Islamabad: Rundingan di Ambang Bahaya

Amerika Syarikat (AS) bersama rejim haram Israel telah melancarkan serangan ketenteraan secara langsung menentang Iran. Serangan tersebut membawa kepada pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa pimpinan tentera dan politik lain. Ia turut menyebabkan kerosakan terhadap keupayaan nuklear dan balistik Iran. Iran melancarkan serangan balas peluru berpandu dan menutup Selat Hormuz yang merupakan laluan minyak utama dunia. Tindakan ini membawa kepada krisis ekonomi global. Ketidakpuasan hati rakyat AS memaksa Presiden AS, Donald Trump untuk duduk di meja rundingan di mana situasi ini tidak pernah berlaku seperti ini sejak Revolusi Islam Iran 1979. Hal ini sekaligus memberikan momentum politik yang sangat besar dan tidak boleh dipandang remeh sama sekali.
Rundingan yang sedang berlangsung di Islamabad kini tidak boleh dianggap dalam konteks rundingan diplomatik biasa, malah ia dianggap rundingan tahap tertinggi antara AS dan Iran. Walaupun perang ini memaksa kedua-dua pihak melakukan rundingan, akan tetapi ia tidak semestinya mendekatkan pendirian mereka menuju ke arah persetujuan bersama. Kesediaan kedua-dua pihak untuk melakukan rundingan mencerminkan kesedaran mereka terhadap kos yang tinggi yang perlu ditanggung sekiranya situasi ini berterusan tanpa ada penyelesaian yang sebenar. Oleh itu, penulis percaya bahawa apa yang berlaku sekarang dalam rundingan di Islamabad tidak boleh dianggap rundingan sebagai syarat menyerah kalah, akan tetapi lebih kepada usaha menetapkan keseimbangan pencegahan (balance of deterrence) di rantau Asia Barat yang sedang bergolak.
Serangan yang menyasarkan Iran juga dianggap sebagai serangan yang mematikan. Krisis pembunuhan Ali Khamenei serta penyasaran ramai kepimpinan dan kader politik serta ketenteraan merupakan satu perkara yang tidak pernah berlaku di Iran. Namun begitu, Iran masih belum muflis dari sudut rundingan. Ia masih memiliki dua kad penting yang tidak boleh dipandang ringan.
Pertama, Selat Hormuz yang kekal sebagai ancaman dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa. Kedua, jaringan sekutu serantau Iran atau sebagaimana yang disebutkan oleh ahli Barat sebagai proksi serantau yang belum dilemahkan pada tahap yang dikehendaki oleh Zionis. Hizbullah masih terus melaksanakan operasi ketenteraan terhadap kawasan pedalaman negara haram Israel, manakala pengaruh faksi Iraq dan Houthi di Yaman juga dianggap antara pengaruh paling penting di rantau ini, khususnya selepas Houthi benar-benar mengukuhkan kawalannya ke atas Laut Merah semasa Perang Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023 hingga 10 Oktober 2025.
Delegasi rundingan Iran pula diwakili oleh Qalibaf, juga mewakili institusi perundangan dan bukan kuasa eksekutif langsung di negaranya, di samping, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi. Pemilihan ini dianggap sangat teliti kerana ia membolehkan Iran meraih keuntungan rundingan sambil mengekalkan ruang penafian di hadapan pandangan awam domestik, tanpa menampilkan secara langsung bahagian kuasa Iran yang paling sensitif.
Namun, pemilihan delegasi rundingan AS pula tidak dianggap sebagai satu pemilihan yang seragam. Naib Presiden AS, JD Vance dilihat sebagai seorang tokoh pragmatik, manakala Kushner dan Witkoff dianggap sebagai tokoh yang sangat pro-Israel. Utusan AS, Steve Witkoff, secara tegas menyatakan bahawa tuntutan Washington terhadap Iran tertumpu kepada jaminan bahawa Tehran membongkar sepenuhnya program nuklearnya di Natanz, Fordow dan Isfahan, dan bukannya sekadar membekukan atau mengurangkan aktivitinya.
Tuntutan ini merupakan garis merah bagi Iran, yang menganggap projek nuklear sebagai pengimbang kepada keupayaan pencegahan. Menerima pembongkaran program nuklear Iran dianggap sebagai kekalahan politik yang amat besar, sesuatu yang tidak mampu ditanggung oleh mana-mana kepimpinan yang mahu terus berkuasa di Iran. Syarat perjanjian yang dikemukakan oleh Iran pula mengekalkan hak Iran terhadap sebahagian kemudahan pengayaan uranium secara sah, dengan jaminan antarabangsa yang lebih mengikat.
