All Articles

Erti Kemerdekaan di Persimpangan Diplomasi Dunia

8 min read
Written by
Hasya Hasshim
Published on
August 28, 2026

Menjelang bulan Ogos, bahang kemerdekaan mula terasa di seluruh pelosok negara. Kibaran Jalur Gemilang menghiasi jalan raya dan bangunan pencakar langit, mengingatkan kita kepada jerih perih generasi terdahulu membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Kemerdekaan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957 sering dibanggakan sebagai sebuah kejayaan bersejarah yang dicapai melalui kebijaksanaan di meja rundingan, tanpa pertumpahan darah yang berlarutan.


Namun, tatkala kita merayakan kemewahan erti sebuah kebebasan, kita tidak boleh menutup mata terhadap mereka yang masih berjuang untuk mencapainya. Di tanah Palestin, makna kebebasan itu masih tertimbus di bawah runtuhan konkrit dan debu peperangan. Realiti pahit yang sedang menimpa saudara kita di Palestin memaksa kita untuk merenung kembali: Sejauh manakah keberkesanan diplomasi antarabangsa yang sering diagung-agungkan pada hari ini?

 

Diplomasi Sebagai Senjata Serampang Dua Mata

Kejayaan rombongan Tunku Abdul Rahman ke London membuktikan  diplomasi adalah alat yang membuahkan hasil apabila kedua-dua belah pihak yakni sang penjajah dan yang dijajah tunduk kepada lunas undang-undang antarabangsa, mempamerkan rasa hormat dan menjunjung prinsip hak penentuan nasib sendiri (self-determination) seperti yang termaktub secara jelas dalam Artikel 1(2) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malangnya, instrumen diplomasi yang luhur ini tidak terpakai dalam konteks perjuangan rakyat Palestin.

Selama berdekad-dekad lamanya, naratif proses damai dan pelbagai pusingan rundingan berprofil tinggi seperti Perjanjian Oslo sering dijaja oleh kuasa-kuasa besar sebagai jalan penyelesaian mutlak. Hakikatnya, meja rundingan ini telah dibina di atas ketidakseimbangan kuasa yang ekstrem (power asymmetry) dan diperalatkan dengan kejam. Ia tidak lebih daripada sekadar taktik peace-washing bagi melengahkan masa — sebuah strategi yang memberi ruang dan legitimasi kepada rejim Zionis untuk terus merampas tanah, meluaskan penempatan haram dan mengukuhkan projek penjajahan moden (settler-colonialism) ke atas wilayah Palestin.

 

Kegagalan diplomasi ini sebenarnya bukanlah perkara baharu. Ia telah berakar sejak pengenalan Resolusi 181 PBB pada tahun 1947 lagi. Melalui kerangka penyelesaian dua negara (two-state solution), komuniti antarabangsa secara sepihak menyerahkan lebih separuh tanah asal rakyat Palestin kepada projek penjajahan Zionis tanpa sedikit pun persetujuan penduduk tempatan. Hari ini, ilusi penyelesaian dua negara terus dijaja di meja rundingan antarabangsa kononnya sebagai jalan keluar yang adil. Walhal, realitinya, kedaulatan Palestin terus terhakis, dicabuli dan dinafikan sepenuhnya. Diplomasi, dalam tragedi Palestin telah dijadikan senjata untuk menangguhkan kemerdekaan, bukan untuk merealisasikannya.

 

Hipokrasi Undang-Undang Antarabangsa

Tragedi yang sedang berlangsung di Gaza ketika ini dengan rakus menelanjangkan hipokrasi struktur perundangan antarabangsa. Teori liberal  institusionalisme yang berpegang kepada gagasan bahawa institusi antarabangsa seperti PBB mampu mengikat negara-negara berkuasa dan mengekalkan keamanan dunia jelas kelihatan tempang. Apabila berhadapan dengan percaturan kuasa hegemoni, terutamanya Amerika Syarikat (AS) yang tanpa segan silu menggunakan kuasa veto demi melindungi kezaliman sekutu kuatnya, undang-undang antarabangsa serta-merta menjadi lumpuh. Hak asasi manusia dan nilai kebebasan yang sering dilaung-laungkan oleh kempen-kempen negara Barat terbukti bersifat sangat selektif. Kekejaman genosid, jenayah perang dan pembersihan etnik di Palestin terpampang jelas di skrin peranti kita saban waktu, namun ironinya, jentera diplomasi terus bergerak lesu dalam arus linear yang penuh birokrasi dan politik global.

