All Articles

Gaza Terus Terpenjara: Antara Kekejaman Sekatan dan Jeritan Kemanusiaan yang Terpadam

Written by
Khairul Yunus
Published on
September 24, 2025

“Kami berlayar membawa bantuan, bukan peluru. Tetapi kapal kami tetap dianggap sebagai satu ancaman.” kata salah seorang aktivis kapal Madleen

Di satu sudut dunia, yang terletak di tepi laut Mediterranean, terdapat sebuah wilayah bernama Gaza. Tempat yang sering disebut tetapi jarang benar difahami. Bagi sesetengah pihak, Gaza hanyalah satu berita harian tentang serangan, sekatan, dan penderitaan yang berulang. Tetapi bagi jutaan nyawa di dalamnya, Gaza adalah dunia yang terkurung malah merupakan sebuah penjara terbuka yang dihukum bukan kerana jenayah tetapi kerana identiti dan tempat tinggal mereka.

Pada 9 Jun 2025, satu lagi episod kekejaman yang berselindung di sebalik protokol diplomasi telah terbongkar. Sebuah kapal bantuan kemanusiaan bernama Madleen yang membawa seramai 12 aktivis termasuk aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg telah ditahan secara paksa oleh tentera laut Israel. Kapal itu bukannya membawa senjata tetapi membawa tepung, beras, susu bayi, tongkat kaki dan lampin pakai buang namun tetap dianggap ancaman bagi Israel.

Misi Madleen: Bantuan Kecil, Harapan Besar

Kapal Madleen bukanlah sebuah kapal besar. Ia hanyalah kapal sederhana yang berlayar dari Sisilia, Itali dengan muatan kecil yang setanding dengan muatan satu trak. Tetapi mesej yang ingin disampaikan cukup besar, mereka ingin menuntut akses kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza dan menolak sekatan yang telah menghukum lebih dua juta rakyat Palestin selama hampir dua dekad.

Bagi aktivis yang menaiki kapal ini, setiap butir beras adalah isyarat penentangan terhadap kezaliman. Mereka sedar kemungkinan untuk ditahan sangat tinggi. Mereka tahu kapal mereka mungkin tidak akan sampai tetapi mereka tetap memilih untuk berlayar, kerana bagi mereka tanda diam adalah pengkhianatan kepada kemanusiaan.

Namun tepat seperti dijangka oleh banyak pihak, kapal itu tidak sempat mendekati Gaza. Sekitar 185 km dari pantai dan di tengah laut antarabangsa, tentera Israel bukan sahaja menyerbu kapal malah menyembur bahan iritasi putih, memusnahkan komunikasi dan menahan kesemua aktivis kapal Madleen. Greta Thunberg, seorang remaja yang berjuang untuk kelestarian alam turut menjadi tahanan atas alasan ‘mengancam keselamatan’ sebuah negara yang lengkap bersenjata nuklear.

Blokade dan Kekejaman yang Terancang

Sekatan ke atas Gaza bukan sekadar sekatan fizikal, ia adalah kekejaman yang ‘dibenarkan’ oleh sistem antarabangsa. Sejak tahun 2007, Israel dan Mesir telah mengenakan sekatan laut, darat dan udara ke atas Gaza. Tidak ada pelabuhan yang berfungsi serta lapangan terbang yang dibenarkan. Bahan binaan, ubat-ubatan, dan kadangkala makanan sekalipun ditahan atas alasan ‘keselamatan’.

Blokade ini menjadikan Gaza seumpama makmal penderitaan, di mana hak untuk hidup dengan bermaruah telah dilucutkan secara sistematik. Di hospital-hospital Gaza, pesakit kanser merintih tanpa ubat manakala kanak-kanak kekurangan zat makanan. Ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal, pekerjaan, bahkan masa depan mereka.

Dengan kata lain, Israel menjadikan kelangsungan hidup rakyat Gaza sebagai alat tawar-menawar politik. Mereka hanya terus hidup kerana diberi keizinan untuk hidup — dan dalam banyak keadaan, peluang itu langsung tidak diberikan.

Kegagalan Komuniti Antarabangsa: Dunia yang Berpaling

Apa yang lebih menyedihkan daripada kekejaman itu sendiri ialah keheningan dunia yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berulang kali mengeluarkan kenyataan ‘keprihatinan’ manakala Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah menyatakan bahawa sekatan dan penafian akses bantuan mungkin menyamai jenayah perang. Namun hingga kini, tidak ada satu pun tindakan konkrit yang berjaya dilaksanakan.

