All Articles

Hind Rajab: Lambang Kegagalan Dunia Menjunjung Kemanusiaan

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
January 7, 2026

Januari 2026 – genap 2 tahun hari pembunuhan Hind Rajab, seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang dibunuh dengan ratusan das tembakan kereta kebal Israel. 


SIAPA HIND RAJAB?

Nama penuh: Hind Rami Iyad Rajab
Tarikh lahir: 3 Mei 2018
Tempat lahir: Semenanjung Gaza

Mempunyai seorang adik lelaki, seorang ibu dan seorang ayah. 

KRONOLOGI PEMBUNUHAN HIND RAJAB

2024
26 Januari

• Israel mengeluarkan perintah pindah kepada penduduk Gaza di selatan semenanjung Gaza [1].


29 Januari

• Hind Rajab, bersama saudaranya - mak cik, pak cik dan empat orang sepupunya - mula berpindah dari kawasan kejiranan Tel al-Hawa menuju ke bahagian utara semenanjung Gaza.
• Perjalanan mereka sepatutnya menuju ke bahagian selatan semenanjung Gaza seperti arahan baharu rejim Israel yang dikeluarkan pada hari yang sama. Tetapi disebabkan terlalu banyak kerosakan jalan dan runtuhan bangunan, mereka terpaksa menuju ke bahagian utara semenanjung Gaza.
• Pusat kawalan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Palestin menerima panggilan yang pertama daripada Layan Hamada, sepupu Hind Rajab.
• Layan memberitahu pasukan PBSM Palestin bahawa jentera perang Israel (Merkava) berada di sebelah kenderaan yang dinaiki mereka. 
• Pada ketika itu, hanya Layan dan Hind Rajab sahaja yang masih hidup. 
• Beberapa das tembakan kedengaran dan Layan menjerit ketakutan sehinggalah talian terputus. 
• Jumlah tembakan yang dilepaskan rejim Israel adalah sebanyak 64 das tembakan dalam 6 saat. 
• Panggilan untuk pusat kawalan PBSM Palestin dibuat oleh Hind Rajab yang memaklumkan dia cedera. 

“Tolong jangan tinggalkan saya. Datang selamatkan saya!”


• Pada masa yang sama, ambulans PBSM Palestin mula bergerak menuju ke lokasi Hind Rajab. Jarak antara lokasi ambulans PBSM Palestin dengan lokasi Hind Rajab cuma 3.2 km.

Bagaimanapun…

• Perhubungan antara pasukan penyelamat PBSM Palestin dan pusat kawalan PBSM terputus secara tiba-tiba.
• Imej satelit di pusat kawalan menunjukkan ambulans PBSM tiba pada jam 6 petang waktu Gaza dan berhenti 50 meter daripada kenderaan yang dinaiki Hind Rajab. 
• Rupanya, pasukan penyelamat telah terbunuh dalam serangan yang dilancarkan rejim Israel ke arah ambulans yang dipandu mereka – Yusuf Al-Zeinio dan Ahmed Al-Madhoun.
• Sementara itu, panggilan antara pusat kawalan PBSM Palestin dengan Hind Rajab juga terputus apabila kanak-kanak perempuan itu tidak lagi menyahut namanya. 

“Saya takut..”

10 Februari

• Nasib Hind Rajab diketahui apabila jenazahnya ditemui bersama jenazah-jenazah saudaranya di dalam kenderaan yang mereka naiki. Begitu juga jenazah dua orang pasukan penyelamat PBSM Palestin.
• Hasil bedah siasat, kenderaan yang mereka naiki – Kia Picanto – penuh dengan kesan tembakan. Sekurang-kurangnya 335 peluru menembusi kereta mereka.

SIAPA PEMBUNUH HIND RAJAB?

Sudah tentu, rejim Zionis.

Tetapi, unit yang bertanggungjawab atas pembunuhan Hind Rajab dan keluarganya adalah:

• 401 Armoured Brigade, diketuai Kolonel Beni Aharon
• 52nd Armoured Battalion, diketuai Kolonel Daniel Ella
• Vampire Empire Company, diketuai Mejar Sean Glass


Kesemua pihak yang terlibat di dalam pembunuhan Hind Rajab sudah direkodkan namanya di dalam fail laporan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).


Tetapi, sejauh mana keadilan untuk Hind Rajab dan keluarganya yang terbunuh ditutut selayaknya?
Adakah media antarabangsa dan pihak undang-undang masih mahu mendiamkan diri?
Pembunuhan Hind Rajab bukti kegagalan kemanusiaan di persada antarabangsa.


Rujukan
[1] People evacuate home after receiving orders from Israel in the southern Gaza Strip. (January 2024). Xinhua News. Dipetik dari https://english.news.cn/20240127/b44e2f6582574f64bf14875b259ef1a4/c.html