Ketegangan di Iran: Revolusi Dalaman atau Percaturan Barat?

Situasi dalaman Iran dalam tempoh sebulan ini dapat dilihat agak tegang susulan gelombang protes yang diadakan di ibu negara itu. Hal ini berlaku seiring dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat (AS) yang mendedahkan pendekatan taktikal dan strategik baharu bagi menyasarkan struktur serta kestabilan sistem pemerintahan negara itu. Kenyataan demi kenyataan daripada pihak AS dan sekutunya, Israel telah memperlihatkan sokongan mereka terhadap para penunjuk perasaan di Iran. Justeru, hal ini dilihat sebagai satu langkah yang diambil untuk memberi dukungan dan meraih sokongan penduduk Iran, dengan tujuan menjatuhkan kerajaan Iran yang dianggap sebagai tonggak utama penentangan terhadap dominasi Barat di rantau tersebut.
Ketika berbicara soal ini, perbincangan terpandu ke arah melihat Iran yang berperanan dalam menyokong pelbagai gerakan penentangan yang bersifat anti-Israel di rantau Asia Barat. Sokongan berterusan ini bahkan berjaya membentuk satu ketumbukan tekanan ketenteraan yang mengepung Israel dari arah selatan dan utaranya. Ancaman tersebut bukan sahaja terhad pada kawasan sekeliling sahaja, malah turut meluas hingga ke Iraq, sebagaimana yang dapat dilihat dalam tempoh Operasi Taufan al-Aqsa berlangsung. Ianya memberi kesan besar terhadap kepentingan Israel. Kesan ini turut jelas kelihatan menerusi sekatan terhadap laluan perkapalan, susulan penguasaan kumpulan Houthi di Laut Merah, sekali gus membuka lagi medan konfrontasi baharu yang bukan sahaja terhadap Israel, tetapi juga terhadap AS.
Harus diperhatikan juga kenyataan daripada AS. Walaupun sering disampaikan dengan nada yang tegas dan kebanyakannya atas nama hak asasi dan kemanusiaan — seperti isu kebebasan bersuara dan sokongan terhadap rakyat Iran — pendekatan ini pada hakikatnya bertujuan memberi legitimasi politik terhadap sebarang tindakannya di hadapan masyarakat antarabangsa, selain menangkis kritikan yang mungkin timbul sekiranya terbukti wujud campur tangan langsung AS, sama ada secara politik atau ketenteraan dalam isu ini. Namun begitu, penggunaan sekatan ekonomi ke atas Iran kekal sebagai antara instrumen tekanan Barat yang paling berkesan, meskipun kerajaan Iran cuba bertahan kerana mereka sedar matlamat utama yang diharapkan daripada sekatan tersebut adalah untuk melemahkan sistem pemerintahan dan mendorongnya ke arah konflik dalaman yang berpanjangan.
Selain itu, ada juga bacaan yang menyatakan bahawa gelombang protes semasa yang berlaku di Iran adalah hasil percaturan Barat, dengan sasaran akhirnya adalah untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan menggantikannya dengan anak kepada bekas Shah Iran — yang dianggap sebagai tokoh pilihan Barat. Antara matlamat utama perubahan yang dirancang ini adalah untuk mengembalikan Iran di pentas antarabangsa mengikut acuan dan kehendak Barat. Langkah ini juga bertujuan meruntuhkan keseluruhan strategi yang telah dibina oleh kerajaan Iran sejak penubuhannya hasil daripada Revolusi Iran 1979.
Namun, senario ini terlalu idealistik kerana ia dijangka akan berdepan kesukaran memandangkan Iran adalah sebuah negara berteraskan ideologi, di mana majoriti rakyatnya berpegang kepada mazhab Syiah, dengan kepimpinan tertinggi juga berada di tangan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei. Beliau dilihat tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan, meskipun perlu mengorbankan nyawa rakyat sendiri sekiranya sistem pemerintahan dalam keadaan terancam. Iran juga dikenali antara negara yang cenderung menggunakan pendekatan kekerasan dalam mengekang protes yang boleh mengancam kestabilan rejim. Misalnya, semasa cubaan pembunuhan terhadap tokoh-tokoh Revolusi Iran oleh organisasi Mujahidin-e Khalq (MEK) pada tahun 1981, termasuk cubaan membunuh Ali Khamenei sebelum beliau memegang jawatan tertinggi negara.
