All Articles

Aparteid Dalam Konteks Israel—Palestin

Written by
Khairul Yunus
Published on
April 29, 2026

Wacana mengenai konflik Israel—Palestin sering dibayangi oleh tanggapan bahawa situasinya terlalu berbeza dan istimewa, seolah-olah tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana sejarah lain di dunia. Walau bagaimanapun, sejak dua dekad kebelakangan ini, perbandingan antara sistem pendudukan rejim Zionis Israel dengan rejim Aparteid di Afrika Selatan semakin mendapat sorotan daripada masyarakat dunia.


Perbandingan ini bukanlah sekadar retorik politik untuk menyamakan dua situasi secara mutlak. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai alat analisis untuk menyingkap struktur kuasa dalam kerangka kolonialisme moden. Ia membantu kita memahami bagaimana sistem penguasaan dibina melalui pengelasan identiti, pemisahan ruang secara fizikal dan pengagihan hak yang tidak seimbang.


Projek Berkembar Kolonialisme 

Untuk memahami perbandingan ini, kita harus melihat kepada asas pembentukan kedua-dua negara. Israel di bawah pemerintahan Zionis dan Afrika Selatan di bawah pemerintahan orang kulit putih adalah ibarat projek berkembar daripada kolonialisme penjajah. Kedua-duanya dibina oleh komuniti pendatang yang disokong oleh kuasa empayar, khususnya Britain dan dipengaruhi oleh ideologi pemisahan dan pandangan yang menganggap kelompok mereka lebih unggul daripada yang lain.

Satu fakta yang mengejutkan, terdapat persamaan antara kedua-duanya dalam skala perampasan tanah jajahan. Dalam konteks Afrika Selatan, minoriti orang kulit putih menguasai kira-kira 87% tanah, yang mana angka ini hampir sama dengan peratusan tanah yang telah dirampas oleh pendatang haram Israel daripada penduduk asal Palestin. Proses ini ‘dihalalkan’ melalui doktrin “Terra Nullius”, yakni sebuah konsep kolonial yang menganggap sesebuah tanah itu kosong atau tidak dimiliki secara sah selagi mana tidak diusahakan mengikut piawaian Barat. Kefahaman ini sekali gus memadamkan hak dan sejarah orang asal.

Hafrada dan Aparteid: Dua Kata, Satu Makna

Secara linguistik, perkataan aparteid berasal daripada bahasa Afrikaans yang bermaksud “pemisahan” atau “keadaan terasing”. Menariknya, sejak tahun 1990-an, Israel juga dengan secara terbuka mengisytiharkan suatu dasar yang dikenali sebagai hafrada. Dalam bahasa Ibrani (Hebrew), hafrada mempunyai makna yang persis sama dengan aparteid, iaitu “pemisahan”.

Jika aparteid di Afrika Selatan mempunyai wilayah Bantustan sebagai sempadan pengasingan penduduk asal daripada tanah air mereka, Israel pula telah membina tembok setinggi 24 kaki yang merentasi Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT). Tembok ini bukan sekadar binaan konkrit biasa, ia adalah tembok pemisah yang mengukuhkan diskriminasi ke atas ruang kebebasan penduduk asal. Bagi aktivis kemanusiaan dan penduduk tempatan, tembok ini adalah bukti nyata pengasingan yang mengubah landskap Palestin menjadi serpihan-serpihan yang tidak dapat disatukan.

Bantustan, Simbol Pemecahan Kedaulatan

Salah satu elemen paling tragis dalam sistem aparteid di Afrika Selatan adalah kewujudan wilayah yang dinamakan sebagai Bantustan. Wilayah ini adalah kawasan rizab marginal yang sengaja diwujudkan dan diberikan kedaulatan terhad bagi orang kulit hitam untuk melucutkan kewarganegaraan mereka daripada negara induk (Afrika Selatan). Projek pengasingan wilayah Bantustan ini seolah-olah sebuah agenda sama yang ditiru dan sedang berlaku di Palestin melalui pengasingan wilayah Gaza dan Perjanjian Oslo pula membahagikan Tebing Barat kepada Kawasan A, B dan C.

Kawasan-kawasan ini boleh diibaratkan seperti wilayah yang terkepung atau penjara terbuka yang memenjarakan penduduk Palestin. Walaupun Pihak Berkuasa Palestin (PA) mempunyai kuasa di Tebing Barat, namun ia sangat terhad kerana rejim Israel tetap memegang kuasa mutlak ke atas sempadan, ruang udara, sumber air dan keselamatan. Ini mewujudkan struktur kedaulatan yang lemah, di mana hak seseorang individu ditentukan sepenuhnya oleh penjajah berdasarkan kategori dan identiti mereka.

