All Articles

Abdullah Barghouti: The Prince of Shadow

Written by
Lia Maryam
Published on
April 24, 2026


Pernahkan kalian mendengar nama Abdullah Ghalib Abdullah al-Jamal al-Barghouti atau lebih dikenali sebagai Abdullah Barghouti? Sosok yang digeruni rejim Zionis kerana kegeniusan yang dimilikinya dalam menghasilkan bahan letupan, sehingga digelar pengganti selepas as-syahid Yahya Ayyash. Maka tidak hairanlah tatkala beliau ditahan pada tahun 2003 oleh rejim Zionis Israel dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup sebanyak 67 kali ditambah dengan 5,200 tahun. Sungguh tidak masuk akal!


Abdullah dilahirkan pada tahun 1972 di Kuwait dan menerima pendidikan awalnya di sana. Beliau mengakui bahawa Kuwait mempunyai tempat istimewa di hatinya bahkan beliau sampai menghafal lagu kebangsaan Kuwait. Sejak kecil, Abdullah memiliki hobi yang unik. Beliau suka membuka dan memasang semula barang-barang elektronik untuk memahami bagaimana barang-barang itu berfungsi. 


Selepas Kuwait dibebaskan daripada pencerobohan Iraq dalam Perang Teluk, beliau dan keluarganya berpindah ke Amman, Jordan. Oleh kerana keadaan kewangan keluarganya pada ketika itu sangat tidak stabil, beliau nekad membuka bengkel kecil-kecilan walhal umurnya ketika itu baru mencecah 18 tahun; ketika masih lagi sedang belajar di sekolah vokasional dalam bidang mekanik. Walau bagaimanapun, bisnesnya itu tidak bertahan lama disebabkan kemelut ekonomi yang melanda Jordan. Pun begitu, beliau berjaya menamatkan pengajian menengahnya dalam aliran mekanikal pada tahun 1990. 


Demi melunaskan hutang dan membantu ekonomi keluarganya, beliau memutuskan untuk berhijrah ke Korea Selatan. Di sana, beliau melalui kehidupan yang sangat mencabar. Beliau menceritakan di dalam bukunya, Amir al-Zil: Muhandis ‘ala al-Tariq (Putera Bayangan: Jurutera di Jalan Perjuangan) — bahawa dirinya pernah berjalan kaki selama tiga hari dua malam untuk sampai ke tempat kerja dan pernah tidur di taman rekreasi awam. Abdullah kemudian melanjutkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan elektromekanikal dan di sana jugalah, beliau mula mempelajari pembuatan bahan letupan melalui laman web ketenteraan di samping mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang penggodaman (hackers) sistem komputer dan peranti komunikasi. 


Sebelum pulang ke tanah air Palestin, Abdullah pernah berkahwin dengan seorang mualaf Korea, namun jodoh mereka tidak panjang disebabkan isu zuriat dan perbezaan prinsip. Beliau akhirnya pulang ke tanah airnya dan berkahwin dengan seorang wanita daripada keluarga besar Barghouti sebelum dikurniakan tiga orang cahaya mata; Tala, Osama dan Safaa. 


Kenapa Abdullah Barghouti menggelarkan dirinya Amir al-Zill (The Prince of Shadow)?


Kehidupan sebagai seorang Abdullah Barghouti tentunya tidak mudah. Beliau menggelarkan dirinya sebagai “Putera Bayangan” kerana kemampuannya dalam menguruskan dan mengatur secara langsung pelbagai operasi penentangan berskala besar tanpa diketahui langsung identiti sebenarnya. Dan kesibukannya itu tidak menghalang beliau menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya, berkeluarga dan melalui kehidupan seperti rakyat biasa lain. Semua itu berjaya mengelabui, dan mengelakkan aktivitinya dikesan oleh risikan pihak rejim Zionis Israel, dengan cara menggunakan pelbagai identiti palsu untuk bergerak bebas di antara bandar-bandar Palestin dan di wilayah haram Israel. 


