2025: Masa Depan Populasi Yahudi Israel Semakin Rapuh?

Sebelum meletusnya Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, landskap demografi Israel sejak sekian lama menjadi asas kepada pembentukan struktur keselamatan nasional dan identiti kolektifnya, dengan kestabilan demografi yang terpelihara selama beberapa dekad. Demografi menjadi faktor paling asas dalam memastikan kelangsungan kewujudan sesebuah negara. Rakyat bukan sekadar angka dalam statistik. Apatah lagi di Israel, rakyat merupakan komponen paling utama dan menjadi nadi yang menggerakkan sistem politik, ekonomi serta sosialnya demi memastikan tanah yang dijajah itu tetap boleh dipertahankan di pentas antarabangsa sebagai sebuah ‘negara’.
Dalam satu laporan tahunan yang diterbitkan menjelang ‘Hari Kemerdekaan’ wilayah haram Israel, Biro Pusat Statistik Israel (CBS) mengeluarkan data statistik yang menyatakan bahawa populasi rakyat di negara haram tersebut kini mencecah hampir 10.2 juta orang.
Hal ini sekali gus menandakan peningkatan sebanyak 12 kali ganda sejak negara itu ditubuhkan secara haram pada tahun 1948. Jumlah tersebut merangkumi kira-kira 7.7 juta (77.6%) yang berdaftar sebagai Yahudi atau lain-lain; termasuk Kristian bukan Arab dan individu yang layak tinggal di Israel kerana mempunyai datuk atau nenek Yahudi ataupun memiliki pasangan warganegara Israel — kategori yang sebelum ini dikira secara berasingan. Sementara baki sebanyak 2.1 juta (20.9%) adalah Arab Muslim, Kristian atau Druze, dan kira-kira 250,000 individu (2.5%) tidak tergolong dalam mana-mana kategori, termasuklah pelajar antarabangsa, pekerja asing dan pendatang tanpa dokumen sah.
Walau bagaimanapun, menurut laporan The Nation 2025 yang diterbitkan oleh institut penyelidikan Taub Center for Social Policy Studies in Israel, mendedahkan kemerosotan luar biasa yang berlaku dalam kadar pertumbuhan penduduk di Israel. Bahkan menurut kajian yang dijalankan oleh pakar demografi merangkap pengarah di institusi tersebut, Prof. Alex Weinreb menyifatkan tahun 2025 sebagai satu titik peralihan demografi bagi wilayah haram Israel!
Buat kali pertama, kadar pertumbuhan penduduk menurun kepada 0.9% sepanjang tahun 2025. Sebagai rekod, ianya jumlah paling rendah dalam sejarah sejak 77 tahun penubuhan negara haram pada 1948.
Sebelum tercetusnya perang di Gaza pada tahun 2023, kadar pertumbuhan penduduk Israel lazimnya berada antara 1.9% hingga 2% setahun. Sejak penubuhan Israel, kadar pertumbuhan penduduk hanya pernah jatuh di bawah 1.5% sebanyak dua kali sahaja, iaitu 1.45% pada 1982 dan 1.35% pada tahun 1983. Pun begitu, data rasmi CBS bagi tahun 2024 mencatat angka yang lebih rendah, iaitu 1.1% dan kemudian jatuh semakin rendah pada 2025 dengan 0.9%.
Berdasarkan analisis yang dijalankan oleh institusi yang sama, ada beberapa faktor yang dilihat menjadi punca utama kepada peralihan demografi yang berlaku di Israel kini.
Pertama, peningkatan kadar kematian. Perkara ini dilihat berlaku seiring dengan pertambahan bilangan penduduk yang memasuki usia 70-an dan 80-an. Jangka hayat di Israel secara keseluruhan masih meningkat dan kekal antara yang tertinggi dalam kalangan negara OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development); negara maju dan berpendapatan tinggi. Walau bagaimanapun, perang yang berlaku di Gaza telah memberi kesan terhadap kadar ini, khususnya dalam kalangan lelaki Yahudi — di mana jangka hayat mereka dikatakan menurun daripada 81.7 tahun pada 2023 kepada 81.3 tahun pada 2024. Bagi wanita pula, ia menurun kepada 85.4 tahun pada 2024 berbanding 85.7 tahun pada 2023.
Walaupun jangka hayat keseluruhan meningkat, kajian mendapati bahawa jumlah mutlak kematian turut bertambah, disebabkan pertambahan populasi warga emas yang sedia ada. Dalam erti kata lain, apabila populasi Yahudi dan Arab semakin menua, jumlah kematian juga meningkat dan trend ini dijangka akan berterusan pada masa hadapan.
Kedua, penurunan kadar kelahiran. Menurut laporan sama, penurunan kadar pertumbuhan penduduk berlaku serentak dengan kemerosotan ketara kadar kesuburan, walaupun jumlah kelahiran tahunan kekal relatif stabil sepanjang dekad lalu. Berdasarkan kajian, kadar kesuburan wanita Yahudi sekular dan tradisional diramalkan akan menurun kepada sekitar 1.7 orang anak bagi setiap wanita menjelang akhir dekad akan datang. Sementara bagi wanita Yahudi agamawan, kadar tersebut diramalkan sekitar 2.3 orang anak bagi setiap wanita, manakala dalam kalangan masyarakat Yahudi ultra-Ortodoks (Haredi), ia dijangka sekitar 4.3 orang anak bagi setiap wanita. Trend penurunan yang sama turut dikesan dalam masyarakat Arab, yang berpotensi membawa kepada penurunan sebenar jumlah kelahiran keseluruhan dalam tahun-tahun akan datang.
