All Articles

Jabaliya, utara Gaza Lebih Digeruni Zionis

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
January 16, 2025

Hari ini, sudah lebih 400 hari Gaza dibedil Zionis.

Pengepungan Jabaliya kali ini memakan masa yang sangat panjang berbanding siri sebelumnya. Sebagai rekod, pengepungan yang bermula pada Oktober 2024 merupakan kali ketiga dalam tempoh Taufan al-Aqsa. Setakat Disember 2024, lebih dua bulan Jabaliya dikepung dan menjadi sasaran utama rejim Zionis berbanding kawasan-kawasan lain di Gaza. 

Pada November 2023, rejim Zionis melancarkan serangan udara selama dua hari berturut-turut dan menyebabkan hampir 200 kesyahidan. Rekod kesyahidan tertinggi dalam sehari di Gaza itu menggerunkan seluruh masyarakat(buang) dunia.

Ada sesuatu di Jabaliya yang digeruni Zionis. 

Gaza & Jabaliya – Lahirnya Gerakan Nasional & Intifadah Palestin

Gaza merekodkan sejarah penentangan yang lebih lama jika hendak dibandingkan dengan Tebing Barat. Sejak awal pemisahan Palestin kepada dua kawasan disebabkan penubuhan haram Israel di tengah-tengahnya pada 1948, Ikhwan al-Muslimin di Gaza memilih untuk menentang Zionis dengan senjata. Ikhwan al-Muslimin di Tebing Barat pula pada ketika itu memfokuskan kepada perkembangan dakwah dalam politik dan pendidikan berdasarkan pengaruh pentadbiran Jordan. 

Menariknya lagi, bermula dengan Ikhwan al-Muslimin, bumi Gaza juga yang menyaksikan kemunculan gerakan nasional Palestin utama – Fatah, Jihad Islami dan HAMAS – yang bersama-sama meletakkan pembebasan Palestin daripada cengkaman Zionis sebagai objektif utama. 

Mereka jugalah bertanggungjawab dalam Intifadah Pertama yang meletus selepas solat Subuh pada 9 Disember 1987  di Kem Pelarian Jabaliya. Intifadah Pertama adalah kemarahan penduduk Palestin susulan insiden gila yang berlaku sehari sebelumnya. Pimpinan tertinggi Ikhwan al-Muslimin seperti Sheikh Ahmad Yasin, Ibrahim al-Yazuri, ‘Abdul ‘Aziz al-Rantisi, ‘Abdul Fattah Dukhan, Muhammad Sham’ah, Salah Shehadeh dan ‘Isa al-Nashshar turut terlibat di dalam rancangan Intifadah Pertama sebagai tanda protes terhadap penindasan yang berlaku ke atas penduduk Palestin. 

Sejarah Jabaliya

Utara Gaza terutamanya Jabaliya sebenarnya terkenal dengan penentangan yang luar biasa kerana kawasan itu menempatkan Kem Pelarian Jabaliya. 

Jadi, apa kaitannya?

Sejak Intifadah Pertama, Kem Pelarian Jabaliya mula dikenali sebagai Kem Revolusi. 

Kem Pelarian Jabaliya ditubuhkan pada 1948, merupakan kem pelarian terbesar di Gaza dan seluruh Palestin. Ia memiliki keluasan tidak lebih daripada 1.4 kilometer persegi, menempatkan sekitar 119,540 orang rakyat Palestin (tidak termasuk jumlah pelarian yang tidak berdaftar dengan UNRWA) yang berhijrah dari tempat asal mereka pada 1948 kerana penjajahan Zionis untuk menubuhkan Israel. 

Apa yang menakutkan Zionis di Jabaliya adalah majoriti penduduknya adalah pelarian Palestin yang terlalu berani menentang dan syahid melawan Zionis, termasuk mengingkari perintah pengosongan kediaman atau kawasan. Identiti pelarian Palestin yang memiliki daya tahan yang luar biasa terhadap penjajahan Zionis dibuktikan apabila penduduk asal Jabaliya turut terkesan sehingga sanggup melindungi hak pelarian Palestin di Kem Jabaliya daripada dihalau ke Tebing Barat pada 1971.

