All Articles

Apabila Bahasa Menjadi Senjata Normalisasi Konflik di Asia Barat

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
April 23, 2026


Perbahasan tentang istilah tidak boleh dilihat sebagai isu bahasa semata-mata, sebaliknya ia berkait secara langsung dengan kerangka epistemologi — iaitu bagaimana sesuatu wilayah difahami, disusun dan ditafsir dalam struktur ilmu. Dalam konteks ini, istilah “Timur Tengah” wajar dinilai semula, bukan sekadar dari sudut ketepatan geografi, tetapi dari segi sejarah pembentukannya dan implikasi intelektual yang dibawanya.


Istilah “Timur Tengah” tidak lahir dalam ruang yang neutral. Ia terbentuk dalam tradisi geopolitik Eropah, khususnya dalam wacana strategik British pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Pembahagian seperti “Near East”, “Middle East” dan “Far East” mencerminkan satu susunan ruang yang berasaskan jarak relatif dari Eropah sebagai pusat. Dunia tidak dipetakan berdasarkan realiti dalaman wilayah-wilayah tersebut, tetapi berdasarkan kepentingan kuasa yang menamakannya.


Di sini, kita kena faham bahawa penamaan bukan sekadar deskriptif. Sebaliknya, ia bersifat normatif. Ia menentukan apa yang dianggap ancaman, siapa yang dianggap stabil dan bagaimana sesuatu wilayah diletakkan dalam imaginasi geopolitik global. Maka, istilah “Timur Tengah” bukan sekadar label geografi, tetapi sebahagian daripada cara Barat menyusun dunia — secara konseptual dan strategik.


Kesan Pengistilahan Melangkaui Jangkaan dan Solusinya

Implikasinya jelas. Penggunaan istilah ini secara berterusan mengekalkan satu struktur pemikiran yang memusatkan Barat, manakala wilayah lain diletakkan sebagai periferi atau bahasa mudahnya kawasan pinggir. Ia membentuk satu hierarki ruang yang akhirnya mempengaruhi cara konflik dibaca, cara tindakan dinilai dan cara legitimasi diberikan.


Kefahaman sedemikian tidak berhenti pada istilah geografi. Ia berlanjutan dalam bahasa politik dan keselamatan.


Serangan ke atas Iran pada 28 Februari 2026 dilabel sebagai “serangan pencegahan” oleh pihak yang terlibat. Namun apabila Iran membalas, istilah berubah menjadi “pencerobohan”. Perubahan ini bukan soal linguistik, tetapi soal kuasa untuk menentukan makna. Bahasa berfungsi sebagai alat legitimasi — ia bukan sekadar menerangkan realiti, tetapi membentuk realiti.


Corak yang sama dapat dilihat dalam penggunaan istilah seperti “radical Sunni axis” oleh Mantan Perdana Menteri wilayah haram Israel, Naftali Bennett dan Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu. Istilah ini tidak bertujuan menjelaskan realiti mazhab, tetapi membina persepsi ancaman bagi mengurus imbangan kuasa dan mengekalkan pakatan strategik. Dalam kerangka ini, bahasa digunakan secara instrumental — ia fleksibel dan bergantung kepada kepentingan.


Namun, semua ini hanya boleh difahami dengan jelas jika kita melihatnya melalui kerangka pemikiran yang lebih mendalam — iaitu bagaimana ilmu dan kategori itu sendiri dibentuk.


Di sinilah sumbangan pemikir Islam moden menjadi penting.


Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa krisis utama umat Islam bukan sekadar politik atau ekonomi, tetapi krisis ilmu. Bagi beliau, masalah asas ialah kekeliruan ilmu (confusion of knowledge) — apabila konsep, istilah dan kategori yang lahir daripada tradisi Barat moden diterima tanpa tapisan kritis, lalu bercampur dengan kerangka Islam tanpa kejelasan.


Konsep “pandangan alam Islam” yang dibangunkan oleh al-Attas bukan sekadar idea abstrak. Ia adalah kerangka untuk menilai semula keseluruhan struktur ilmu — termasuk bahasa, geografi dan konsep politik. Dalam kerangka ini, istilah seperti “Timur Tengah” tidak boleh dianggap neutral kerana ia lahir daripada pandangan alam yang berbeza. Ia membawa bersama andaian tentang pusat dan pinggiran, tentang siapa yang menjadi rujukan dan bagaimana dunia disusun.


Bagi al-Attas, membetulkan istilah tanpa membetulkan pandangan alam tidak menyelesaikan masalah. Kerana istilah hanyalah manifestasi luaran kepada struktur makna yang lebih dalam. Selagi struktur itu tidak diubah, selagi itulah – datanglah istilah baharu sekalipun – ia akan mengulangi logik lama.


