All Articles

Israel Guna AI Bunuh Rakyat Gaza

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
August 24, 2026

Manusia menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengumpulkan maklumat, bertanyakan tentang kesahihan fakta, penghasilan sistem laman web atau berbual seolah-olah teknologi ini seperti manusia sebenar yang sudi mendengar segala masalah hidup. 

Bagaimana jika AI digunakan untuk membunuh manusia?

Mustahil – sebenarnya, ia tidak mustahil kerana pembunuhan menggunakan AI pernah berlaku. 

Daripada sebuah teknologi bermanfaat, ia berubah menjadi musuh paling menakutkan dalam masyarakat yang menjadi sasaran entiti berkuasa. Sejarah moden merekodkan bahawa senjata autonomi pertama kali menyerang manusia tanpa arahan secara langsung (direct command) adalah ketika Perang Saudara Libya pada tahun 2020. Difahamkan, alat yang menggunakan teknologi AI itu adalah dron STM Kargu-2 dan dilancarkan ke atas pasukan tentera Jeneral Libya, Khalifa Hafter yang sedang berundur dari Tripoli pada ketika itu. Ia berupaya menggunakan imej masa nyata dan teknologi pembelajaran mesin untuk menjejaki sasaran. Namun, susulan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan serangan yang telah di-AI-kan, sehingga ke hari ini, organisasi antarabangsa tidak menjelaskan sama ada serangan itu mengakibatkan kematian atau dron tersebut menyerang tanpa persetujuan manusia. 

Pun begitu, kejadian di Libya telah menarik perhatian dunia dan membawa kepada satu lagi fasa yang membimbangkan dalam sejarah peperangan moden iaitu mesin berpontensi untuk mencari, memilih dan menyerang manusia tanpa penglibatan manusia yang ramai. Dan, sebenarnya pun di Gaza, Israel telah menggunakan teknologi AI pada skala yang jauh lebih luas. Tidak cukup dengan itu, Lubnan dan Iran turut merekodkan jenayah Israel menggunakan AI dalam siri peperangan yang dilancarkan. 

Bagaimana?

Satu perkara mudah difahami tentang AI adalah teknologi ini perlu ‘diajar’ dengan melalui konsep pembelajaran mesin, di mana komputer dilatih menggunakan data yang banyak, algoritma matematik dan proses ralat berulang untuk menyelesaikan tugasan pintar.

Di Gaza, sepanjang genosid yang berlangsung sejak 7 Oktober 2023, rejim Zionis mempercepat rantaian pembunuhan (kill chain) dengan mengintegrasikan AI untuk mengumpulkan dan memadankan data, mengklasifikasikan individu, mencadangkan individu atau bangunan sebagai sasaran, menjejaki lokasi sasaran, menganggarkan kehadiran orang awam dan membantu menentukan masa yang sesuai untuk menyerang. Dalam keadaan Palestin – Tebing Barat dan Gaza – yang dijajah Israel sejak 1948 dan segala yang digunakan oleh penduduk Palestin akan kembali kepada Israel, maklumat mereka mudah diperoleh dengan hanya satu klik.

Daripada Pengawasan Digital kepada Sistem Sasaran AI

Ia bermula dengan sebuah teknologi yang dihasilkan oleh syarikat pengawasan siber Israel, NSO Group; dikenali sebagai Pegasus, di mana ia menjadi pusat pengumpulan data dan pengintipan individu, begitu juga pengesanan lokasi. Sedar tidak sedar, Pegasus menjadi aset mahal untuk Israel dalam konteks pengaruh diplomatik kerana selain memiliki ciri zero-click – berupaya pasang sendiri, merakam secara langsung melalui kamera dan mikrofon telefon dari jarak jauh tanpa mangsa mengklik pautan; mengekstrak mesej, emel, gambar, kalendar, sejarah enjin carian dan lokasi – ia juga mampu memanipulasikan dan memalsukan bukti melalui peranti sasaran. Walaupun Pegasus secara umumnya tidak dicipta untuk membunuh penduduk Palestin di Gaza tetapi wilayah itu menjadi lapangan ujian untuk senjata dan teknologi pengawasan Israel sebelum aset ini dipasarkan ke peringkat global sebagai produk yang terbukti berkesan.

