All Articles

Apa Yang Boleh Kita Jangka Melalui Gencatan Senjata di Gaza?

Written by
Syahmi Afiq
Published on
January 16, 2025

Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza mencatatkan satu perkembangan penting, meskipun tidak menjamin keamanan yang berkekalan kerana pendirian Israel itu sendiri yang sering berubah.

Walau ia tidak menjamin bahawa Israel akan patuh sepenuhnya, tetapi persetujuan untuk mencapai gencatan senjata ini membuktikan satu perkara.

Apakah itu?

Operasi keganasan Israel di Gaza selama 15 bulan seperti yang digariskan oleh Netanyahu dengan tiga objektif yang ingin dicapainya telah pun GAGAL!

Biden juga akan kelihatan sebagai Presiden Amerika Syarikat paling gagal di dalam menangani tindakan Israel melakukan genosid, ditambah lagi tindakan itu turut ditaja oleh duit pembayar cukai Amerika Syarikat yang pada akhirnya menatijahkan kekalahan Demokrat di dalam pilihan raya Amerika Syarikat, baru ini.

Perjanjian gencatan senjata ini disusun dalam tiga peringkat utama, bermula dengan gencatan senjata dan pertukaran tebusan di mana 33 tebusan Israel akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin.

Selain itu, bantuan kemanusiaan ke Gaza dijangka meningkat secara besar-besaran, termasuk penghantaran ratusan trak bantuan setiap hari, pembekalan bahan api, dan usaha membangunkan semula infrastruktur di bawah pengawasan antarabangsa.

Tentera Israel juga dirancang untuk berundur dari kawasan tertentu, termasuk Koridor Philadelphi, ini bermaksud Mesir akan kembali mengawasi sempadan Rafah. Tiada sebab lagi sepatutnya untuk Mesir menghalang keluar masuk bukan sahaja barang bantuan, tetapi juga warga Gaza termasuklah para pekerja kemanusiaan.

Walau bagaimanapun, cabaran utama tetap wujud, termasuk perselisihan politik dalam kerajaan Israel, ketidaktentuan dalam pelan pemulihan pascaperang, serta ketiadaan jaminan terhadap penghentian konflik di masa hadapan.

Keberkesanan pelaksanaan perjanjian ini akan bergantung pada komitmen kedua-dua pihak dan sokongan masyarakat antarabangsa.

Apa yang pasti? Perancangan musuh tetap tidak akan dapat melawan perancanganNya.

حَسْبُنَا اللَّهُ وَ نِعْمَ الْوَ كِيلُ