Pendekatan Syed Hussein Alatas pula bergerak dalam dimensi sosiologi dan sejarah kuasa. Dalam analisis beliau, penjajahan tidak hanya berlaku melalui kekuatan ketenteraan atau ekonomi, tetapi juga melalui pembinaan naratif. Istilah dan konsep digunakan untuk mencipta gambaran tertentu tentang masyarakat yang dijajah — contohnya naratif “kemalasan pribumi” yang berfungsi untuk mewajarkan dominasi.


Dalam konteks ini, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi alat ideologi. Ia menentukan bagaimana sesuatu masyarakat dilihat dan bagaimana tindakan terhadapnya dianggap sah. Jika kita bawa logik ini ke dalam perbincangan tentang “Timur Tengah”, jelaslah bahawa istilah tersebut juga sebahagian daripada proses yang sama iaitu membingkaikan satu wilayah dalam cara yang memudahkan pengurusan dan dominasi oleh kuasa luar.


Sebuah Penjajahan Minda?

Alatas mengingatkan bahawa untuk membebaskan diri daripada warisan ini, kita bukan sahaja perlu menolak naratif yang salah, tetapi membina naratif alternatif yang berakar pada realiti sendiri. Tanpa kedua-duanya, kita hanya menukar istilah tanpa mengubah struktur kuasa yang mendasarinya.


Pemikir sosial Algeria dan juga penulis Vocation of Islam: An autopsy of Muslim Society in the Aftermath of the Onset of the Israeli-Palestinian Conflict, Malek Bennabi membawa perbincangan ini ke tahap yang lebih mendalam melalui konsep “kolonisasi minda”. Bagi Bennabi, penjajahan sebenar berlaku apabila sesuatu masyarakat kehilangan keupayaan untuk berfikir secara autonomi, lalu bergantung kepada kerangka luar untuk memahami dirinya sendiri.


Dalam keadaan ini, istilah seperti “Timur Tengah” tidak lagi dilihat sebagai istilah asing, tetapi sebagai istilah yang normal. Ia digunakan tanpa soal kerana ia telah menjadi sebahagian daripada cara berfikir. Ini yang menjadikan kolonisasi minda lebih berbahaya daripada penjajahan fizikal — kerana ia tidak kelihatan, tetapi beroperasi secara berterusan.


Bennabi juga menekankan bahawa pembebasan memerlukan pembinaan semula kesedaran — iaitu keupayaan untuk mengenal pasti unsur luar dalam cara fikir sendiri dan seterusnya, membina kerangka yang lebih berakar. Dalam konteks ini, kritikan terhadap istilah bukan tujuan akhir, tetapi langkah awal dalam proses yang lebih besar.


Apabila kerangka-kerangka ini digabungkan, kita dapat melihat bahawa isu istilah seperti “Timur Tengah” bukan isu teknikal. Ia berkait dengan persoalan lebih besar tentang autoriti ilmu, pembentukan makna dan hubungan antara bahasa dan kuasa.


Alternatif seperti istilah “Asia Barat” memberikan pembetulan asas dari sudut geografi, tetapi ia tidak mencukupi jika tidak disertai dengan perubahan pada tahap epistemologi. Penyahjajahan (decolonization) dalam erti sebenar memerlukan usaha yang lebih mendalam — iaitu membina semula cara kita melihat, menilai dan memahami dunia.


Ini bukan proses yang boleh diselesaikan dalam jangka pendek, sebaliknya ia memerlukan konsistensi, disiplin dan sokongan institusi. Pendidikan, penulisan dan penyelidikan perlu bergerak dalam arah yang sama — menilai semula kategori sedia ada dan membina alternatif yang lebih berakar.


Dalam hal ini, kewujudan badan pemikir, pusat kajian dan institusi intelektual menjadi kritikal. Kerja membongkar kerangka lama dan membina kerangka baharu tidak boleh bergantung kepada usaha individu semata-mata, sebaliknya ia memerlukan kesinambungan, perancangan dan penghasilan ilmu secara sistematik. Namun, sekiranya tiada usaha tersebut, kritikan terhadap istilah akan kekal sebagai wacana sementara — diulang dalam momen tertentu, tetapi tidak mengubah cara fikir secara mendalam.


Kesimpulannya, istilah seperti “Timur Tengah” perlu difahami sebagai sebahagian daripada struktur kuasa yang lebih besar dan langkah awal kepada pembebasan minda yang terjajah. Ia bukan sahaja mencerminkan cara dunia dilihat, tetapi juga bagaimana ia diurus dan dikawal. Apa yang berlaku dalam konflik semasa — daripada penggunaan istilah “pencegahan” hingga kepada pembinaan naratif ancaman — menguatkan hakikat bahawa bahasa adalah instrumen kuasa.


Jika kita tidak membongkar kerangka ini, kita bukan sahaja mengulang istilah lama, tetapi juga mengulang cara fikir yang sama. Dan dalam keadaan itu, penyahjajahan tidak berlaku — yang berubah hanyalah permukaan, sedangkan asasnya kekal.