
Pendahuluan
Seiring berlalunya suku pertama tahun 2025, dunia Islam berdepan pelbagai cabaran dan peluang baharu. Tahun 2025 ini menjadi satu titik penting yang memperlihatkan bagaimana geopolitik global berubah secara pantas, memberi kesan besar kepada negara-negara Islam. Seruan kepada perpaduan ummah adalah suatu aspirasi malar segar yang menjadi idaman sejak zaman Rasulullah SAW, terus bergema. Namun, realiti politik yang kompleks sering menjadi penghalang kepada tercapainya mimpi seindah ini. Apakah ada sinar perpaduan ummah pasca 2025 nanti? Bagaimana perkembangan geopolitik global dan konflik dalaman dunia Islam menjadi parameter peluang dan harapan untuk sebuah kesatuan ummah terbentuk? Semua ini masih menjadi tanda tanya.
Latar Belakang Sejarah Perpaduan Ummah
Sejak zaman Khulafa Ar-Rasyidin, umat Islam berusaha mengekalkan satu kesatuan politik dan spiritual di bawah panji Islam. Namun, selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada 1924, dunia Islam berpecah kepada negara-negara bangsa berdaulat, masing-masing dengan keutamaan politik tersendiri. Usaha mengembalikan perpaduan ummah diteruskan melalui organisasi seperti Liga Arab, Pertubuhan Persidangan Islam (kini OIC), dan gerakan Islam transnasional. Namun, persaingan ideologi, penjajahan moden, serta perpecahan mazhab dan etnik telah mengaburkan lagi jalan ke arah perpaduan ummah yang sejati.
Dinamika Politik Dunia Islam Tahun 2025
Menelusuri tahun 2025, dunia Islam menghadapi beberapa cabaran besar yang mempengaruhi politiknya. Ketegangan dalam negara-negara Islam, seperti perebutan kuasa dan ketidakadilan sosial, akan terus mengganggu kestabilan dan perpaduan. Selain itu, campur tangan kuasa luar juga akan menambah kesulitan dalam menguruskan isu dalaman. Negara-negara Islam yang semakin aktif di pentas antarabangsa akan bersaing untuk memperkukuh pengaruh mereka, sementara sebahagian negara Islam lebih hanyut mengejar kemodenan. Situasi yang rencam ini semestinya memberikan impak kepada usaha untuk membina kesatuan ummah, yang memerlukan pendekatan yang lebih pragmatik dan berlandaskan nilai kolektif.
Ribut politik umat Islam tidak semestinya datang dari ancaman adikuasa atau faktor luaran semata. Tanpa menidakkan adanya kemungkinan perang proksi skala domestik boleh berlaku sedikit sebanyak atas pengaruh pihak luar berkepentingan. Sehubungan itu, hakikatnya ketidakstabilan politik domestik antara perkara yang sering melanda dalam negara-negara umat Islam. Pergolakan di Sudan, Yaman, Syria, dan Libya membuktikan bahawa membina konsensus politik domestik bukan tugas mudah. Perebutan kuasa, ketidakadilan sosial, serta campur tangan kuasa asing terus memburukkan keadaan. Krisis domestik dan ketegangan politik yang berlaku di negara-negara seperti Sudan, Yaman, Syria, dan Libya ini memaparkan kepada dunia akan kesulitan besar dalam menjaga kestabilan politik.
Di setiap negara ini, perebutan kuasa antara kumpulan politik atau blok-blok yang berlainan menambah kerumitan dalam mencapai penyelesaian damai. Ketidakadilan sosial yang berlarutan, seperti jurang ekonomi yang besar, penindasan terhadap kelompok minoriti, serta ketidaksetaraan dalam pembahagian sumber negara, semakin menambah ketegangan sedia ada. Di samping itu, campur tangan kuasa asing yang berkepentingan, sama ada melalui sokongan kepada rejim tertentu atau bantuan kepada pihak pembangkang, seringkali memperburuk keadaan dengan mencipta perpecahan yang lebih besar. Dalam suasana sedemikian, usaha untuk mencapai kestabilan politik dan perpaduan dalam negara-negara ini sering gagal, kerana banyak faktor yang menghalang inklusiviti dan dialog yang konstruktif antara pihak-pihak yang terlibat, baik dari segi domestik mahupun pengaruh luar.