Di samping itu, struktur pemerintahan Iran tidak bergantung kepada individu semata-mata. Sebaliknya, ia berasaskan sistem institusi yang kukuh, dengan sokongan beberapa cabang keselamatan dan ketenteraan yang beroperasi selari dengan prinsip negara, seperti Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Basij dan agensi perisikan. Institusi-institusi ini bersifat ideologi dan hampir tidak menunjukkan sebarang kecenderungan untuk berpecah, walaupun ketika berdepan krisis besar, sekali gus menjadikan senario kejatuhan kerajaan Iran sebagai sesuatu yang tidak realistik dari sudut praktikal.
Lebih daripada itu, andaian bahawa kejayaan rancangan AS untuk menjatuhkan kerajaan Iran sedia ada dan menggantikannya dengan rejim baharu akan membawa kestabilan adalah sangat meragukan. Sebaliknya, ia berpotensi mencetuskan perang saudara yang berpanjangan, khususnya memandangkan wujudnya sentimen nasionalisme Parsi dalam kalangan rakyat Iran — menolak pendekatan Barat yang bersifat dominan dan memandang rendah terhadap mereka.
Walau bagaimanapun, jika perang saudara meletus, kesannya berkemungkinan besar akan mencetuskan krisis yang boleh merebak luas di rantau ini. Hal ini disebabkan kedudukan geografi Iran yang strategik, yang terletak di antara negara-negara yang berpotensi tinggi tercetusnya konflik. Iran juga berfungsi sebagai laluan logistik utama bagi semua entiti bukan negara dan juga entiti negara misalnya di Afghanistan, Pakistan, Arab Saudi, Iraq, Turki, Syria, Lubnan dan Mesir.
Perlu juga diperhatikan sekiranya berlaku perpecahan di Iran, situasi ini berpotensi menimbulkan konflik puak bersenjata, terutamanya antara bangsa Kurdi, Baloch, Arab dan Azerbaijan. Hal ini akan mewujudkan peta ancaman baharu yang melangkaui bukan sekadar kejatuhan kerajaan, tetapi juga berkemungkinan munculnya entiti-entiti kecil yang saling bermusuhan, menjadikan rantau ini berada di ambang ketidakstabilan yang boleh berlarutan selama berdekad. Keadaan ini seterusnya menimbulkan cabaran yang belum pernah dialami oleh negara-negara di rantau ini.
Oleh itu, penulis berpendapat langkah yang wajar bagi negara-negara Arab dan Islam adalah dengan bergabung dalam satu pakatan pertahanan dan saling melindungi sekiranya berlaku peperangan di salah satu negara mereka atau tanah mereka dijadikan sebagai medan operasi, atau sekurang-sekurangnya mengambil langkah untuk menenangkan dan mengawal keadaan di Iran. Hal ini dilihat bahawa mudharat daripada kejatuhan sistem pemerintahan Iran adalah jauh lebih besar daripada manfaat yang mungkin diperolehi oleh negara-negara Arab dan Islam.
Selain itu, kejatuhan kerajaan Iran bakal memberi kesan negatif terhadap organisasi yang sentiasa menerima sokongan daripadanya seperti Hizbullah Lubnan, Hizbullah Iraq, Houthi, HAMAS dan Jihad Islami. Kesan ini akan dirasai terutamanya selepas sebahagian daripada organisasi ini mengalami keletihan akibat perang yang panjang, yang sudah berlangsung hampir dua tahun. Mereka memerlukan masa untuk menyusun semula pasukan, memperbaharui sumber dan bersiap untuk konfrontasi seterusnya dengan Israel.
Penting untuk ditegaskan bahawa Rusia dan China tidak akan berdiam diri sekiranya senario kejatuhan kerajaan Iran berlaku. Kedua-dua negara ini melihat Iran sebagai tonggak utama dalam keseimbangan kuasa antarabangsa bagi mengekang pengaruh AS. Justeru, ketegangan semasa yang berlaku dijangka akan memberi tekanan politik dan mungkin juga campur tangan secara tidak langsung daripada mereka. Hal ini demi memastikan kelangsungan kerajaan sedia ada atau sekurang-kurangnya menghalang kejatuhan sepenuhnya sistem pemerintahan Iran.
Walaupun begitu, salah satu faktor utama keberhasilan protes yang disokong dari luar ini adalah sokongan tersebut tidak ditunjukkan secara terbuka. Strategi ini bertujuan supaya gerakan protes yang sedang berlangsung tidak mudah dihentikan dengan alasan ia didalangi oleh pihak asing. Oleh itu, walaupun protes semasa di Iran mungkin tidak menerima sokongan secara langsung, sokongan tidak langsung serta penerimaan secara politiknya oleh AS, namun melalui pendekatan serangan senyap ini telah menjadikan protes ini berlanjutan lebih lama daripada yang dijangka.
