Indonesia Sebagai Pengantara Konflik Iran dan Israel-AS: Realistik atau Simbolik?

Pada hari pertama peperangan AS-Israel dengan Iran meletus pada 28 Februari 2026, Indonesia menawarkan diri untuk menjadi pihak pengantara atau pengaman konflik. Keputusan Indonesia yang terkini, secara tidak langsung menonjolkan keinginan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto membawa nama Indonesia ke persada dunia sebagai ‘pengaman global’. Lihat sahaja bagaimana seluruh dunia Islam terkejut apabila Prabowo memutuskan untuk terlibat di dalam pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), sebagai Lembaga Keamanan (BOP) pada 22 Januari 2026. Begitu ketara dengan identiti Indonesia sebagai negara yang memiliki populasi masyarakat muslim terbesar dunia.
Pada ketika itu, pentadbiran Indonesia menerima lambakan kritikan bukan sahaja daripada rakyatnya, tetapi juga badan-badan Islam di negara itu sendiri. Tidak cukup dengan itu, penganalisis menyifatkan kerajaan Indonesia sudah tidak lagi bersikap neutral sebaik sahaja memilih untuk menyertai BOP. Nada yang dilontarkan dalam kenyataan terkini berkaitan isu AS-Israel dengan Iran juga dikatakan tidak mengkritik tindakan melampau AS dan Israel, sebaliknya meluahkan kekesalan terhadap kegagalan rundingan krisis nuklear Iran dan AS.
Namun, khabar yang terkini membawa perkembangan baharu yang mana Indonesia sedang mempertimbangkan untuk menarik diri dari BOP. Penilaian terhadap tindakan AS dan Israel sebagai ahli BOP yang menyerang Iran menyebabkan Indonesia mempertimbangkan semula penglibatannya dalam lembaga tersebut.
Pengaman Global
Sekiranya Indonesia benar-benar menarik diri dari BOP kerana tindakan AS dan Israel ke atas Iran, ini membuktikan Indonesia bukan sekadar bertindak melulu, sebaliknya berpegang dengan prinsip membawa diplomasi Islam moderat. Apa yang ditonjolkan adalah langkah awal hubungan diplomatik global yang mana Prabowo cuba memenangi di medan geopolitik dan juga agama. Justeru, sebagai negara yang merekodkan sebanyak 242 juta masyarakat muslim, Prabowo tidak boleh sewenangnya meletakkan angka tersebut di tepi. Jumlah tersebut membuktikan Islam di Indonesia, sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan negara itu untuk mara sebagai barisan hadapan solidariti demi Palestin.
Namun, ia mungkin sekadar simbolik keberanian Indonesia dalam menyertai kumpulan kuasa veto melalui penyertaan BOP. Ya, kita semua mengerutkan dahi membaca keputusan Indonesia kerana secara realistiknya, mustahil untuk Indonesia memenangi percaturan kuasa veto, terutamanya AS.
Barangkali, Indonesia cuba menanamkan persepsi positif di arena antarabangsa sebagai sebahagian negara blok tidak rasmi, Global South yang mengamalkan prinsip “bebas aktif” sejak 1948. Ketika dunia bergerak ke arah multipolar, Indonesia melihat inilah peluang untuk muncul sebagai pengantara konflik, sekaligus memperkukuhkan pengaruh global dalam jaringan politik dengan tidak memihak kepada mana-mana entiti – di dalam konteks perang terkini, Israel-AS dengan Iran. Maka, tidak hairanlah di dalam rekod ASEAN sebagai pengantara konflik, Indonesia berada di kedudukan paling aktif, selepas Malaysia. Ia bermula dengan Konflik Kemboja pada hujung era 1980-an dan Krisis Myanmar pada 2021.
Realistik?
Langkah yang diambil Indonesia tidak mudah. Penglibatan Indonesia sebagai pengantara perang Israel-AS dengan Iran menjadi cabaran untuk negara ini.
Mengapa?
Selain tidak ada kaitan secara langsung di dalam konflik Timur Tengah, ia juga tidak memiliki hubungan yang rapat dengan Iran, mahupun entiti haram Israel. Sebagai pihak yang terlibat dengan krisis geopolitik, sudah tentu Iran tidak meletakkan harapan atau wujudnya kepercayaan kepada Indonesia. Lagi-lagi pada ketika ini, tiada tanda untuk AS dan Israel untuk berhenti menyerang Iran sebagaimana objektif awal mereka adalah untuk menghapuskan projek nuklear dan menumbangkan pentadbiran semasa Iran.
Kedudukan Indonesia di tengah-tengah konflik ini berbeza dengan kewujudan AS, Qatar, Turkiye dan Arab Saudi yang kita tahu sudah ada rekod sebagai perantara krisis antarabangsa terutama dalam tiga tahun terkini di Gaza. Seperti pendapat yang dilontarkan sendiri oleh mantan Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dan mantan Menteri Luar Indonesia, Dino Patti Djalal, tawaran Indonesia untuk menjadi perantara krisis Israel-AS dengan Iran tidak realistik. Kedua-dua figura itu juga bersikap skeptikal terhadap kemampuan Indonesia dengan keadaan geopolitik semasa.
“Ini secara langsung menjadi political suicide bagi Presiden Prabowo di dalam negeri.”
– Dino Patti Djalal (1 Mac 2026)
Enggang sama enggang, pipit sama pipit – mustahil untuk menyamakan kedudukan Qatar dengan Indonesia yang memiliki jurang perbezaan yang luas dari aspek geopolitik. Ia bukan satu kritikan sebagai negara serumpun tetapi sebagai satu nasihat untuk negara itu berhati-hati agar tidak malu sendiri. Malah, Malaysia sendiri tidak pernah masuk campur sebagai pengaman konflik antarabangsa, kecuali sebagai perantara di peringkat ASEAN dan sebagai pihak yang bertanggungjawab memainkan peranan diplomatik melalui sokongan kepada hak Palestin di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan penyertaannya dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Jadi, adakah tindakan Indonesia realistik?
Secara umumnya, tidak. Tetapi tindakan Indonesia sudah cukup sebagai satu simbolik hubungan diplomasi moral yang menyeru kepada rundingan gencatan senjata dan penyelesaian konflik berdasarkan undang-undang antarabangsa. Suara dan keberanian Indonesia membuktikan walaupun wujud keterhadan dalam usaha perdamaian di antara AS-Israel dan Iran, ia tetap menjadi satu hal yang perlu dicontohi atau dipertimbangkan oleh pelbagai pihak ketika dunia semakin didominasi oleh logik kekuatan ketenteraan.
Persoalan-persoalan seperti “Sampai bila pihak antarabangsa perlu bergolak kerana polisi AS dan sikap Israel”, sedikit sebanyak mampu membawa kepada perubahan dunia pada masa akan datang, terutama kepada negara-negara yang tidak ingin AS terus menjadi penentu nasib mereka.