Sebenarnya, dengan kemahiran dan kekuatan yang beliau ada, boleh sahaja beliau memilih untuk menjadi seorang jurutera ataupun seorang usahawan dengan peluang kejayaan yang sangat cerah dan menjadi kaya seperti yang diharapkan. Namun, Abdullah lebih memilih untuk hidup dalam ‘bayang-bayang’, tidak dikenali dan hidup sebagai seorang tahanan di dalam sel pengasingan rejim Zionis. Manakan tidak, antara operasi berjaya yang dikaitkan dengan penglibatannya adalah Operasi Sbarro,  Operasi Universiti Hebrew, Operasi di Kafe Moment dan juga Operasi di sebuah kelab malam di penempatan haram, Rishon LeZion yang berada berhampiran Tel Aviv. Kesemua operasi ini dikatakan telah memberi impak besar terhadap sektor keselamatan pihak rejim dan sekutunya, sehingga Abdullah menjadi individu yang paling dikehendaki pada ketika itu. Lalu akhirnya, pada 5 Mac 2003, beliau akhirnya ditahan. 


Seperti orang lain, Abdullah juga melalui zaman remajanya seperti remaja-remaja lain. Namun, ada beberapa peristiwa berlaku yang telah menyentak jiwanya, yang kemudian melahirkan kesedaran untuk bangkit berjuang melalui jalan jihad mempertahankan rakyat yang ditindas dan dizalimi di tanah air sendiri. Antara peristiwa yang diceritakannya di dalam catatan memoir ini adalah tatkala dia menerima perkhabaran sepupunya, Bilal yang juga merupakan salah seorang pejuang al-Qassam mengalami kecederaan parah selepas ditembak oleh rejim Zionis di bahagian perut sebelum syahid di medan tempur. 


Dalam peristiwa Intifadah Pertama pada 1987, Abdullah pada ketika itu masih seorang remaja dan berada di Kuwait. Perkhabaran kesyahidan sepupunya, Mahmud dan bapa saudaranya, Ismail selepas syahid ditembak tentera rejim kerana tindakan mereka yang hanya melemparkan batu ke arah pasukan tentera rejim telah mengubah dirinya daripada seorang remaja biasa kepada seorang pemuda yang bertekad untuk bangkit melawan penjajah. 


Tidak hanya itu, beliau juga setiap hari menyaksikan bagaimana tentera rejim penjajah menzalimi kanak-kanak di Palestin; menyeksa dan mematahkan tulang belulang halus mereka. Kezaliman yang dilihatnya walaupun melalui kaca TV telah membulatkan tekadnya untuk menjadi individu yang kuat agar tidak mudah dizalimi dan demi mempertahankan ahli keluarga serta Masjid al-Aqsa. Tekad yang lahir itu menjadi lebih teguh setelah kepulangannya ke bumi Palestin. Beliau menyaksikan bagaimana kerosakan tumbuh di Tebing Barat dengan wujudnya kasino di Ariha (Jericho) di bawah kerajaan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang pada ketika itu telahpun menjadi boneka rejim Israel. Abdullah berasa amat marah kerana darah para syuhada’ dikhianati begitu sahaja demi kepentingan perniagaan dan politik kotor. Sejak dari itu beliau bersumpah untuk memperjuangkan kemerdekaan bumi Palestin. 


Namun, titik tolak yang paling penting dalam perjalanan kehidupan Abdullah Barghouti, sehingga digelar Yahya Ayyash kedua adalah ketika ada satu waktu, beliau bertemu dengan seorang lelaki tua di kampungnya. Yang hairannya, lelaki tua itu telah menyerahkan kepadanya sebuah beg yang ditanam di bawah sepohon pokok. Setelah dibuka, rupa-rupanya beg itu berisi al-Quran dan nota dan catatan teknikal berkaitan pembuatan bahan letupan. Rupa-rupanya, beg itu adalah milik seorang syuhada’, as-syahid Yahya Ayyash, sang engineer yang digeruni rejim Zionis. Sejak saat itu, Abdullah menganggap kejadian itu sebagai sebuah isyarat ‘penyerahan’ amanah, menyambung legasi perjuangan Ayyash sebagai jurutera generasi baharu. 

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Apa intipati penting yang ditulis oleh Abdullah Barghouti di dalam buku ini?