 

Ketegasan Prinsip Malaysia di Pentas Global

Dalam mendepani kelumpuhan sistem antarabangsa yang mencabar ini, pendirian Malaysia kekal signifikan, konsisten dan amat diperlukan. Tradisi penentangan terhadap penjajahan Zionis ini telah berakar sejak era kemerdekaan lagi, bermula dengan ketegasan Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman yang menolak terus sebarang pengiktirafan terhadap negara haram Israel. Legasi sokongan ini terus dipegang utuh merentas zaman sehinggalah kepada kepimpinan masa kini. Ketegasan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang lantang menegur hipokrasi kuasa Barat secara berdepan di pentas global serta asakan berterusan Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan di pelbagai forum antarabangsa membuktikan bahawa Malaysia tidak akan berundur daripada prinsip keadilan ini.

 

Sebagai sebuah negara yang pernah merasai keperitan hidup di bawah telunjuk kuasa asing, Malaysia mempunyai tanggungjawab moral dan kewajipan sejarah untuk menolak sebarang bentuk penindasan yang kejam. Keberanian kepimpinan dan rakyat kita untuk lantang bersuara di forum antarabangsa adalah bukti bahawa kita menggunakan kemerdekaan kita untuk mewakili mereka yang suaranya dibungkam oleh peluru dan bom. Ia berakar umbi daripada pemahaman mendalam tentang erti sebuah kedaulatan yang hakiki.

 

Memerdekakan Minda daripada Naratif Barat

Kemerdekaan yang sebenar menuntut lebih daripada sekadar pembebasan fizikal dan penetapan sempadan geografi. Ia menuntut pembebasan minda daripada belenggu naratif penjajah. Konsep ini amat dekat dengan kritikan sosiologi yang pernah dilontarkan oleh pemikir agung negara, Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas mengenai bahaya sindrom minda tertawan. Pada era ini, minda tertawan jelas berlaku apabila masyarakat dunia dengan mudah menelan dakyah dan pembingkaian (framing) media Barat yang memutar belitkan realiti di mana sang penindas diberi lesen mutlak untuk ‘mempertahankan diri’, manakala mangsa yang sekadar mempertahankan tanah air mereka pula dilabel secara terburu-buru sebagai pengganas. Minda yang benar-benar merdeka berani menolak hegemoni bahasa dan manipulasi persepsi ini.

 

Bagi melepaskan diri daripada cengkaman persepsi ini, senjata paling ampuh adalah pembudayaan ilmu dan tradisi pemikiran yang kritis. Dalam apa jua konteks sekalipun samada meneliti lipatan sejarah mahupun menilai krisis geopolitik semasa, keupayaan kita untuk membedah sesuatu isu haruslah bersandarkan kepada perspektif ilmu yang sahih. Ilmu yang hakiki  akan mendidik kita untuk melihat naratif dunia dari kacamata keadilan dan bukannya sekadar menerima bulat-bulat kanta sang penjajah.

Bertitik tolak daripada prinsip ini adalah suatu pengkhianatan besar kepada nilai kemanusiaan sejagat jika kita meraikan kebebasan sambil memilih untuk menutup mata. Sikap sebegini lahir kerana kelompongan ilmu telah membiarkan kerangka pemikiran ciptaan Barat mengawal cara kita menilai kebenaran. Justeru, kemelut ini menuntut kita menyedari bahawa rundingan damai tidak boleh lagi dibina di atas kezaliman yang tidak dihukum (impunity) dan tumpahan darah rakyat yang tidak berdosa.

 

Akhir kalam, sejarah kita telah membuktikan bahawa kebebasan adalah hak asasi yang tidak boleh dirampas. Namun, dunia tidak boleh terus menutup mata. Selagi hak rakyat Palestin dirampas secara rakus, keadilan yang dicanang-canang hari ini hanyalah ilusi semata-mata di atas pentas sandiwara dunia.  Berbekalkan nikmat ilmu dan kebebasan yang dikurniakan hari ini, kita menggalas amanah yang berat untuk turut berjuang bagi pihak mereka. Selamat Hari Merdeka buat seluruh rakyat Malaysia. Semoga refleksi kemerdekaan yang merentasi rantau berbeza ini menjadi obor yang terus menyalakan harapan buat pembebasan Palestin.