Isu Selat Hormuz pula hadir sebagai tebusan dalam rundingan, bukan sebagai titik permulaan rundingan. Pihak AS menegaskan bahawa Selat Hormuz mesti dibuka serta-merta sebagai syarat awal, manakala Tehran melihat selat tersebut sebagai alat tekanan yang perlu dikekalkan sehingga perjanjian menyeluruh dimeterai, bukan sebelumnya.
Perbezaan pendekatan ini menjadi ujian terhadap niat kedua-dua pihak tentang sejauh mana keseriusan mereka untuk mencapai perjanjian menyeluruh, memandangkan selat itu menyumbang kepada kenaikan harga minyak global sejak ia kekal ditutup. Keadaan ini juga memberi kesan langsung terhadap ketahanan gencatan senjata semasa.
Selain itu, isu Lubnan muncul sebagai satu lagi halangan dalam usaha mencapai perjanjian. Iran berusaha untuk memasukkan Lubnan dalam rangka gencatan senjata antara Iran dan AS, namun AS dan Israel menolak keterkaitan ini. Keterkaitan tersebut membawa mesej tersirat yang jelas bahawa kekuatan paksi Iran masih wujud dan kesepaduan kuasa masih kekal, walaupun telah menerima pelbagai serangan.
Perkara ini menggagalkan semua usaha terdahulu sejak 7 Oktober 2023 hingga kini, malah menukar semua pencapaian kepada pencapaian taktikal berbanding kekalahan strategik. Kegagalan Iran mencapai tuntutan ini pula akan meletakkan delegasi rundingan Iran dalam keadaan yang sangat memalukan di hadapan rakyat Iran, khususnya kerana ia akan difahami menurut kerangka pemikiran Iran sebagai kelemahan dalam ketegasan rundingan yang ditunjukkan oleh Qalibaf dan Araghchi.
Hal ini juga menunjukkan keupayaan Israel untuk ‘meletupkan’ rundingan melalui serangan yang kuat dan berkesan ke atas Dahiyeh Beirut di selatan Lubnan walaupun tidak hadir ke Islamabad. Ini membentuk satu dilema struktur dalam binaan rundingan tersebut.
Pakistan: Pengantara yang Berubah-ubah
Pakistan tidak memainkan peranan berkecuali dalam pengantaraannya antara Iran dan AS. Sebaliknya, Pakistan berusaha memanfaatkan langkah-langkah keselamatan yang belum pernah berlaku sebelum ini, perlindungan udara kepada delegasi Iran dan AS serta gangguan terhadap sebahagian besar kehidupan harian biasa bagi memperoleh legitimasi diplomatik serantau dan antarabangsa.
Selain itu, Pakistan turut berusaha mendapatkan sokongan ekonomi AS dan memperkukuh kehadiran strategiknya di rantau yang sedang dilakar semula melalui konflik dan pengantaraan. Namun begitu, dilema yang mungkin dihadapi Pakistan ialah kecenderungannya menerima naratif Iran dalam isu Lubnan, dengan menganggap gencatan senjata itu turut merangkumi Lubnan. Hal ini menyukarkan peranannya sebagai pengantara di hadapan AS.
China dan Rusia: Bermain di Sebalik Tabir
Donald Trump telah mengakui sumbangan China dalam meyakinkan Tehran untuk duduk di meja rundingan. Logik China dalam hal ini agak kompleks. Walaupun Beijing berdepan tekanan ekonomi susulan kemungkinan penutupan Selat Hormuz sebagai antara pengimport utama minyak dari Teluk, China pada masa sama tidak mahu melihat penyelesaian yang membuka ruang kepada pengukuhan semula pengaruh Amerika Syarikat (AS) di rantau itu, ketika Beijing sendiri sedang berusaha memperluas pengaruhnya demi kepentingan strategik yang amat sensitif.
Oleh itu, China berusaha menghentikan perang tanpa membiarkan keadaan itu berubah menjadi formula perdamaian yang mengukuhkan kehadiran AS di rantau tersebut dengan mengorbankan kepentingan sekutu-sekutunya. Dalam konteks ini, Beijing dilihat memainkan peranan mendorong penyelesaian konflik sambil pada masa sama mengekang sebahagian tuntutan AS yang dianggap terlalu membebankan.