Tidak cukup dengan itu, pelarian Palestin di kem itu jugalah yang berkumpul mengelilingi dan memanjat bumbung kediaman salah seorang pemimpin pertubuhan koalisi, Popular Resistance Committees, Muhammad Baroud selepas beliau dilaporkan menerima ancaman bom daripada rejim Zionis pada 2006. Ketika itu, beliau dan keluarganya diberi masa 30 minit untuk menyelamatkan diri. Tetapi disebabkan ratusan orang pelarian Palestin terlibat di dalam misi melindungi Baroud, rancangan Zionis gagal. 

Peristiwa di kediaman Baroud adalah yang kali pertama di dalam sejarah penentangan penduduk Palestin terhadap rejim Zionis. Malah, as-syahid Ismail Haniyeh yang menjawat jawatan Perdana Menteri Palestin pada ketika itu mengiktiraf keberanian penduduk Jabaliya: “I believe that what has happened tonight will be a role model… an example to our Palestinian people and a clear message, that the Zionist aggression will not break our will.

Ketua Pusat Kebudayaan Malaysia di Gaza, Cinta Gaza Malaysia, Shadi M. M. Salem pernah kongsikan bahawa Jabaliya terlalu ampuh dan kuat kerana di sana ada pasukan besar mujahidin yang mengintai gerak-geri rejim Zionis. Laporan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pernah mengesahkan bahawa kebanyakan serangan HAMAS dilancarkan di bahagian utara Gaza seperti Kem Pelarian Jabaliya, Beit Hanun dan Beit Lahiya.

Jadi, tidak hairanlah jika Zionis memandang kem-kem pelarian Palestin di Gaza atau Tebing Barat, begitu juga di negara-negara lain sebagai markas mujahidin. Daya tahan pelarian Palestin yang tinggi berupaya membentuk identiti baharu generasi seterusnya sebagai pejuang tanah air walaupun dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. 

Hari Ini di Jabaliya

Masih ingatkah kalian pada awal serangan dilancarkan pada 7 Oktober 2023? Serangan Israel ke atas utara dan tengah Gaza menyebabkan ratusan ribuan penduduk Palestin terpaksa berpindah dan menetap di selatan Gaza sehingga ke hari ini. 

Pun begitu, ada segelintir di antara mereka yang enggan meninggalkan kediaman dan ada pula yang sanggup berpatah balik dari selatan ke utara. Bagi rakyat Palestin di Jabaliya, mereka lebih sanggup meninggal dunia di kediaman sendiri dalam keadaan yang lebih bermaruah. Disebabkan itu jugalah pada hari ini kita dapat melihat utara Gaza sekali lagi dikosongkan oleh rejim Israel. 

Setakat 5 November 2024, hampir 55,000 orang pelarian Palestin di Kem Jabaliya telah dihalau rejim Zionis ke Al-Mawasi walaupun sudah jelas kawasan itu pernah diserang pada September lalu. Pada masa yang sama, sekitar 770 orang Palestin syahid dalam tempoh 14 hari terawal pengepungan siri terkini di utara Gaza dan pasukan Pertahanan Awam di sana telah mengesahkan kawasan itu telah lumpuh sepenuhnya. Manakala sekitar 400,000 orang penduduk Palestin di utara Semenanjung Gaza dan Bandar Gaza telah dihalau dari wilayah itu dalam siri pengepungan sebelumnya. 

Walaupun keseluruhan Gaza sudah dibedil sehingga tiada tempat selamat lagi tinggal untuk penduduk Palestin, rejim Zionis akan tetap kembali menyerang di utara Gaza terutamanya Jabaliya. Apa yang berlaku pada Oktober 2024 bukanlah serangan yang pertama kali tetapi serangan berskala besar kali ketiga sejak 7 Oktober 2023.

Jabaliya masih ‘hidup’ dan akan terus bertahan selagi mana penduduknya berdiri teguh di sana dan para mujahidin kekal bertahan di posisi masing-masing. Jabaliya tidak akan kalah kerana di situlah bermulanya kebangkitan penduduk Palestin untuk pembebasan tanah air mereka.