107 Tahun Deklarasi Balfour: Pemula Israel & Barat Memenjarakan Palestin
Deklarasi Balfour diluluskan pada 2 November 1917. Ia menjadi titik awal sejarah hitam penduduk Palestin, malah mereka masih menanggung impaknya sehingga ke hari ini.
Bagaimana?
Deklarasi Balfour adalah sebuah kenyataan rasmi yang mengesahkan sokongan British terhadap penubuhan negara haram Israel di tanah Palestin. Deklarasi Balfour ditulis oleh Setiausaha Luar British, Arthur James Balfour untuk pemimpin komuniti Yahudi-Anglo, Baron Rothschild.
Deklarasi Balfour menyuntik semangat komuniti Zionis yang pada ketika itu dipimpin oleh Chaim Weizman dan Nahum Sokolow dalam mencapai objektif mereka iaitu menubuhkan negara Israel untuk bangsa Yahudi, sekaligus mengukuhkan identiti Zionis dalam kalangan penduduk Israel.
Deklarasi Balfour menjadi asas kepada pembentukan Mandat British di Palestin pada Julai 1922 selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyah. Di bawah mandat tersebut, seramai 483,000 orang Yahudi-Zionis dari seluruh dunia dengan jumlah paling ramai adalah dari Jerman berhijrah ke Palestin. Kemasukan secara haram bangsa Yahudi-Zionis ke Palestin menyumbang peningkatan penduduk Yahudi daripada 55,000 orang pada 1918 kepada 646,000 orang pada 1948.
Deklarasi Balfour menjadi tunjang utama kepada peristiwa an-Nakbah pada 1948 di mana dunia menyaksikan pembantaian rakyat Palestin dan pengisytiharan negara Israel secara haram. Sehingga ke hari ini, Deklarasi Balfour bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat.
Sebelum Deklarasi Balfour, Perjanjian Sykes-Picot yang ditandatangani pada 16 Mei 1916 oleh Sir Mark Sykes dan Francois Georges-Picot menjadi simbol kepada kerjasama di antara British dan Perancis untuk mentadbir beberapa negara Timur Tengah. Perjanjian itu dibuat ketika Perang Dunia Pertama (WWI), kononnya mahu membantu dalam penubuhan Negara Arab atau Gabungan Negara Arab.
Melalui Perjanjian Sykes-Picot, Perancis diberi hak ke atas Syria, Lubnan dan Iraq. Manakala British diberi hak ke atas Jordan, selatan Iraq, Mesir dan beberapa kawasan di dalam Palestin seperti Haifa dan Akka. Manakala Baitul Maqdis diletakkan di bawah pentadbiran antarabangsa kerana keterikatannya dengan tiga agama samawi.
Bagaimanapun, Deklarasi Balfour telah mengubah segalanya — seperti negara-negara komanwel lain, keseluruhan Palestin dijajah British pada Disember 1917. Cuma penjajahan British di Palestin mendorong negara itu ke arah masa depan yang lebih kompleks. Hal ini kerana British sejak awal lagi sudah ada objektifnya di Palestin, iaitu:
- Mendapatkan Terusan Suez untuk mengekalkan jaminan pentadbiran British.
- Mendapatkan hak untuk mengawal industri gas asli yang menjadi rebutan negara-negara besar.
- Menjadikan tapak ketenteraan yang boleh menembusi Mesir untuk menghalang sebarang serangan ke atas Terusan Suez.
Lantaran daripada itu, British menyokong pemimpin Arab yang mahu membebaskan negara mereka dari pemerintahan Empayar Uthmaniyah dan sebagai langkah untuk tidak dikritik ‘imperial expansionism’, British mengambil kesempatan matlamat Zionis dengan menyokong dan membantu penghijrahan bangsa Yahudi ke Palestin.
Apa yang dilakukan oleh British ke atas Palestin sebenarnya selari dengan kenyataan Datuk Bandar British Pertama Baitul Maqdis, Ronald Storrs di dalam bukunya, Orientations: “... by forming for England a little loyal Jewish Ulster in a sea of potentially hostile Arabism.” Storrs melihat Deklarasi Balfour sebagai sebab utama untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Palestin melalui penubuhan Israel, lagi-lagi Turkiye, Iran dan Palestin membentuk segitiga di sekitar ladang minyak.
Di sebalik sebuah jaminan yang ditulis di atas kertas, Deklarasi Balfour bukan hanya pemula kepada terbentuknya penjara terbesar di Palestin tetapi menonjolkan muslihat sebenar negara Barat, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). Dan apa yang berlaku pada hari ini, mendedahkan rancangan Israel untuk menubuhkan Israel Raya (The Greater Israel) di Palestin dan Lubnan untuk kepulangan bangsa Israel seperti yang diharapkan duta Israel ke UK, Shlomo Argov - gerakan ultranasionalis Israel, Gush Emunim.
Maka, tidak hairan sekiranya sehingga lebih 400 hari peperangan di Gaza, langsung tiada tindakan tegas dan pendirian yang teguh AS terhadap isu Palestin kerana negara itu sejak dulu lagi berkongsi matlamat sama seperti UK. Lihat sahaja sepanjang Mandat British di Palestin, hatta kesemua resolusi yang dibentangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) demi menjaminkan kesejahteraan penduduk Palestin, langsung tiada satu pun yang dilaksanakan secara serius.
Kesannya pada hari ini? Anda ada jawapannya.
“But the state of Israel was not created for the salvation of the Jews; it was created for the salvation of Western interests.” – James Baldwin, 1979