Akses Wang Tunai dan Kelangsungan Hidup di Gaza

Sekiranya hari ini kita membayangkan angka korban, kemusnahan infrastruktur dan krisis makanan rakyat di Gaza sudah cukup untuk menggambarkan betapa tragisnya realiti yang sedang mereka hadapi. Ternyata di sebalik krisis yang jelas kelihatan ini, wujud satu lagi masalah yang jarang diperkatakan, tetapi kesannya sangat langsung terhadap kehidupan seharian. Munkin ramai yang tidak menyedari bahawa meskipun rakyat Gaza hidup dalam keadaan yang amat mencabar, namun bukanlah bermaksud kehidupan mereka terhenti sepenuhnya atau bergantung kepada bantuan kemanusiaan semata-mata.
Realitinya, rutin harian tetap berjalan dalam ruang yang terhad dan serba kekurangan. Mereka masih membeli makanan asas seperti roti, air, mendapatkan ubat-ubatan, membayar kos pengangkutan serta memenuhi keperluan keluarga yang lain. Aktiviti jual beli masih berlaku di pasar dan kedai, meskipun dalam skala yang semakin mengecil dan tidak stabil. Dalam erti kata lain, ekonomi harian di Gaza tidak lenyap sepenuhnya. Meskipun dalam keadaan yang sangat rapuh, ia masih berjalan seperti biasa.
Di sinilah muncul satu masalah yang semakin meruncing tetapi kurang diberi perhatian iaitu kekurangan wang tunai dalam kalangan pengguna. Dalam keadaan di mana kebanyakan transaksi masih bergantung kepada wang fizikal, ketiadaan tunai bukan sekadar menyukarkan urusan, malah berpotensi melumpuhkan keseluruhan keupayaan rakyat untuk memenuhi keperluan asas mereka.
Sistem Perbankan Lumpuh Secara De Facto
Kemusnahan fizikal akibat perang telah memberi kesan yang ketara kepada sistem kewangan di Gaza. Sebahagian besar cawangan bank tidak lagi beroperasi, manakala mesin ATM sama ada mengalami kerosakan atau kehabisan wang tunai. Data lapangan menunjukkan bahawa hanya sebilangan kecil mesin ATM masih berfungsi, itupun secara terhad.
Keadaan ini menyebabkan pengeluaran wang tunai hampir mustahil untuk dilakukan. Walaupun secara teknikalnya akaun bank masih lagi wujud, pun begitu fungsi asasnya sudah tidak boleh diakses oleh pengguna untuk mendapatkan wang simpanan mereka. Masalah ini bukan sekadar gangguan sementara, ia adalah situasi semasa yang kian menyumbang kepada keruntuhan institusi kewangan dan perbankan di sana.
Sekatan Tunai Punca Masalah
Salah satu faktor paling kritikal yang menyumbang kepada masalah ini ialah sekatan terhadap kemasukan wang tunai ke Gaza. Tidak seperti negara lain, Gaza tidak mempunyai mata wang sendiri. Ekonominya bergantung kepada penggunaan mata wang Shekel Israel serta sebahagian kecil Dolar Amerika dan Dinar Jordan.
Namun, sejak konflik memuncak, aliran masuk wang tunai ke wilayah ini menjadi sangat terhad. Sekatan sempadan oleh Israel dan risiko keselamatan menyebabkan hampir tiada wang fizikal baharu dapat dibawa masuk. Ini mewujudkan situasi di mana jumlah tunai dalam ekonomi menjadi statik, malah semakin berkurang apabila rosak atau hilang semasa dalam tempoh perang berlangsung.
Dampak langsung yang terhasil daripada situasi ini ialah tekanan terhadap keseluruhan sistem ekonomi. Apablia bekalan tunai disekat dan wang fizikal sukar diperolehi, akhirnya semua transaksi harian juga turut terjejas.
Wang Simpanan Tidak Boleh Dicairkan
Fenomena paling menarik dan dalam masa sama membimbangkan dalam krisis ini ialah kewujudan wang yang tidak boleh digunakan. Ramai penduduk Gaza mempunyai baki simpanan dalam akaun bank, tetapi tidak dapat mengeluarkannya dalam bentuk tunai.
Situasi ini mewujudkan apa yang boleh difahami sebagai masalah wang yang tidak boleh dicairkan. Wang tersebut wujud dari sudut angka, namun tidak dapat digunakan secara praktikal. Dalam konteks ekonomi, ini boleh dianggap sebagai kegagalan fungsi kewangan. Wang tidak lagi boleh digunakan sebagai medium transaksi jual beli, walaupun masih dalam unit simpanan.
Ekonomi Tunai Tanpa Akses Wang Tunai
Masalah ini menjadi lebih parah kerana Gaza kini secara asasnya mengamalkan ekonomi yang berasaskan tunai, di mana urusan harian bergantung sepenuhnya kepada wang fizikal. Pembelian makanan, bayaran pengangkutan dan transaksi di peringkat komuniti kebanyakannya tidak menggunakan sistem digital.