Seterusnya, sisi lain politik dunia Islam menonjolkan beberapa kerajaan yang kian membentuk blok pengaruh negara masing-masing. Kebangkitan kuasa baharu seperti Turki, Qatar, dan Arab Saudi di pentas antarabangsa mempamerkan perubahan dalam landskap geopolitik dunia Islam. Negara-negara ini semakin aktif dalam membentuk blok pengaruh masing-masing dengan memainkan peranan tersendiri dalam pelbagai isu global, termasuk diplomasi, keselamatan, dan ekonomi. Turki, sebagai negara yang terletak di persimpangan antara Timur dan Barat, menggunakan kekuatan politik dan ketenteraan untuk memperluas pengaruhnya, terutamanya dalam dunia Arab dan Asia Tengah. Qatar pula mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam bidang diplomasi dan kewangan, manakala Arab Saudi menerajui usaha dalam OIC serta menjadi pemain utama dalam hal ehwal minyak dan tenaga. Manakala di benua Afrika, negara-negara seperti Nigeria dan Senegal turut mencatatkan kemajuan pesat dalam bidang ekonomi, dengan sektor perindustrian dan perkhidmatan berkembang pesat. Kebangkitan ini menandakan negara-negara majoriti umat Islam yang sebelumnya kurang mendapat perhatian kini semakin memposisikan peranan penting dalam peta geopolitik global.
Cabaran Utama Perpaduan Ummah
Salah satu cabaran terbesar dalam usaha mencapai perpaduan ummah ialah dominasi nasionalisme di kalangan negara-negara Islam. Banyak negara Islam lebih memberi tumpuan kepada kepentingan nasional dan kestabilan dalam negeri masing-masing berbanding memperjuangkan solidariti global antara umat Islam. Kepentingan negara bangsa sudah sebati dengan pemerintah dibandingkan kepentingan umat Islam secara keseluruhan. Perbezaan ini menyebabkan agenda nasional menjadi lebih utama daripada kerjasama yang lebih luas di peringkat antarabangsa dan dunia Islam. Negara-negara ini sering kali meletakkan kepentingan politik domestik di hadapan, yang menyebabkan usaha perpaduan ummah hanya berlaku pada peringkat retorik dan tidak disertai dengan tindakan yang konkrit. Ini memburukkan lagi keadaan kerana walaupun ada semangat solidariti yang tinggi, agenda politik masing-masing lebih mendominasi daripada usaha bersama untuk kesejahteraan umat Islam secara keseluruhan.
Selain itu, perbezaan mazhab dan interpretasi agama juga jadi rintangan perpaduan ummah. Dalam dunia Islam hari ini, perbezaan mazhab dan interpretasi agama menjadi sumber ketegangan yang berpanjangan. Sengketa antara Sunni, Syiah dan aliran-aliran lain sering menjadi punca utama perpecahan di kalangan umat Islam. Perpecahan berlaku baik dalam aspek sosial, politik, mahupun ekonomi. Ketegangan ini bukan sahaja menghalang perpaduan ummah tetapi turut memberi peluang kepada kuasa asing untuk campur tangan dan mengeksploitasi perbezaan ini demi kepentingan politik tersendiri. Dalam beberapa situasi, pihak luar menggunakan ketegangan ini untuk memperkukuhkan pengaruh mereka dalam dunia Islam dengan menyokong kumpulan atau negara tertentu, menjadikan usaha penyelesaian dan penyatuan lebih rumit. Oleh itu, dunia Islam perlu mencari jalan untuk mewujudkan ruang dialog antara mazhab, di mana perbezaan ini dihormati dan dimanfaatkan sebagai kekuatan, bukan kelemahan.
