Amerika Inginkan Gaza: Masih Hendak Duduk Diam?
![](https://cdn.prod.website-files.com/64b0ba4f21cbfbd31a8b964d/67a458ef75282049eff37aec_250204-trump-netanyahu-ew-457p-bc6151.webp)
Kunjungan Netanyahu ke AS akhirnya membuahkan ‘hasil.’ Kenyataan yang dikeluarkan Trump untuk merampas Gaza dan menjadikan ia sebagai “Riviera Timur Tengah” terpacul apabila Trump menegaskan akan memindahkan rakyat Palestin daripada wilayah tersebut ke kawasan lain; antara lain memetik Jordan dan Mesir sebagai lokasi baharu penempatan warga Palestin.
Kelihatannya kenyataan yang dikeluarkan Trump ini mencerminkan peralihan daripada pendekatan tradisional dasar-dasar AS terhadap situasi yang berlaku di Palestin selama ini. Antara perkara yang kita boleh lihat berdasarkan kenyataan Trump ini ialah:
Peralihan Polisi AS
- Solusi Dua Negara: Pelan Trump secara jelas merendahkan komitmen AS selama ini terhadap solusi dua negara; antara perkara yang telah lama bertapak di dalam polisi luar Amerika, dianggap sebagai penyelesaian kepada masalah yang berlaku di rantau Asia Barat. Dengan menyeru kepada penempatan semula warga Palestin dan mengawal Gaza, Trump secara tidak langsung menawarkan penyelesaian yang hanya menguntungkan satu pihak, iaitu Israel dan sekutunya serta dalam masa yang sama mengabaikan hak dan kedaulatan Palestin.
- Undang-undang dan Etika: Cadangan ini menimbulkan beberapa isu undang-undang, antaranya pemindahan paksa penduduk yang jelas dilarang dalam Konvensyen Geneva Keempat. Secara langsung, tindakan Trump ini boleh diklasifikasikan sebagai pembersihan etnik.
Kenyataan ini juga menimbulkan pelbagai reaksi dunia. Negara-negara Arab, khususnya Jordan dan Mesir melihat ia sebagai pencabulan ke atas hak warga Palestin dan berupaya meningkatkan ketidakstabilan di rantau tersebut. Dalam masa yang sama, ia akan mengganggu hubungan antara AS dan negara-negara sekutu di rantau tersebut. Namun berbeza sambutan berita ini di pihak Netanyahu, ia dianggap sebagai sebuah kenyataan yang memperlihatkan komitmen mereka di dalam meneruskan agenda di Gaza. Kenyataan ini juga dilihat sebagai sebuah pemangkin menguatkan pengaruh faksi kanan di Israel seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan Netanyahu di koridor kuasa.
Apa impaknya untuk kemanusiaan?
Ia akan meningkatkan kadar penempatan semula warga Gaza yang kini 90% daripada mereka sudah pun kehilangan tempat tinggal kerana serangan berterusan. Ini menyebabkan kekurangan tempat tinggal dan memburukkan lagi keadaan hidup yang sudah teruk. Lebih 95% daripada populasi Gaza kini mengalami ketidakjaminan makanan yang teruk, dengan ramai daripadanya tidak memiliki akses untuk makanan yang cukup dan berkhasiat.
Ditambah lagi dengan sistem kesihatan yang sudah sedia tidak dapat berfungsi, kemudian penyebaran penyakit berjangkit, ini semua akan meningkatkan lagi kadar kematian, bukan sahaja mati kerana dibunuh senjata, namun mati perlahan-lahan dek kerana kekurangan akses kepada rawatan yang sepatutnya diterima.
Pengusiran ini juga akan menyebabkan trauma serta mendatangkan isu kepada kesihatan mental. Dengan pendedahan berterusan kepada keganasan, kehilangan dan penempatan semula yang tidak berhenti selama 15 bulan, terutama sekali kepada kanak-kanak. Trauma yang dialami ini akan membawa kepada kesihatan mental yang berpanjangan seperti kegusaran, tekanan perasaan dan PTSD.
Paras kemiskinan di Palestin dijangka meningkat secara mendadak, dengan anggaran menunjukkan sehingga 74.3% penduduk mungkin terjejas. Kemerosotan ekonomi ini mengancam mata pencarian dan menambah kebergantungan kepada bantuan kemanusiaan. Kemusnahan infrastruktur dan sumber pertanian telah merosakkan ekonomi tempatan, mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran dan kehilangan pendapatan bagi keluarga yang sudah pun bergelut untuk bertahan hidup.
Rancangan Trump ini turut akan meningkatkan konflik di Gaza terutamanya apabila cadangan untuk tentera AS dihantar bagi mengawal pembangunan semula Gaza mendapat tentangan daripada HAMAS yang telah memerintah Gaza sejak memenangi pilihan raya pada tahun 2006. HAMAS juga melihat tindakan yang dilakukan Trump ini sebagai sebuah hasutan yang membawa kepada keganasan dan pengusiran. Ini seterusnya akan meningkatkan konflik yang sudah sedia berada di dalam keadaan yang bahaya.
Pengumuman Trump juga dilihat sebagai sebuah ancaman bagi usaha diplomatik dan rundingan gencatan senjata antara Israel dan HAMAS yang seterusnya merumitkan usaha mencapai keamanan dan kestabilan di rantau tersebut.
Cadangan Trump untuk mengambil alih Gaza mencerminkan satu pergeseran radikal dalam dasar luar AS yang berpotensi memberi implikasi berpanjangan terhadap hubungan Israel-Palestin serta geopolitis Timur Tengah secara keseluruhan. Pelanggaran berpotensi terhadap undang-undang antarabangsa, digabungkan dengan penentangan kuat dari pihak serantau, menyerlahkan cabaran yang bakal dihadapi dalam melaksanakan rancangan kontroversial ini. Seiring dengan pendedahan reaksi, kesan jangka panjang terhadap pengaruh dan kredibiliti AS di rantau ini dijangka akan menjadi lebih jelas.
Sudah tiba masanya sebuah tindakan drastik datang daripada daripada negara-negara yang menentang idea ini atau sektor ketiga. Kerana jika tidak, penentangan yang datang hanya daripada suara yang bergema sudah pasti kalah dengan tindakan yang dijalankan oleh musuh.