Melihat kepada pendirian Rusia pula, ia dianggap sebagai pelengkap kepada pendirian China. Rusia telah menggunakan kuasa veto bersama China untuk menjatuhkan resolusi Majlis Keselamatan yang menuntut pembukaan Selat Hormuz. Namun, kekangan Rusia akibat penglibatannya dalam perang Ukraine dan ruang ekonomi yang sempit menjadikan Rusia sebagai aktor yang mampu menghalang berbanding pencipta keseimbangan.
Oleh itu, Rusia tidak akan menjadi faktor penentu dalam rundingan Islamabad, tetapi ia akan membentuk tekanan struktur terhadap ruang gerak AS.
Kesan Serantau
Rantau Arab merupakan antara pihak yang paling terkesan oleh perang Iran-AS-Israel. Kepentingan minyak di kawasan Teluk Arab telah terjejas. Namun, ketidakstabilan dan kegawatan yang memberi kesan kepada ekonomi serantau juga bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Kebimbangan negara-negara Arab Teluk khususnya terletak pada kemungkinan tercapainya satu perjanjian penyelesaian yang menyaksikan Amerika secara tersirat mengiktiraf kehadiran Iran dalam struktur keselamatan serantau. Keadaan ini boleh memaksa negara-negara Teluk membina hubungan yang lebih mendalam dengan Iran.
Pada masa yang sama, peranan diplomatik yang dimainkan oleh Arab Saudi, Mesir dan Turkiye menjadikan negara-negara ini tetap hadir dalam landskap tersebut walaupun tidak hadir secara rasmi di Islamabad. Ketidakhadiran itu dianggap terancang dan mencerminkan realiti yang rumit: negara-negara tersebut mahukan rundingan berjaya, tetapi tidak mahu menanggung akibat buruk sekiranya rundingan bergerak ke arah yang tidak selari dengan kepentingan mereka.
Bagi Lubnan pula, ia merupakan medan langsung operasi ketenteraan Israel. Masa depannya terikat antara dua wacana yang saling bertentangan tanpa penyelesaian sebenar. Israel terus melancarkan serangan di Lubnan bagi melakar semula keseimbangan kuasa di lapangan, dalam keadaan ketiadaan gencatan senjata menyeluruh. Perkara ini mewujudkan realiti di lapangan yang boleh mengatasi apa sahaja hasil yang mungkin dicapai di meja rundingan Islamabad.
Berdasarkan perkara di atas, kita sedang berdepan salah satu daripada senario berikut:
Senario pertama:
Kedua-dua pihak mencapai perjanjian sementara, dengan gencatan senjata dilanjutkan selama 45 hari lagi. Dalam tempoh itu, Selat Hormuz dibuka secara separa, manakala isu-isu rumit seperti Lubnan, program nuklear dan sekatan menyeluruh ditangguhkan ke pusingan rundingan seterusnya. Inilah yang secara khusus diusahakan oleh Pakistan. Namun, perjanjian seperti ini tetap mendedahkan pihak-pihak terlibat kepada masalah struktur sebenar yang boleh menjadi punca tercetusnya konflik sekali lagi.
Senario kedua:
Serangan berterusan Israel terhadap Lubnan dan pihak Amerika terus berkeras menuntut pembongkaran program nuklear Iran. Keadaan ini membawa kepada penutupan penuh Selat Hormuz, keruntuhan rundingan dan kembalinya perang.
Senario ketiga:
Tercapainya satu perjanjian strategik menyeluruh dalam satu pusingan rundingan. Perjanjian ini mewajibkan Iran menerima jaminan antarabangsa terhadap program nuklearnya dalam had pengayaan rendah dengan pemantauan ketat, di samping pengiktirafan Amerika terhadap kehadiran serantau Iran dalam kerangka keseimbangan yang boleh diterima, sebagai pertukaran kepada pelan masa bagi pengurangan sekatan.
Senario ini masih kekal sebagai satu kemungkinan, meskipun pelaksanaannya tidak mudah. Namun demikian, ia dilihat sebagai satu-satunya pendekatan yang berpotensi mewujudkan kestabilan bersifat struktural, dan bukannya sekadar gencatan sementara.
Nota:
Senario pertama kekal sebagai yang paling berkemungkinan berdasarkan keadaan semasa dan petunjuk-petunjuk yang ada, selagi tiada perubahan besar berlaku dalam pusingan rundingan semasa.
Diterjemahkan oleh: Nur 'Afifah (Penterjemah Cinta Gaza Malaysia)