All Articles

Islamabad — Penentuan Nasib Perang

8 min read
Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
June 3, 2026

Pada 12 April 2026, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance dan beberapa pegawai kanan negara itu mengadakan pertemuan dengan delegasi Iran yang diketuai oleh Yang di-Pertua Parlimen, Mohammad-Bagher Ghalibaf di ibu negara Pakistan, Islamabad. Pertemuan tersebut mencatat sejarah sebagai komunikasi  paling langsung antara AS-Iran sejak Revolusi Iran 1979 — iaitu sejak 47 tahun lalu. Rundingan yang memakan masa selama 21 jam, akhirnya berakhir tanpa sebarang persetujuan. 

Apa yang berlaku di Pakistan boleh difahami bahawa ia bukan sekadar rundingan biasa, sebaliknya sebagai usaha untuk menamatkan secara kekal perang yang telah dilancarkan pada Februari 2026, apabila AS dan rejim haram Israel melakukan serangan besar-besaran ke atas Iran, menyasarkan program nuklear, peluru berpandu dan sebahagian para pimpinan politiknya secara serentak.  Wilayah itu berada di persimpangan antara perang berskala menyeluruh dan permulaan kepada suatu penyelesaian bersejarah, dengan perbezaan antara kedua-dua kemungkinan tersebut hanya ditentukan dalam tempoh beberapa jam.

Dari Utusan Ke Medan Perang

Presiden AS, Donald Trump menghantar sepucuk surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran sebelum ini, Ayatullah Ali Khamenei dan mengusulkan cadangan untuk menyambung semula rundingan nuklear dengan amaran yang jelas: Terima atau berdepan dengan akibat-akibat ketenteraan yang serius. Beberapa pusingan rundingan tidak langsung telah bermula melalui Oman kemudian Rom, namun menemui jalan buntu. Kemudian, ketegangan beralih daripada diplomasi ke medan perang pada Februari 2026 apabila AS dan rejim Israel melancarkan serangan langsung ke atas Iran dan telah mengorbankan Ali Khamenei serta beberapa pimpinan kanan yang lain. Sebagai tindak balas, Tehran telah menutup Selat Hormuz dan memperhebat tindakannya secara besar-besaran melalui rangkaian proksi di rantau itu. Senario yang tampak mustahil, kini menjadi kenyataan: Pertembungan langsung antara AS dan rejim Israel di satu pihak dengan Iran di pihak yang lain tercetus di tengah-tengah Asia Barat. 

Pakistan: Mediator yang Tiada Ganti

Dalam konteks ini, Pakistan muncul sebagai pengantara utama. Pada 25 Mac 2026, para pegawai Pakistan menyampaikan kepada Tehran satu cadangan daripada AS yang mengandungi beberapa perkara, termasuk menamatkan program nuklear Iran, mengurangkan peluru berpandu balistik, membuka semula Selat Hormuz dan mengehadkan sokongan Iran kepada kumpulan-kumpulan bersenjata sebagai pertukaran untuk penarikan sekatan. Iran menolak cadangan tersebut dan membalas dengan tawaran balas yang merangkumi perkara-perkara lain termasuk tuntutan agar serangan AS-Israel dihentikan, selain jaminan keselamatan, pampasan serta isu kedaulatan ke atas Selat Hormuz. Namun, AS juga menolak tawaran balas tersebut. Pada 7 April gencatan senjata sementara diumumkan hasil rundingan Ketua Turus Tentera Pakistan, Asim Munir bersama Vance dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi. Kemudian, berlangsung sesi rundingan pada 12 April di Islamabad, pertemuan langsung paling lama dan paling tinggi peringkatnya antara AS dan Iran sejak 1979. Namun, rundingan tersebut berakhir tanpa sebarang keputusan dicapai.

Apa Matlamat Sebenar Semua Pihak?

