Dari Gaza ke Iran: Serangan Israel—Amerika Syarikat dalam Percaturan Geopolitik Asia Barat

Serangan langsung Israel–Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran pada 28 Februari 2026 lalu, bukanlah suatu kejutan bagi ramai pemerhati antarabangsa. Ketegangan antara Israel dan Iran bukanlah perkembangan baharu dalam politik Asia Barat. Sejak tahun 1990-an, Iran dilihat antara aktor paling konsisten menyokong gerakan perjuangan Palestin terhadap pendudukan Zionis. Sokongan ini tidak hanya bersifat retorik politik, tetapi turut melibatkan bantuan kewangan, latihan ketenteraan dan pemindahan teknologi persenjataan kepada beberapa kumpulan yang menentang Israel di rantau tersebut.
Hubungan Iran dengan kumpulan seperti HAMAS di Gaza serta jaringan dengan entiti bukan kerajaan lain di Asia Barat sering menjadi asas kepada naratif keselamatan yang digunakan oleh Israel untuk menjustifikasikan tindakan ketenteraan mereka terhadap Tehran. Bagi Israel, Iran bukan sekadar negara pesaing di rantau tersebut, tetapi juga sebuah kuasa yang berpotensi membentuk paksi penentangan serantau yang mampu mengancam kedudukan strategiknya.
Antara alasan yang sering diketengahkan oleh Israel ialah dakwaan bahawa Iran sedang membangunkan program senjata nuklear. Walaupun program nuklear Iran telah lama menjadi subjek perdebatan antarabangsa, sehingga kini dakwaan bahawa Iran memiliki senjata nuklear masih tidak dapat dibuktikan secara muktamad oleh pemerhati antarabangsa. Sebaliknya, Iran secara konsisten menegaskan bahawa pengayaan uranium yang dijalankan adalah untuk tujuan tenaga dan penyelidikan saintifik.
Namun dalam kerangka geopolitik Israel, ancaman yang dikaitkan dengan Iran tidak terhad kepada isu nuklear semata-mata. Tehran juga dianggap sebagai penyokong utama kepada jaringan kumpulan bersenjata di beberapa kawasan penting seperti Gaza, Lubnan, Syria, Yaman dan Iraq. Rangkaian ini sering digambarkan sebagai paksi penentangan yang berpotensi mengepung Israel dari pelbagai arah sekiranya konflik berskala besar tercetus.
Dalam konteks ini, serangan Israel terhadap Iran sering cuba digambarkan sebagai tindakan pencegahan ancaman keselamatan secara strategik bagi memastikan Iran tidak mencapai keupayaan ketenteraan yang mampu mengubah imbangan kuasa di rantau tersebut.
Peranan Amerika Syarikat
Di sebalik konflik antara Israel dan Iran, peranan Amerika Syarikat (AS) tidak boleh dipisahkan daripada dinamika keselamatan Asia Barat. Sejak beberapa dekad lalu, Washington merupakan sekutu paling penting kepada Israel dari segi ketenteraan, ekonomi dan diplomasi.
Dalam perkembangan terkini, AS dilihat memainkan peranan yang semakin aktif dalam krisis ini. Walaupun rundingan antara Iran dan AS pernah berlangsung beberapa kali bagi membincangkan isu program nuklear serta kemungkinan pengurangan sekatan ekonomi. Namun, ketegangan tetap memuncak dan berterusan hingga ke hari ini.
Rundingan mengenai program nuklear Iran sebenarnya pernah mencapai kemajuan penting melalui perjanjian nuklear tahun 2015 antara Iran dan beberapa kuasa besar dunia. Perjanjian tersebut bertujuan mengehadkan program nuklear Iran sebagai pertukaran kepada pengurangan sekatan ekonomi. Namun, perjanjian itu kemudian dibatalkan secara unilateral oleh pentadbiran AS pada tahun 2018, sekali gus mengembalikan ketegangan antara kedua-dua pihak.
Dalam suasana ketidakpercayaan yang semakin meningkat, langkah AS menghantar aset ketenteraan tambahan ke Asia Barat dilihat sebagai tekanan strategik terhadap Iran. Tindakan ini bukan sahaja meningkatkan risiko konfrontasi ketenteraan, malah memperlihatkan bahawa konflik Israel-Iran mempunyai dimensi yang lebih luas melibatkan persaingan kuasa besar.