Dalam masa yang sama, serangan ketenteraan secara langsung oleh AS dan Israel ke atas Iran, yang disokong kuasa Barat berpotensi membawa dua kemungkinan utama:
- Serangan ini mampu menguntungkan Iran apabila ancaman luar berjaya menyatukan barisan dalaman dan mengukuhkan solidariti rakyat dalam menghadapi peperangan. Dalam keadaan ini, serangan tersebut mampu menjadi tamparan hebat terhadap hasrat Barat yang sejak hampir tiga dekad lalu mengharapkan tercetusnya kebangkitan dalaman yang mampu menumbangkan kerajaan Iran.
- Serangan ini juga berupaya mengekalkan protes dalam bentuk sedia ada, dengan meneruskan sokongan tidak langsung bagi melemahkan dan mengalihkan fokus Iran. Pilihan ini secara tidak langsung memberi ruang dan masa kepada kerajaan Iran untuk memanfaatkan gelombang protes melalui tindakan pembunuhan ke atas para penunjuk perasaan dan kaedah penindasan lain, seperti yang lazim digunakan bagi mengekalkan kelangsungan sistem pemerintahan.
Sesetengah penganalisis berpendapat bahawa AS sebenarnya tidak menginginkan pun kerajaan Iran jatuh sepenuhnya. Sebaliknya, lebih kepada melemahkan dan mengalihkan fokus Iran kepada isu dalaman tanpa membenarkan negara itu jatuh sepenuhnya. Hal ini kerana kejatuhan Iran akan mewujudkan kekosongan yang menguasai tampuk kuasa — berpotensi dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang sukar dikawal atau ditangani.
Sudut pandang lain yang boleh diteliti dalam isu ini juga menjelaskan bahawa rakyat Iran memiliki keupayaan yang boleh menggugat situasi sedia ada kerajaan. Mereka memiliki kekuatan yang mampu menandingi kuasa mana-mana kerajaan, tidak kira sekuat apa pun kerajaan itu. Berdasarkan sejarah, apa yang pernah berlaku di Algeria, Perancis, Vietnam dan AS menunjukkan bahawa rakyat ada kuasa dan mampu menggugat empayar dan kerajaan yang tampak kukuh. Revolusi Syria juga menjadi bukti bagaimana rejim yang kelihatan mustahil tumbang, akhirnya berjaya digulingkan oleh rakyatnya sendiri.
Oleh itu, sekiranya protes Iran disokong kuasa luar, maka ianya boleh digagalkan melalui peningkatan kesedaran strategik dan kompromi taktikal kerajaan terhadap tuntutan rakyat. Namun, jika protes benar-benar lahir daripada rakyat Iran sendiri, kerajaan kini hakikatnya sedang berdepan ancaman serius dan perlu ditangani segera. Kerajaan mungkin cuba mengeksport krisis ke luar negara selepas menguasai situasi domestik, tetapi langkah ini berisiko menjadi titik kemusnahan bagi sistem pemerintahan Iran sendiri.
Kesukaran untuk menilai senario ini dari luar adalah tinggi kerana memerlukan pemahaman mendalam tentang masyarakat Iran dan cara berfikirnya yang kompleks. Tambahan pula, kerajaan Iran masih tidak yakin dengan jaminan politik Israel bahawa serangan tidak akan dilaksanakan dan kurang percaya terhadap sekutu strategik Israel, iaitu AS.
Kesimpulannya, walaupun protes kali ini lebih sengit dan berlangsung agak lama, ia tetap memerlukan masa yang panjang untuk memberi kesan sebenar, memandangkan keteguhan kerajaan sedia ada dan asas kukuh menjadi tunjang sistem negara itu. Di samping itu, pakatan Iran-Rusia masih beroperasi secara langsung dan tidak langsung. Masih menjadi persoalan sama ada Rusia akan membenarkan wujudnya kerajaan pro-Barat sepenuhnya di Iran, terutama dalam konteks usaha negara itu dalam mengekalkan pengaruhnya di rantau ini.
Sifat kerajaan Iran yang berteraskan agama dan ketenteraan turut menjadikan sebarang percubaan menjatuhkan sistemnya menjadi proses yang kompleks dan panjang. Sistem ini menggabungkan retorik ideologi, institusi keselamatan yang kukuh serta rangkaian pengaruh serantau yang memberikannya kedalaman strategik yang tidak dimiliki oleh negara lain di rantau ini. Justeru, Iran kekal sebagai titik tumpuan dalam keseimbangan kuasa di Asia Barat, dan sebarang gangguan terhadap struktur dalaman negara ini berpotensi mengubah semula peta keseimbangan serantau dan global secara keseluruhan.