Taub Center mendapati bahawa walaupun jumlah penduduk Israel meningkat, namun bilangan kelahiran tahunan kekal statik. Pada tahun 2025, sekitar 181,000 kelahiran direkodkan, sama seperti pada tahun 2016. Hal ini bermakna, pertambahan populasi selama ini bukan hanya disumbang oleh kelahiran semula jadi, malah migrasi dari luar turut memainkan peranan.
Ketiga, angka migrasi negatif. Berdasarkan data terkini yang dirujuk dalam laporan yang dihasilkan oleh Taub Center, jumlah rakyat Israel yang berhijrah keluar pada 2024 dan 2025 adalah dua kali ganda berbanding tahun 2018, manakala jumlah mereka yang kembali ke Israel adalah kekal tidak berubah. Jumlah individu yang meninggalkan Israel pada 2024 dan 2025 dianggarkan sekitar 120,000 orang lebih ramai berbanding mereka yang kembali (tidak termasuk pendatang baharu). Laporan itu turut menyatakan bahawa ini merupakan tahap migrasi bersih negatif yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah Israel. Ianya perubahan paling ketara pernah berlaku dalam konteks migrasi, lebih-lebih lagi kaedah pengukurannya menjadi semakin rumit selepas CBS mengubah kaedah pengiraan migrasi sejak setahun lalu.
Oleh itu, jika diambil kira faktor pendatang baharu yang bilangannya direkodkan jatuh merosot dengan teruk sejak perang meletus, migrasi bersih Israel akan menjadi negatif. Secara keseluruhan, Israel telah beralih daripada migrasi bersih positif hampir 57,000 warga haram pada 2021 dan turun kepada sekitar 16,000 warga haram pada 2023, sebelum angka ini berubah menjadi negatif sebanyak 26,000 warga haram pada 2024. Hal ini bermakna, seramai 26,000 warga haram Israel meninggalkan negara haram berbanding mereka yang berpindah masuk pada tahun 2024. Dan pada tahun 2025, jurang ini dijangka bertambah kepada 37,000 orang dan dijangkakan trend begini akan berterusan bagi tahun ketiga berturut-turut pada 2026.
Secara kesimpulannya, ada pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi jumlah populasi Yahudi di Israel selain tiga yang utama disebutkan di atas, termasuklah faktor imigrasi, keadaan keselamatan negara yang semakin tidak stabil akibat perang, krisis ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat. Perubahan sikap generasi muda dalam kalangan bangsa Yahudi yang dilihat sudah kurang terikat secara ideologinya dengan idea Zionisme juga mempengaruhi jumlah ini. Ramai juga Yahudi diaspora, terutamanya yang berada di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sudah tidak lagi melihat Israel sebagai destinasi wajib mereka sebagai ‘tanah air’. Persepsi Israel sebagai negara konflik yang tiada penghujungnya juga telah menurunkan daya tarikan migrasi luar.
Adakah tindakan Benjamin Netanyahu dengan meneruskan perang ke atas Gaza boleh dilihat sebagai salah satu strategi bagi mengekalkan survival wilayah haram Israel? Adakah Israel hari ini perlu mengulang kembali siri usaha yang dilakukan oleh Theodor Herzl dengan melakukan pengusiran besar-besaran dan pembersihan etnik di tanah Palestin demi memastikan projek kolonial mereka dapat bertahan dengan menubuhkan majoriti Yahudi di tanah Palestin?
Hakikatnya apa yang berlaku di Gaza hari ini tidak dapat dipisahkan dengan matlamat utama penubuhan Israel itu sendiri. Zionis perlu memastikan projek penempatan haram Yahudi diteruskan dengan ‘memulihkan’ semula populasi Yahudi yang telah hilang. Yang mana ianya dapat dicapai hanya melalui genosid dan dasar imigrasi besar-besaran.
Namun, sejak Oktober 2023, antara 100,000 hingga setengah juta Yahudi Israel dilaporkan berhijrah keluar. Trend penghijrahan ini meneruskan corak migrasi sedia ada. Oleh itu, adalah tidak realistik untuk menganggap Israel mampu memulihkan semula keunggulan demografi Yahudi, walaupun mereka berjaya melaksanakan siri pembunuhan dan pengusiran di Gaza. Kerana satu-satunya pilihan yang ada, hanyalah pemusnahan sepenuhnya rakyat Palestin, bukan sahaja di Gaza tetapi di seluruh wilayah Palestin termasuk di Tebing Barat.
Populasi Yahudi yang semakin rapuh, tidak hanya mengganggu sistem kerajaan tetapi turut menggoyahkan kemandirian wilayah haram Israel. Adakah unjuran Sheikh Ahmad Yassin yang menyatakan tahun 2027 sebagai titik pengakhiran bagi wilayah haram Israel semakin hampir dan mereka kini sedang menuju kejatuhan sebenar?