Dalam negara AS sendiri, keputusan untuk menyokong operasi ketenteraan terhadap Iran turut menimbulkan perdebatan politik yang ketara. Beberapa kajian menunjukkan bahawa sokongan rakyat Amerika terhadap perang baharu di Asia Barat tidak begitu tinggi. Hal ini mencerminkan keletihan masyarakat Amerika selepas pengalaman panjang peperangan di Iraq dan Afghanistan yang menelan kos besar tanpa menghasilkan kestabilan politik yang jelas.
Keupayaan Strategik Iran
Walaupun berdepan pelbagai sekatan ekonomi selama bertahun-tahun, Iran tetap muncul sebagai salah satu kuasa serantau yang penting di Asia Barat. Negara dengan populasi sekitar 90 juta penduduk ini mempunyai sistem politik yang unik, berasaskan konsep wilayah al-faqih yang menggabungkan kepimpinan agama dengan struktur pemerintahan republik.
Sistem ini turut disokong oleh institusi keselamatan yang kuat seperti Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta rangkaian mobilisasi rakyat seperti Basij. Struktur ini menjadikan Iran memiliki keupayaan mobilisasi yang berbeza berbanding kebanyakan negara lain di rantau tersebut. Dari sudut ketenteraan pula, Iran telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi yang mampu mengimbangi kelebihan teknologi negara-negara Barat. Ini termasuk pembangunan peluru berpandu balistik, dron tempur, sistem radar serta pelbagai bentuk teknologi pertahanan asimetri. Pendekatan ini membolehkan Iran mengekalkan keupayaan pencegahan walaupun tidak memiliki kekuatan konvensional yang setanding dengan kuasa besar.
Selain itu, kedudukan geografi Iran juga memberikan kelebihan strategik yang signifikan. Negara ini terletak berhampiran Selat Hormuz, laluan maritim yang sangat penting kepada perdagangan tenaga global. Sebahagian besar minyak dan gas dari negara-negara Teluk dieksport melalui selat ini sebelum dihantar ke pasaran dunia. Faktor geografi ini menjadikan sebarang konflik yang melibatkan Iran berpotensi memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi global.
Risiko Kepada Kestabilan Serantau dan Global
Sekiranya konflik antara Israel, Iran dan AS terus meningkat, implikasinya tidak akan terhad kepada rantau Asia Barat sahaja. Sebaliknya, ia berpotensi mencetuskan kesan domino terhadap sistem ekonomi dan keselamatan global. Antara risiko paling jelas ialah gangguan terhadap bekalan tenaga dunia. Dianggarkan sekitar satu perlima bekalan minyak global melalui Selat Hormuz. Sebarang ketegangan ketenteraan yang mengancam laluan ini boleh menyebabkan kenaikan mendadak harga minyak serta menjejaskan kestabilan pasaran global.
Selain itu, konflik yang berpanjangan juga berpotensi menarik penglibatan kuasa besar lain seperti Rusia dan China, yang mempunyai kepentingan strategik tersendiri di rantau tersebut. Dalam keadaan sistem antarabangsa yang semakin berpecah kepada blok-blok kuasa, konflik serantau berpotensi berkembang menjadi krisis geopolitik yang lebih luas.
Bagi negara-negara Teluk pula, konflik ini mewujudkan dilema strategik yang sukar. Di satu pihak, banyak negara Teluk mempunyai hubungan keselamatan yang rapat dengan AS. Namun, pada masa yang sama, mereka juga perlu mempertimbangkan sensitiviti politik domestik serta tekanan masyarakat yang semakin kritikal terhadap tindakan Israel di Gaza dan wilayah Palestin yang lain.
Situasi ini menjadikan kebanyakan negara Teluk cenderung mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan konflik yang lebih besar di rantau tersebut.
Kesimpulan
Ketegangan antara Israel—AS dan Iran tidak sekadar mencerminkan perseteruan antara negara. Ia merupakan sebahagian daripada persaingan geopolitik yang lebih luas di Asia Barat, yang turut melibatkan kepentingan keselamatan, tenaga dan pengaruh kuasa besar. Dalam keadaan ini, sebarang peningkatan ketegangan berpotensi memberi impak meluas, khususnya apabila laluan tenaga strategik dunia turut terdedah kepada risiko gangguan yang berpanjangan. Tanpa usaha diplomasi yang serius dan berterusan, konflik ini berisiko berkembang daripada krisis serantau kepada ketidaktentuan yang mampu menggugat kestabilan geopolitik serta ekonomi global.