Pengelasan Manusia dan Pelucutan Hak

Sistem aparteid dan hafrada berdiri di atas kerangka pengelasan manusia yang zalim. Di Afrika Selatan, pengelasan terbahagi kepada orang kulit hitam, orang kulit putih dan golongan campuran. Manakala di Palestin—Israel, kategorinya terbahagi kepada orang Arab dan orang Yahudi. Pengelasan ini bukan sekadar label semata-mata, ia adalah instrumen yang digunakan penjajah untuk menentukan hak mobiliti, hak akses kepada sumber dan hak perlindungan undang-undang.

Sebagai contoh, seorang pendatang warga Yahudi di Tebing Barat, tertakluk kepada undang-undang sivil Israel dan menikmati kebebasan bergerak sepenuhnya. Sebaliknya, penduduk Palestin di kawasan yang sama tertakluk kepada rejim undang-undang dan sekatan pergerakan yang berbeza, termasuk kawalan sempadan, penahanan tanpa bicara dalam sesetengah kes serta sering kali berdepan penyiksaan. 

Perbezaan status ini menyebabkan penduduk Palestin kehilangan “hak untuk mempunyai hak”, suatu konsep yang dihuraikan oleh Emma Larking berdasarkan idea Hannah Arendt. Dari perspektif ini, hak asasi tidak lagi berfungsi sebagai jaminan sebenar. Tanpa pengiktirafan sebagai sebahagian daripada sesebuah negara, hak tersebut hanya kekal sebagai prinsip di atas kertas dan tidak memberi perlindungan nyata kepada kehidupan mereka.

Sekatan Pergerakan Yang Menindas

Sekatan pergerakan adalah asas kepada kawalan kolonial. Di Afrika Selatan, penduduk kulit hitam wajib membawa buku pas (passbook) untuk melakukan pergerakan keluar-masuk dari kawasan yang ditetapkan. Manakala di Palestin, sistem kawalan pergerakan ini dilaksanakan melalui mekanisme permit yang kompleks, termasuk penggunaan kad pengenalan berwarna serta kewujudan lebih daripada 850 pusat pemeriksaan (checkpoints) yang dikawal secara ketat dan boleh berubah mengikut keadaan pertimbangan ‘keselamatan’.

Pemerhati antarabangsa seperti John Dugard dan Desmond Tutu turut menegaskan bahawa mekanisme permit dan sekatan pergerakan Israel ini mempamerkan tahap penindasan yang bukan sahaja menyerupai, malah dalam aspek tertentu melampaui sistem buku pas era aparteid di Afrika Selatan. 

Penjarahan Ekonomi dan Penjajahan Pertiwi: Di Mana Perbezaannya?

Walaupun terdapat persamaan yang ketara, satu perbezaan utama yang menentukan dinamika konflik ini boleh dilihat melalui aspek penjarahan dan penjajahan. Contohnya, dasar aparteid di Afrika Selatan bergantung sepenuhnya kepada buruh kulit hitam yang murah untuk memacu industri perlombongan dan perkilangan. Di sini, nampak jelas bagaimana pengasingan di sana tertumpu kepada eksploitasi ekonomi yang bersifat  berat sebelah. Meskipun begitu, bahana penindasan tetap dirasakan oleh penduduk asal, yang berakhir pada tahun 1994.

Sebaliknya, projek Zionis di Israel pula cenderung ke arah pengasingan sepenuhnya atau penjajahan mutlak ke atas negara Palestin. Hal ini dapat dikesan melalui dasar neoliberal pada pertengahan 1990-an, di mana Israel telah mengurangkan kebergantungan kepada buruh Palestin dan menggantikan mereka dengan pekerja asing dari Asia Tenggara dan Eropah Timur. Matlamatnya bukan untuk mengeksploitasi buruh Palestin, tetapi sebaliknya untuk meminimumkan jumlah orang Arab Palestin di atas tanah jajahan rejim Israel. Ini membawa kepada polisi peminggiran, kemiskinan dan kawalan populasi yang terancang, terutamanya di wilayah Gaza yang kini telah disekat sepenuhnya. 

Kesimpulan

Perbandingan ini mengingatkan kita bahawa ketidakadilan, meskipun disusun secara sistematik,  tidak akan kekal selamanya. Ia boleh dicabar, dipersoalkan dan akhirnya akan melalui tekanan dan penentangan global. Bahkan, dari perbandingan ini kita memahami bahawa apa yang berlaku di Palestin bukanlah konflik agama yang tidak berkesudahan, melainkan ia adalah sebuah perancangan politik yang direka secara sistematik untuk memberikan keabsahan kepada suatu kumpulan manusia dengan menafikan hak asasi kumpulan manusia yang lain. Seperti mana penjajahan melalui dasar aparteid di Afrika Selatan yang akhirnya runtuh, sejarah ini memberikan harapan bahawa dasar pemisahan (hafrada) rejim Israel juga akan berakhir melalui kesedaran dan tindakan bersepadu daripada masyarakat dunia.