Manakala campur tangan asing dalam urusan dunia Islam merupakan cabaran besar yang melanda ummah era ini. Adikuasa dunia sering menggunakan strategi "pecah dan perintah" untuk mengukuhkan kedudukan mereka di negara-negara Islam dengan menyokong pihak-pihak tertentu dalam konflik yang berlaku. Antaranya, contoh di Sudan, Yaman dan negara-negara Islam lain yang sedang dilanda konflik dalaman. Sokongan terhadap kelompok tertentu dalam konflik politik atau ketenteraan bukan sahaja mencetuskan ketegangan, tetapi juga melemahkan kemampuan negara-negara Islam untuk mencapai kesepakatan dan tindakan bersama. Selain itu, tekanan ekonomi melalui sekatan atau manipulasi pasaran turut digunakan sebagai alat untuk mengekalkan pengaruh luar. Semua ini mencipta ketidakstabilan yang berpanjangan dalam dunia Islam, menjadikan perpaduan umat lebih sukar dicapai.
Tambahan kelemahan Institusi Islam, Institusi Islam yang ada seperti OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) sering menghadapi kritikan kerana ketidakcekapan dan ketidakberkesanan dalam menangani isu-isu besar umat Islam. Walaupun OIC sepatutnya berfungsi sebagai platform untuk menyatukan negara-negara Islam dan menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh umat Islam, banyak usaha mereka terhenti pada peringkat perbincangan dan kenyataan tanpa tindakan yang nyata. Ketegasan yang sering kali gagal ditunjukkan dalam menangani isu-isu seperti konflik Palestin, penindasan terhadap Muslim Uighur, dan serangan terhadap minoriti Muslim di beberapa negara, telah menyebabkan banyak pihak berasa kecewa dengan peranan OIC. Hal ini memerlukan reformasi yang lebih menyeluruh untuk menjadikan organisasi ini lebih relevan dan efektif dalam menangani cabaran yang dihadapi dunia Islam.
Peluang dan Harapan Baharu Dunia Islam Pasca 2025
Usaha konkrit tidak mustahil untuk diterjemahkan melalui kerjasama ekonomi Islam. Walaupun dunia Islam menghadapi banyak cabaran, namun terdapat peluang besar untuk membina masa depan yang lebih stabil dan berdaya saing melalui kerjasama ekonomi. Projek seperti Bank Pembangunan Islam (IDB) yang memfokuskan kepada pembangunan ekonomi dan kewangan antara negara-negara Islam, mampu memberi gugatan untuk mewujudkan rangkaian ekonomi yang kukuh. Selain itu, sektor halal, perdagangan antara negara Islam, dan inovasi dalam teknologi kewangan Islam menawarkan potensi terbaik untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi dunia Islam di peringkat global. Dengan memanfaatkan kekuatan kolektif dalam bidang ekonomi, negara-negara Islam dapat meningkatkan pembangunan dalam negara masing-masing. Seiring boleh berfungsi mengurangkan jurang kemiskinan serta ketidakseimbangan ekonomi antara negara.
Peluang lain yang boleh ditinjau sebagai platform kesatuan adalah melalui pendidikan dan budaya. Salah satu peluang besar yang perlu diteroka dalam dunia Islam adalah inisiatif silang budaya antara negara Islam. Hal ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kefahaman dan menghormati perbezaan mazhab dan budaya. Dalam dunia yang semakin kompleks, meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan tidak hanya akan memperbaiki hubungan antara negara-negara Islam, tetapi juga membantu membentuk generasi muda yang lebih berpendidikan dan berdaya saing. Dengan lebih banyak program yang menyatukan umat Islam melalui pendidikan dan budaya, dunia Islam dapat mengatasi perpecahan yang ada dan membina masa depan yang lebih harmoni dan berdaya maju.
Selanjutnya, bersama dalam gerakan kesedaran sosial global. Isu-isu sejagat seperti perubahan iklim, hak asasi manusia, dan krisis kemanusiaan memberikan peluang untuk dunia Islam mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pemain utama dalam kerjasama global. Islam menekankan keadilan sosial, belas kasihan, dan tanggungjawab terhadap alam sekitar, yang boleh menjadi asas kukuh untuk dunia Islam mengambil peranan dalam menyelesaikan masalah global ini. Dengan bekerjasama secara lebih strategik, negara-negara Islam boleh memberi sumbangan signifikan kepada penyelesaian masalah dunia yang sedang dihadapi. Isu-isu seperti kesenjangan sosial, kemiskinan, dan penderitaan manusia memerlukan kerjasama global, dan dunia Islam boleh menjadi agen perubahan dalam mendepani tentangan ini.