Dalam keadaan internet yang tidak stabil dan bekalan elektrik yang sering terputus, sistem pembayaran digital tidak mampu menggantikan peranan wang tunai. Walaupun terdapat percubaan menggunakan pemindahan digital atau aplikasi kewangan, fungsinya agak terbatas dan tidak konsisten.
Keadaan ini melahirkan sebuah paradoks dalam masyarakat. Hidup dalam sistem ekonomi yang memerlukan tunai, sedangkan akses kepada tunai itu sendiri terputus.
Eksploitasi Pasaran Wang Tunai
Ketika mana sistem rasmi gagal berfungsi dengan baik, ruang ini akan diisi oleh sistem yang tidak formal. Di Gaza, sistem tidak formal ini dapat dilihat melalui kemunculan broker atau orang tengah yang menawarkan perkhidmatan mengeluarkan wang daripada akaun bank.
Namun perkhidmatan ini datang dengan kos yang sangat tinggi. Laporan menunjukkan caj komisen boleh mencecah antara 20 hingga 40 peratus daripada jumlah wang dikeluarkan. Ini bermakna seseorang yang ingin mendapatkan wang tunai terpaksa kehilangan sebahagian besar nilai simpanannya.
Fenomena ini menunjukkan bahawa wang tunai itu sendiri telah bertukar menjadi komoditi. Nilainya bukan lagi ditentukan oleh jumlah yang tertera, sebaliknya oleh akses kepada bentuk fizikalnya.
Kuasa Beli Pengguna Terjejas
Selain itu, ketidaktentuan krisis wang tunai ini memberi kesan negatif secara langsung kepada kuasa beli pengguna, apabila wang simpanan mereka tidak dapat diakses untuk kegunaan transaksi harian. Realiti di lapangan menunjukkan pengguna tidak mempunyai wang tunai untuk membeli daripada peniaga, manakala peniaga pula tidak mempunyai wang tunai untuk membeli bekalan daripada pembekal.
Akibatnya, pergerakan ekonomi menjadi perlahan. Aktiviti jual beli menurun, rantaian bekalan terganggu dan keupayaan pasaran untuk berfungsi secara normal semakin terjejas. Hal ini menunjukkan bahawa keruntuhan ekonomi harian di Gaza tidak semestinya jatuh kerana ketiadaan bekalan barangan, ada kalanya ia boleh terkesan kerana ketiadaan wang tunai sebagai medium transaksi dalam urusan jual beli perniagaan.
Halangan Besar Untuk Bantuan Kemanusiaan
Seperti sebuah kesan berantai, masalah wang tunai ini turut memberi kesan kepada operasi bantuan kemanusiaan. Banyak organisasi antarabangsa menyalurkan bantuan dalam bentuk kewangan bagi membolehkan penerima membeli keperluan mereka sendiri. Namun , rata-rata penerima bantuan mengalami masalah yang sama iaitu kesukaran mencairkan wang tunai untuk membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Hal ini secara tidak langsung menjadi halangan besar terhadap pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan. Bantuan yang disalurkan tidak dapat dimanfaatkan secara optimum akibat kekangan tersebut. Situasi ini amat membimbangkan kerana tidak semua individu terjejas dalam keadaan yang sama. Golongan yang masih mempunyai akses kepada wang tunai, sama ada melalui rangkaian tertentu atau kedudukan ekonomi, mempunyai kelebihan berbanding mereka yang lain.
Natijahnya, jurang ekonomi dalam masyarakat Gaza akan semakin melebar. Bahkan akses kepada tunai seolah-olah menjadi bentuk kuasa yang menentukan siapa yang boleh bertahan dan siapa yang akan terus tertekan. Inilah cabaran besar untuk menyantuni rakyat Gaza secara adil dan saksama.
Kesimpulan
Hakikatnya, isu sebenar di Gaza hari ini bukan tentang ketiadaan wang tunai, namun lebih daripada itu. Ianya terkait dengan kegagalan sistem yang membolehkan wang itu digunakan. Ramai dalam kalangan mereka yang masih mempunyai wang simpanan dan menerima bantuan, namun dalam keadaan di mana wang tunai tidak boleh diakses, nilai tersebut tidak dapat ditukar menjadi barang keperluan. Keadaan ini menunjukkan bahawa fungsi ekonomi boleh terjejas walaupun sumber masih ada. Dalam erti kata lain, krisis yang berlaku bukan sekadar kemerosotan ekonomi, malah turut melibatkan gangguan pada mekanisme asas yang menghubungkan wang, pasaran dan kehidupan harian.
Implikasinya lebih besar daripada sekadar kesukaran membeli barang. Apabila akses kepada wang terganggu, bantuan kemanusiaan menjadi kurang berkesan, pergerakan pasaran menjadi terbatas dan jurang ekonomi dalam masyarakat semakin melebar. Dalam konteks ini, pemulihan ekonomi tidak boleh dilihat dari sudut bekalan semata-mata, tetapi perlu bermula dengan memulihkan akses kepada sistem kewangan itu sendiri. Selagi isu ini tidak ditangani, sebarang bentuk bantuan atau pemulihan hanya akan bersifat sementara dan tidak menyentuh punca sebenar masalah di lapangan.