Dan, masyarakat perlu tahu bahawa Pegasus tidak berdiri sendiri. Tetapi ia adalah akar yang menunjangi tiga platform – Lavender, Gospel dan Where’s Daddy – yang menjadi alat membunuh rakyat di Gaza. 

Benar. Pegasus mengumpulkan data dan data tersebut diintegrasikan ke dalam tiga platform tersebut. Platform inilah yang dikatakan sama-sama bertanggungjawab dalam mengubah Gaza menjadi medan ujian perang berautomasi, sekaligus ‘memudahkan’ pelaksanaan genosid di Gaza. 

Lavender: 

  • Digunakan untuk mengenal pasti individu yang didakwa sebagai ahli HAMAS atau Jihad Islami Palestin (PIJ). 
  • Kadar ralat: 10%, tetapi acapkali ‘tersalah’ sasaran dan menyebabkan kematian orang awam, termasuk staf bantuan kemanusiaan. 
  • Dalam satu laporan mendedahkan bahawa beberapa minggu pertama perang di Gaza, seramai 37,000 rakyat Palestin disasarkan sebagai HAMAS atau PIJ.

Where’s Daddy:

  • Digunakan untuk menjejaki keberadaan sasaran di rumah. 
  • Serangan biasanya dilakukan pada waktu malam (ketika waktu tidur bersama keluarga).
  • Melengkapi Lavender kerana teknologi ini mengenalpasti lokasi kediaman mangsa.

Gospel:

  • Digunakan untuk pembunuhan secara besar-besaran dalam tempoh yang singkat. 
  • Mencadangkan sasaran individu atau bangunan dengan pantas

Gila bukan? AI bukan sahaja berpotensi tersilap mengenal pasti manusia, tetapi turut membolehkan lebih banyak sasaran dihasilkan dan diserang dalam masa yang semakin singkat! Inilah teknologi yang mencerminkan ekosistem Israel – menghubungkan pengawasan digital, analisis data dan operasi ketenteraan untuk mencapai objektif mereka.

Setakat 2024, sekitar 130 negara termasuk India, Morocco, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain telah melanggan Pegasus untuk kepentingan negara masing-masing. Pada 2021, NSO Group mengeluarkan satu laporan yang menemukan lebih 50,000 nombor telefon yang dipilih sebagai sasaran berpotensi, melibatkan individu di lebih 50 buah negara. Tidak kiralah apa tujuannya tetapi kemunculan nombor-nombor telefon tersebut di dalam pangkalan data mereka membuktikan bahawa betapa mudahnya telefon diserang oleh alat pengintipan.

Penjara AI – Keuntungan Diplomatik dan Kebisuan Dunia

Pertumbuhan teknologi AI dalam pembunuhan rakyat Palestin, begitu juga serangan yang dilancarkan ke atas Lubnan dan Iran pada tahun ini membuktikan bahawa AI akan berkembang menjadi lebih menggerunkan pada masa akan datang. Sama ada ia demi keuntungan walaupun nyawa menjadi taruhan atau menghilangkan terus empati dan simpati manusia kerana ketamakan manusia. 

Perkembangan ini menimbulkan persoalan penting: Adakah teknologi dibangunkan untuk melindungi kehidupan, atau keuntungan dan kelebihan ketenteraan akhirnya menjadikan nyawa manusia sekadar data yang boleh diproses?