Begitu juga dengan kerjasama teknologi dan media sosial. Dalam era digital ini, media sosial dan teknologi telah menjadi alat penting dalam mempercepatkan proses kemajuan dan penyatuan suara umat Islam. Media digital memberikan platform untuk umat Islam di seluruh dunia berhubung secara langsung, menyebarkan kesedaran tentang isu-isu penting, dan membina jaringan solidariti yang lebih kuat. Berbanding dengan zaman dahulu, media sosial sekarang membolehkan umat Islam untuk saling memberi sokongan dan bertindak lebih pantas dalam menyelesaikan masalah yang melibatkan kepentingan bersama, tanpa perlu bergantung dengan platform konvensional yang tidak dikawal sepenuhnya oleh platform umat Islam. Penggunaan media sosial juga membolehkan dunia Islam untuk lebih terlibat dalam perbincangan global dan mengubah pandangan dunia terhadap umat Islam secara adil dan terbuka. Melalui cara ini, umat Islam dapat menunjukkan nilai-nilai Islam yang sejagat seperti keadilan dan kasih sayang tanpa sekatan dan dikaburi naratif yang salah.
Menuju Model Perpaduan Baharu: Realistik dan Progresif
Dalam realiti politik semasa menuju model perpaduan baharu yang realistik dan progresif, dunia Islam perlu mengadaptasi pendekatan yang lebih inklusif dan pragmatik dalam menghadapi cabaran semasa. Gagasan "satu negara Islam" yang idealis semakin sukar dicapai dengan realiti politik yang ada, maka penting untuk memperkukuhkan solidariti umat Islam dalam isu-isu sejagat seperti Palestin, Islamofobia, dan perubahan iklim. Solidariti ini boleh diwujudkan melalui kerjasama antara negara-negara Islam dalam menuntut hak-hak umat Islam serta bertindak secara bersepadu terhadap isu kemanusiaan global.
Selain itu, mengukuhkan kerjasama ekonomi, teknologi, dan inovasi antara negara-negara Islam dapat meningkatkan daya saing dan memberi manfaat bersama memanfaatkan kekuatan kolektif dalam sektor-sektor strategik. Di samping itu, meningkatkan dialog intra-mazhab adalah penting untuk meredakan ketegangan antara Sunni, Syiah, dan aliran-aliran lain, dengan menekankan persamaan nilai dan mengekalkan keharmonian dalam masyarakat Islam.
Terakhir, pendidikan berteraskan prinsip Islam sejati yang inklusif, kritis, dan berwawasan harus diperkasakan untuk menghasilkan generasi muda yang lebih terbuka dan berdaya saing. Selain mampu membawa idea-idea baharu yang akan memperkukuhkan perpaduan ummah. Pendekatan ini, berasaskan nilai bersama, akan mencipta jalan yang lebih realistik dan progresif bagi masa depan dunia Islam yang lebih bersatu.
Kesimpulan
Dunia Islam pasca 2025 berdiri di persimpangan yang kritikal. Aspirasi perpaduan ummah tetap membara, namun menuntut pendekatan yang lebih pragmatik, strategik, dan berpaksikan nilai-nilai sejagat Islam. Masa depan perpaduan tidak bergantung kepada retorik semata-mata, tetapi perlu kepada tindakan konkrit yang memanfaatkan peluang kerjasama ekonomi, pendidikan, teknologi, dan sosial. Jika dunia Islam mampu mengadaptasi pendekatan baharu ini dengan bijaksana, masa depan yang lebih progresif, bersatu, dan bermaruah pasti dapat dicapai, mewarnai kembali sejarah gemilang umat Islam di pentas dunia.