All Articles

Boikot: Nafas Perjuangan di Tengah Arus Penjajahan Moden

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
November 4, 2025

Wajarlah jika rejim Israel berbangga dengan penguasaannya dalam bidang ekonomi, khususnya dalam pelbagai sektor perdagangan komersial dan teknologi di seluruh dunia. Melalui dominasi ini, dunia seolah-olah telah ‘dipaksa’ untuk berurusan dengannya atas dasar status quo. Jika diteliti khususnya dalam sektor makanan, banyak produk berkualiti tinggi yang boleh didapati sama ada berasal dari wilayah haram Israel atau negara-negara yang menyokongnya; produk-produk ini mampu bersaing di pasaran global dengan harga yang berpatutan dan berkualiti yang tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan wilayah haram ini di seluruh dunia.


Dari sudut teknologi pula, rejim Israel dianggap antara pemain utama yang memberi pengaruh besar dalam bidang teknologi moden. Bahkan perkara ini turut diakui oleh Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu ketika dalam pertemuannya baru-baru ini di Baitul Maqdis Barat bersama delegasi yang diketuai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio. Dalam perbualan tersebut, Netanyahu membangkitkan berkenaan isu eksport serta sumbangan rejim dalam pelbagai bidang, lalu bertanya kepada mereka: “Adakah kamu memiliki telefon? Jika ya, maka kamu sedang memegang sebahagian daripada Israel.” Kenyataan ini menggambarkan bagaimana rejim Israel berusaha menonjolkan pengaruh dan hegemoninya terhadap dunia secara umum, serta terhadap rantau ini secara khusus.


Rejim Israel juga dikenali sebagai antara pihak yang paling giat membangunkan bidang kecerdasan buatan (AI). Teknologi ini telah digunakan dalam serangan mereka ke atas Gaza pada Mei 2021 serta dalam Operasi Taufan al-Aqsa yang berlangsung sejak 2023 sehingga hari ini. Meskipun berlaku beberapa kesilapan akibat pergantungan terhadap sistem AI tersebut, rejim itu tetap memanfaatkannya demi meningkatkan ketepatan serta memperkukuh keupayaan serangan dengan tahap ketelitian yang tinggi.


Sementara dari sudut politik pula, usaha boikot dizahirkan melalui penolakan terhadap usaha normalisasi hubungan rasmi serta penentangan terhadap perjanjian yang bertujuan mengintegrasikan rejim penjajah Israel dengan negara-negara serantau. Tindakan ini membuktikan bahawa isu Palestin masih kekal sebagai keutamaan utama dalam jiwa umat Islam dan negara Arab.


Di samping itu, perhatian turut diberikan pada aspek budaya dan media. Para aktivis Arab dan Muslim berperanan membongkar serta menentang naratif palsu Israel dengan meningkatkan kesedaran tentang bahaya normalisasi dalam bidang budaya, seni dan perdagangan, yang dianggap sebagai antara cara halus untuk menyusup masuk lalu melemahkan jati diri masyarakat Muslim dan dunia Arab.


Memandangkan gerakan boikot oleh dunia Arab dan Islam terhadap syarikat komersial serta institusi global memainkan peranan yang sangat penting, rejim penjajah semakin giat berusaha untuk melemahkan gerakan ini dari hari ke hari. Hal ini kerana boikot dianggap sebagai salah satu bentuk utama penentangan rakyat secara aman, yang mampu memutuskan tali ekonomi yang selama ini dibanggakan oleh penjajah dan sekutunya selama berdekad-dekad. Boikot juga telah menjadikan kos peperangan yang dilancarkan oleh rejim haram ini semakin melonjak tinggi, tidak lagi dapat ditanggung dengan mudah seperti sebelumnya, selain turut melemahkan hubungan politiknya dengan banyak buah negara di seluruh dunia.


Walau bagaimanapun, kejayaan usaha boikot tidak akan dapat berkekalan sekiranya ia terus bergerak dengan pendekatan lama yang digunakan sejak sekian lama. Sudah menjadi lumrah bagi mana-mana usaha bahkan gerakan, jika tidak diperbaharui, akhirnya ia akan mulai perlahan dan seterusnya mati. Apatah lagi apabila berhadapan dengan rejim penjajah yang sentiasa memperkukuh keupayaan dan memperbaharui strateginya tanpa henti. Oleh itu, usaha mencari serta membangunkan alternatif lain bagi produk yang perlu diboikot amatlah penting. Tidak wajar juga jika meletakkan salah pada rakyat jika mereka tidak mampu meneruskan usaha boikot tanpa adanya pilihan alternatif lain yang setanding dari segi kualiti dan harga dengan produk yang diboikot.


Sebagai contoh, rangkaian kafe antarabangsa seperti Starbucks yang umum mengetahui menyokong penjajahan masih menguasai banyak pasaran dunia. Namun pengaruhnya mula merosot di beberapa buah negara Islam seperti di Malaysia sendiri. Perkara ini bukan hanya disebabkan oleh simpati rakyat Malaysia terhadap Palestin, tetapi juga kerana wujudnya banyak pilihan alternatif tempatan lain yang menawarkan produk dan harga setanding dengan Starbucks. Begitu juga halnya dengan restoran makanan segera seperti McDonald’s yang terkenal dengan kualiti dan harga mampu milik di pelbagai negara. Justeru itu, penyediaan alternatif yang setaraf amat penting demi memperkukuh usaha boikot.


Dari sudut teknologi, meskipun dunia kini dikuasai oleh teknologi Barat, para pengkaji algoritma menyedari masih wujud ruang untuk menembusi serta memanfaatkan sistem tersebut bagi kepentingan rakyat Arab dan umat Islam, khususnya dalam memperkukuh perjuangan Palestin.


Beberapa aplikasi yang dibangunkan di wilayah haram Israel dan kelihatan bertujuan memudahkan urusan harian — seperti aplikasi navigasi atau keselamatan peranti — sebenarnya mengandungi unsur perisikan yang digunakan untuk mengumpul maklumat daripada masyarakat di seluruh dunia.


Namun begitu, sehingga kini kita lihat tiada lagi usaha boikot yang tersusun merangkumi pelbagai bidang kepakaran yang mampu menyaingi aplikasi-aplikasi tersebut. Akibatnya, orang ramai terpaksa menggunakan aplikasi yang dibangunkan oleh rejim penjajah sama ada mereka sedar atau tidak kerana telah terikut peredaran semasa. Keadaan ini secara tidak langsung melemahkan usaha boikot melalui cara yang halus dan licik.


Sebagai penutup, dapat disimpulkan bahawa gerakan boikot bukan sekadar tindakan ekonomi, tetapi sebuah manifestasi kesedaran dan tanggungjawab kolektif umat terhadap kezaliman yang sedang berterusan. Ia mencerminkan keupayaan rakyat untuk menolak penjajahan dengan cara yang damai namun berkesan, di samping menegaskan bahawa kekuatan sebenar umat terletak pada kesatuan dan keteguhan prinsipnya. Dalam dunia yang semakin saling bergantungan ini, keberhasilan boikot bergantung bukan hanya pada penolakan semata-mata, tetapi juga pada kesediaan kita membina alternatif yang berdaya saing agar perjuangan membela Palestin terus mekar hidup dalam setiap pilihan yang kita buat, sekecil mana pun ia kelihatan.

Diterjemahkan oleh: Lia Maryam Faisal