Dalam satu kajian kes yang dimuatnaik oleh Amnesty International pada Mei 2023, kehadiran teknologi sistem pengecaman wajah, Red Wolf sebenarnya mengukuhkan aparteid di Palestin. Red Wolf mencengkam lagi pergerakan rakyat Palestin dengan sistem pengecaman wajah untuk mengawal dan mengehadkan perjalanan mereka. Melalui laporan tersebut, difahamkan Red Wolf diaplikasikan di dalam peranti bagi setiap checkpoint di al-Khalil dan setiap pengecaman serta maklumat berkaitan seseorang itu akan dicuri tanpa kebenaran. Maka, tidak mustahil jika tiba-tiba ada rakyat Palestin dari dua kawasan tersebut tiba-tiba mendapat amaran untuk tidak kembali ke tempat asal mereka. Di Baitul Maqdis Timur pula, rejim Israel menggunakan Wolf Pack sebagai pangkalan data yang menyimpan maklumat rakyat Palestin; Blue Wolf, aplikasi telefon untuk mengenal pasti individu; dan Mabat 2000, rangkaian pengawasan penduduk Palestin di sana. 

Cerita tentang Red Wolf (juga dikenali sebagai Blue Wolf, Wolf Pack dan Mabat 2000) atau Gospel, Where’s Daddy dan Lavender memperlihatkan kita wujudnya penjara digital – segalanya dirakam, dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Namun, perkara ini didiamkan tanpa ada pihak yang lantang menyuarakan jenayah mereka, apatah lagi tindakan daripada pihak antarabangsa sesuai dengan risiko yang dibangkitkan. 

Di sinilah rejim Israel melihat sebagai satu peluang untuk merancakkan lagi usaha mengintegrasi teknologi AI ke dalam peranti pelanggan mereka, sekali gus mengukuhkan hubungan diplomatik dan keselamatan seluruh dunia, 

Lihatlah Maghribi yang dikatakan klien terbesar NSO Group. Middle East Research Information Project (MERIP) mendakwa lebih 10,000 nombor telefon, termasuk nombor telefon pihak berkuasa dan pemimpin tertinggi Sepanyol dan Perancis telah dikenalpasti melalui kebocoran data Pegasus. Meneliti semula hubungan Maghribi dengan Israel, kecurian data menggunakan teknologi Pegasus tidak mengejutkan kerana Maghribi menjadi negara ketiga yang menormalisasikan hubungan dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham pada Disember 2020. Dan kebocoran ini berlaku selepas perjanjian tersebut. Menarik bukan?

Manakala di India, kerajaan yang dipimpin Narendra Modi telah menggunakan Pegasus untuk menipu bukti terhadap wartawan yang melaporkan keganasan. 

Sebenarnya situasi di Palestin dan India, begitu juga Maghribi mencerminkan apa yang berlaku dalam kalangan pengguna perisian navigasi GPS, Waze. Menerusi polisi terbaharu, Waze telah mengesahkan perkhidmatan mereka dalam mengumpul dan memproses maklumat perjalanan dan lokasi pengguna, termasuklah alamat kediaman pengguna, alamat tempat kerja pengguna, kekerapan pengguna menuju ke sesuatu lokasi dan tabiat harian. Walaupun sehingga ke hari ini belum ada pengesahan terhadap dakwaan Waze mengintip data penggunanya, tetapi tidak sepatutnya isu ini dipandang enteng, lagi-lagi apabila sudah mengetahui bagaimana Israel menggunakan AI untuk memusnahkan Gaza.

Pegasus, Lavender, Gospel dan Where’s Daddy cuma permulaan kepada jenayah yang menggunakan AI untuk menghalalkan jenayah di Palestin. Namun, sudah cukup untuk menjelaskan bahawa bahaya sebenar muncul apabila data komersial, pengawasan negara dan sistem ketenteraan saling bertindih. Bayangkan sahaja alat yang diharapkan untuk membantu navigasi, komunikasi dan keselamatan boleh menjadi alat berkuasa besar terhadap kehidupan manusia. 

Dalam konteks Palestin, teknologi tersebut bukan lagi sekadar produk tetapi menjadi sebahagian daripada infrastruktur pendudukan, pengawasan dan peperangan. Melalui Pegasus, Lavender, Gospel dan Where’s Daddy, wujudlah sebuah industri maut di bawahnya di mana rakyat Palestin menanggung kosnya dengan kebebasan, kediaman dan nyawa mereka.