Kuasa-kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, lebih rela berdiri di sisi Israel atas nama ‘keselamatan negara’ daripada mempertahankan hak kanak-kanak yang kelaparan. Bantahan demi bantahan hilang ditelan diplomasi berkepentingan.

Kapal Madleen, seperti misi flotilla sebelumnya, membuktikan dengan jelas bahawa kompas moral dunia telah lama pincang. Apabila sebuah kapal kecil dianggap ancaman, sedangkan bom berteknologi tinggi dianggap 'pertahanan diri', maka terserlah siapa sebenarnya yang memegang kuasa.

Media dan Persepsi: Siapa Pengganas, Siapa Wira?

Melalui mekanisme hasbara (propaganda rasmi), Israel telah berjaya membentuk persepsi global bahawa semua bentuk penentangan terhadapnya merupakan satu ‘keganasan’. Aktivis keamanan seperti Greta Thunberg dipotretkan sebagai penjenayah, kapal bantuan dituduh sebagai ‘cubaan menyeludup’, malah rakyat Gaza sendiri dianggap sebagai ancaman, bukannya mangsa.

Sebaliknya tindakan menyerang hospital, membunuh wartawan, merampas tanah dan membakar ladang dianggap sebagai ‘langkah keselamatan’. Dunia digesa untuk melihat penjajah sebagai mangsa yang paling terancam manakala mangsa yang tertindas pula dianggap sebagai pengganas.

Naratif ini bukan sahaja palsu, tetapi sangat berbahaya. Ia memberi lesen kepada kekejaman seterusnya menjadikan penderitaan sebagai sesuatu yang dapat dineutralkan melalui bahasa, seolah-olah kematian seorang anak Palestin hanya sekadar statistik data atau sebuah laporan.

Jeritan Dari Gaza: Yang Tidak Sampai ke Telinga Dunia

Di sebalik segala liputan media dan sorotan aktivis, apa yang lebih memilukan ialah suara dari dalam Gaza itu sendiri. Suara yang sering tidak sampai kepada dunia. 

“Kami tak minta banyak. Kami tak minta senjata. Kami hanya mahu ubat. Hanya mahu hak untuk hidup.” kata seorang doktor di Hospital Al Shifa

Seorang ibu yang kehilangan anaknya dalam serangan udara telah menulis di dinding runtuhan rumahnya: “Kalau dunia tak mampu bantu kami untuk hidup, jangan halang kami untuk mati dengan bermaruah.”

Waima di sebalik tembok-tembok konkrit dan langit yang dipenuhi dron, anak-anak Gaza tetap bermain, tetap belajar, tetap menulis puisi. Kerana dalam ketidakjaminan hidup mereka, mereka masih menggenggam sebuah harapan masa depan. Ianya sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh peluru atau apa-apa sekatan.

Kesimpulan

Gaza merupakan ujian kemanusiaan bagi umat manusia. Kapal Madleen mungkin tidak berjaya membawa bantuan ke Gaza. Tetapi ia berjaya membongkar kebenaran yang selama ini disorok di balik diplomasi dan propaganda. Kebenaran bahawa Israel bukan mempertahankan diri, tetapi mempertahankan sistem penindasan yang terancang. Kebenaran yang pahit untuk ditelan, dunia lebih rela melindungi hubungan politik berbanding mempertahankan prinsip kemanusiaan.

Greta Thunberg telah dibebaskan, sementara aktivis lain mungkin akan pulang ke negara asal masing-masing atau masih kekal ditahan di Israel. Namun Gaza akan terus terperangkap, terus dipinggirkan, dan terus dilupakan — kecuali jika kita memilih untuk bertindak.

Tidak cukup sekadar berkabung atau bersimpati. Kini tiba masanya untuk kita mendesak kerajaan-kerajaan dunia agar bertindak tegas dalam menghentikan sekatan ke atas Gaza. Sudah tiba waktunya untuk kita membicarakan isu Palestin bukan semata-mata sebagai konflik agama atau politik, tetapi sebagai krisis hak asasi manusia yang paling parah dalam sejarah moden.

Pesanan terakhir dari seorang wartawan muda Gaza yang terbunuh pada minggu lalu:

“Selagi ada sekatan, selagi itulah kami tidak merdeka. Dan selagi dunia diam, selagi itulah penjara ini dikunci dari luar.”

Kerana Gaza bukan sekadar tentang Palestin. Gaza adalah cerminan siapa kita sebagai manusia. Selagi penderitaan di Gaza berterusan, selagi itulah kita gagal dalam ujian kemanusiaan.