Pendirian AS: Hapus Nuklear Sepenuhnya Atau Tiada Perjanjian

Pendirian AS tertumpu kepada satu tuntutan utama iaitu komitmen teguh Iran untuk tidak memiliki senjata nuklear, bukan sekadar melalui pengumuman, bahkan dengan meninggalkan semua keupayaan teknikal yang membolehkan pembangunan senjata nuklear dengan cepat. JD Vance menyatakan dengan jelas, “Kita memerlukan komitmen yang tegas untuk tidak berusaha memiliki senjata nuklear dan tidak berusaha mendapatkan alat yang membolehkan perkara itu dicapai dengan cepat.” 

Rakyat AS berdepan dengan dua masalah di sini: Pertama, mereka menarik diri pada tahun 2018 daripada perjanjian nuklear yang dimeterai oleh pendahulu mereka, Obama, selepas rundingan bertahun-tahun. Ini membuatkan Iran meragui sebarang jaminan daripada AS. Kedua, menurut penilaian pakar diplomasi, delegasi AS dilihat kurang pengalaman teknikal berbanding delegasi Iran yang jauh lebih berpengalaman.

Pendirian Iran: Jaminan Sebelum Kompromi

Tehran memasuki rundingan dengan keyakinan yang tinggi, seperti yang digambarkan oleh Menteri Luarnya, Abbas Araghchi. Ini kerana, tuntutan asas Iran bukan sekadar gencatan senjata tetapi jaminan kukuh bahawa serangan tidak lagi berulang, menamatkan sekatan laut AS ke atas Selat Hormuz dan memasukkan isu Lubnan serta Hizbullah dalam mana-mana perjanjian menyeluruh. AS akhirnya akur terhadap tuntutan itu dan menekan rejim Israel supaya menghentikan serangan terhadap Hizbullah di Lubnan. Hal ini mengukuhkan persamaan/formula campur tangan langsung oleh sekutu-sekutu Iran sekiranya Iran berdepan pertembungan dengan AS atau rejim Israel. Keadaan ini mengikat nasib Iran dan sekutu-sekutunya dan menjadikan situasi lebih sukar untuk rejim Israel. 

Dalam isu nuklear, Tehran menyatakan bahawa hak untuk memperkaya uranium tidak boleh dirunding. Namun, Iran masih boleh berbincang tentang berapa banyak uranium yang diperkaya dan pada tahap mana. Iran juga menolak sepenuhnya pemindahan stok uranium ke luar negara, dengan menyatakan ia tidak akan dipindahkan ke mana-mana dalam apa jua keadaan.

Faktor Ketegangan Yang Merumitkan Keadaan:

Gencatan senjata yang rapuh diumumkan pada April mula goyah apabila kedua-dua belah pihak saling menuduh antara satu sama lain. Washington mengenakan sekatan laut ke atas Iran sejak 13 April, manakala Washington menuduh Tehran melanggar gencatan senjata selepas bot tentera laut Iran melepaskan tembakan ke atas kapal komersial. Dalam pada itu, rejim Israel meneruskan serangannya ke atas Lubnan di luar skop perjanjian  yang ditolak sepenuhnya oleh Tehran seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Pakistan dalam Peranan yang Tidak Pernah Dijangka 

Terdapat satu ironi yang ketara pada negara yang mengambil alih peranan sebagai pengantara dalam krisis paling berbahaya di rantau ini sejak beberapa dekad lalu. Pakistan bukanlah kuasa diplomatik tradisional yang besar, namun negara itu muncul dalam peranan ini kerana beberapa faktor yang saling berkait. Antaranya, hubungan Pakistan dengan kedua-dua pihak, kedudukan geografinya yang bersempadan dengan Iran serta pengaruh Islamnya yang diterima di Tehran. Selain itu, Pakistan juga ada kepentingan langsung untuk menamatkan perang itu kerana kesannya boleh sampai ke negaranya sendiri.

Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar mengumumkan bahawa negaranya akan terus memudahkan dialog antara kedua-dua belah pihak dan Islamabad bersedia untuk pusingan kedua rundingan. Namun, pendirian Iran baru-baru ini yang enggan menghantar perunding menimbulkan keraguan terhadap kemampuan Pakistan untuk memastikan kedua-dua pihak terus berada di meja rundingan. 

Pertaruhan Sebenar

Pertama: Selat Hormuz — Nadi Ekonomi Dunia Yang Dijadikan Tebusan

Penutupan Selat Hormuz tidak boleh dianggap sebagai taktik tekanan biasa Iran, tetapi sebaliknya ia merupakan ancaman langsung kepada 20% bekalan minyak dunia kerana setiap hari penutupan akan meningkatkan harga tenaga di seluruh dunia dan memberi tekanan kepada negara-negara pengimport. Ditambah lagi dengan keengganan Trump untuk menarik balik embargo ke atas Iran sebelum perjanjian itu merumitkan keadaan, sedangkan Iran meletakkannya sebagai sebahagian daripada syarat utama. Perbezaan ini sahaja boleh menggagalkan kemajuan rundingan. 

Kedua: Program Nuklear — Hakikat Yang Tidak Boleh Diabaikan

Pada Disember 2024, International Atomic Energy Agency  melaporkan bahawa Iran sedang memperkaya uranium pada tahap yang hampir menyamai gred senjata, dengan simpanan uranium diperkaya tinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini. Ini bukan lagi kebimbangan teori semata-mata, sebaliknya menurut agensi itu, Iran kini secara praktikal berada di ambang keupayaan nuklear. Sebarang rundingan tidak boleh dianggap serius dalam erti kata sebenar melainkan ia menangani hakikat ini dengan bersungguh-sungguh serta melalui mekanisme pengesahan yang ketat. 

Senario

Senario Pertama: Perjanjian Berperingkat

Tehran dilihat berundur daripada pendirian “semua atau tiada langsung” dengan  menerima formula secara berperingkat iaitu pelaksanaan gencatan senjata kekal sebagai langkah awal, diikuti pelonggaran sekatan serta pembukaan laluan rundingan yang lebih panjang berhubung program nuklear yang mungkin berlanjutan selama beberapa bulan atau beberapa tahun.

Seterusnya adalah model perjanjian 2015. Walaupun mempunyai kelemahan, ia masih menjadi rujukan paling realistik terhadap apa yang boleh dicapai. Senario ini memerlukan Washington menggugurkan tuntutan ‘sifar nuklear’ serta merta, manakala Tehran pula perlu menggugurkan syarat bahawa jaminan mesti diberikan terlebih dahulu sebelum sebarang konsesi dibuat.

Senario Kedua: Gencatan Senjata Rapuh dan Perang Kembali Tercetus

Gencatan senjata berakhir tanpa sebarang perjanjian lalu serangan disambung semula. Trump sebelum ini berulang kali mengancam untuk melancarkan serangan ke atas stesen janakuasa, kemudahan minyak dan loji penyahgaraman air Iran.

Pada masa yang sama, ancaman Iran untuk menutup semula Selat Hormuz dan meningkatkan tindakan melalui proksi-proksinya memberi petanda buruk. Senario ini boleh membawa rantau itu ke dalam perang kehancuran yang panjang, tanpa siapa pun mengetahui bila dan bagaimana ia akan berakhir, selain mencetuskan kesan ekonomi global yang serius. 

Kesimpulan

Rundingan yang sedang berlangsung di Pakistan dianggap antara yang paling rumit dalam sejarah diplomasi AS-Iran. Ini bukan hanya kerana ia berkaitan isu nuklear, tetapi kerana rundingan itu berlangsung dalam suasana perang yang sebenar, gencatan senjata yang rapuh selepas kematian Ali Khamenei.


Diterjemahkan oleh: Nur ‘Afifah (Penterjemah Cinta Gaza Malaysia)