Buku ini pada asalnya ditulis oleh Abdullah sebagai menjawab persoalan yang dihantar melalui surat daripada anak perempuannya, Tala. Jawapan yang ditulis pada halaman demi halaman ini hakikatnya ditulis dari balik dinding sel pengasingan. 


Tala mengajukan rintihan kepada ayahnya melalui surat yang dihantar, mengatakan; 


“Wahai ayah, adakah kamu seorang hero pejuang? Atau adakah sekadar seorang yang bertindak melulu yang menyertai peperangan walhal kamu tiada kaitan pun dengannya? Katakan kepadaku demi Tuhan, wahai Abdullah al-Jamal. Siapakah kamu sebenarnya?”


Sambungnya lagi, 


“Adakah kamu tahu wahai ayahku yang tercinta, bahawa ayah adalah satu-satunya ayah yang tidak pernah lupa akan hari lahir anak-anaknya dan hari lahir orang-orang yang dicintainya? Semua ayah lupa itu kecuali kamu, wahai ayah. Kamu tidak pernah lupa. Tetapi jika benar ayah tidak lupa, justeru mengapa ayah menghilang daripada kami selama ini? Tidakkah ayah tahu bahawa sesiapa yang keluar berperang itu akan hilang dan menjauhkan diri daripada orang-orang yang mereka cintai?”


Abdullah Barghouti menulis memoirnya, Amir al-Zill, Muhandis ‘ala al-Tariq bukan sekadar bagi menjawab persoalan-persoalan Tala dan adik-adiknya. Tetapi sebenarnya beliau sedang memberi jawapan kepada sesiapa sahaja yang bertanya kepada seorang tahanan Palestin, “Siapa kamu sebenarnya?” dan “Mengapa kamu berada di sini?”.


Di dalam memoir ini dia menjelaskan bahawa dirinya adalah seorang pejuang (muqowim), yang telah memilih jalan perjuangan demi kebenaran dan kemerdekaan tanah air. Bukan seorang yang bertindak melulu atau kejam. Apa yang dilakukan dirinya serta para tahanan Palestin lain bukanlah satu tindakan dendam buta. Tetapi ia adalah al-Uqab iaitu hukuman setimpal yang sepatutnya dikenakan terhadap kezaliman rejim penjajah. Beliau menyatakan bahawa jalan hukuman itu sebagai salah satu bentuk penentangan yang strategik.


Memoir ini juga ditulis dengan memberi penekanan terhadap integrasi antara ilmu dan jihad. Abdullah Barghouti merupakan salah satu model bagaimana ilmu kepakaran yang dimilikinya dalam bidang kejuruteraan elektromekanikal, penggodaman komputer dan komunikasi merupakan ‘senjata’ paling signifikan dalam memajukan taktikal dan strategi penentangan. Hal ini jelas membuktikan, bagaimana sebuah perjuangan dipandu oleh ilmu yang tepat akan melahirkan gerakan tersusun dan perjuangan yang berprinsip. Tidak mudah cair dek diplomasi pihak musuh mahupun pengkhianatan bangsa sendiri. 


Menurut Abdullah, setiap orang berperanan dalam perjuangan pembebasan tanah Palestin. Masing-masing bergerak dengan kapasiti yang ada. Beliau menggambarkan dirinya hanyalah sebagai satu gear kecil dalam sebuah mesin besar, yang penuh dengan gear-gear kecil lain. Tanpa gear-gear lain ini, yang bersama-sama mencorak kisah di setiap halaman demi halaman memoir yang dibukukan, mustahil perjuangan di bumi Palestin dapat direalisasikan. Ia hanya akan dapat dicapai dengan usahasama, gerak kerja yang berterusan, teliti dan penuh disiplin.


Beliau dengan halus menyatakan bahawa pilihannya bukan sekadar menjadi seorang pejuang, tetapi ianya soal menjadi manusia yang benar-benar berperikemanusiaan. Kerana kemanusiaan sejati di tanah yang diperintah oleh kezaliman tidak akan pernah tunduk kepada penindasan tanpa disertai perjuangan.