setahun dikecam sebagai pemimpin yang gagal.

Disebabkan itu, Trump enggan memanjangkan konflik Israel-HAMAS di Gaza dan memberi amaran bahawa sesiapa sahaja akan menanggung neraka di Timur Tengah. Ini bermakna, kerajaan Netanyahu juga tidak terkecuali. 

Kedua, walaupun Israel dilihat kalah pada hari ini, Trump sebenarnya sedang menyediakan platform yang lebih mudah untuk Netanyahu menjajah Semenanjung Gaza. 

Netanyahu mahu mengubah Gaza: 

  1. Daripada zon perang kepada zon keselamatan yang mana Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengawalnya.
  2. Menjadikan saiz Semenanjung Gaza lebih kecil dengan kewujudan lambakan penempatan haram sama seperti yang sedang berlaku di Tebing Barat. Justeru, wujudlah beberapa koridor dan pusat pemeriksaan – salah satunya, Koridor Netzarim yang ditubuhkan selepas utara Semenanjung Gaza ‘dikorbankan’ sehingga kawasan itu tidak sesuai didiami oleh sesiapa. 
  3. Adanya Israel mengawal Semenanjung Gaza, mudah untuk mereka menyekat kemasukan semula penduduk Palestin dan terus menghalau mereka ke negara luar.
  4. Melantik Pihak Berkuasa Palestin (PA) sebagai pentadbir Gaza dengan harapan tiada lagi pengaruh HAMAS, baik dari ahli HAMAS itu sendiri atau parti politik yang tidak sehaluan dengan PA.  

Trump yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pada 20 Januari 2025 tidak mustahil akan memberi sokongan penuh terhadap pelan Netanyahu kerana inilah rancangannya sejak 2020 dan sebab mengapa dia melantik Mike Huckabee sebagai duta AS ke Israel. Sebagai rekod, Huckabee merupakan pendukung utama kepada penjajahan di Tebing Barat dan pemindahan paksa rakyat Palestin. Pada masa yang sama, Netanyahu melantik Yechiel Leiter sebagai duta Israel ke AS memandangkan figura itu pernah aktif di dalam Liga Pertahanan Yahudi; menentang kuat kenegaraan Palestin; dan mendukung penjajahan di Tebing Barat. 

Gencatan Senjata: Kemenangan Kecil Yang Bermakna 

Tidak dinafikan gencatan senjata di Gaza merupakan kemenangan kecil yang mungkin menjadi pintu kemenangan mutlak pada masa akan datang. Dan bagi memerdekakan Palestin, kemenangan kecil ini perlu diikut rapat dan tidak wajar dipandang enteng. 

Kenapa?

Di sebalik kemenangan ini, ada muslihat yang sedang disusun rapi baik di pihak Trump mahupun pihak Netanyahu. Sekiranya parti politik dan gerakan mujahidin Palestin, termasuk kita sebagai penyokong pembebasan Palestin leka, Gaza mungkin akan mengharungi lagi satu episod duka. 

Jangan lupa tiga perkara – pertama, Trump akan meluaskan lagi normalisasi Israel dengan negara-negara Arab; kedua, Smotrich kekal di dalam kerajaan selepas mendapat jaminan bahawa Gaza akan dijajah sepenuhnya dan bantuan kemanusiaan akan disekat dengan lebih ketat selepas fasa pertama selesai; dan ketiga, di dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat (17 Januari 2025), Netanyahu mendakwa telah menerima janji daripada Trump bahawa perang akan disambung semula sekiranya rundingan menuju fasa kedua gagal.

Sungguh pun gencatan senjata sedang berjalan sekarang, tindakan Israel dan Amerika Syarikat wajib diperhatikan dengan teliti. Situasi sekarang terlalu awal untuk beranggapan bahawa tiada masalah akan timbul akibat onar Israel dengan Amerika Syarikat berada rapat di belakang, mengawasi agar tiada masalah akan timbul buat kawasan yang menjadi projek utama mereka di Timur Tengah itu.